Elakkan Orang Bermasalah Dalam Mencari Jodoh

Elakkan Orang Bermasalah Dalam Mencari Jodoh

"Pasangan memilih untuk memendam rasa kurang puas hati atau masalah rumah tangga, hubungan mereka lebih berisiko kepada perceraian.."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

 

Sejak belakangan ini, masalah perceraian dalam masyarakat kita semakin meningkat dari hari ke hari. Tidak kira dalam kalangan pasangan muda, mahupun yang sudahpun melayari bahtera lebih 20 tahun. Malah tambah merisaukan lagi, ianya juga datang dari golongan selebriti yang dikenali ramai menyebabkan sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada masyarakat.

Benar, ia adalah takdir dan anda seharusnya menerima hakikat jodoh di tangan Allah S.W.T. Tiada siapa yang suka pada perceraian namun anda tidak mampu menolak takdir yang sudah ditentukan-Nya.

Kita semua mengetahui bahawa jodoh merupakan ketentuan daripada Allah S.W.T sejak sebelum kita dilahirkan lagi. Kita semua adalah manusia biasa yang pastinya inginkan kebahagiaan daripada seorang suami atau isteri yang baik. Ayat al-Quran ada menyebut, maksudnya:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

(Surah Ar-Rum, Ayat 21)

Salah Pilih Pasangan Boleh Mengundang Perceraian

Kes perceraian berpunca dari pelbagai jenis alasan. Dari sebesar-besar isu seperti kes dera atau pasangan yang tidak mendapat zuriat, sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti suami pengotor atau isteri tidak pandai berhias. Walau apapun puncanya, itu adalah alasan semata-mata. Dalam melayari bahtera perkahwinan, suami dan isteri seharusnya saling bertolak ansur, memahami, menghormati dan menyayangi.

Resam dalam rumah tangga apabila berlakunya pertikaman lidah, namun sekiranya perkara itu menemui jalan buntu, salah seorang dari pasangan memilih untuk memendam rasa. Harian Metro ada melaporkan satu kisah di mana seorang isteri tidak mahu menjaja keburukan dan aib suaminya akhirnya didera dan membawa kepada kemudaratan terhadap dirinya. 

Kaunselor Perkahwinan Nur Aniza Anwar berkata, sekiranya pasangan memilih untuk memendam rasa kurang puas hati atau masalah rumah tangga, hubungan mereka lebih berisiko kepada perceraian. Melihat tindakan si isteri memendam keburukan suami itu juga dilihat hanya memudaratkan hubungan pasangan selain tidak memberi penyelesaian positif. Justeru lebih baik anda bersikap berhati-hati dalam memilih pasangan supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Cara Mengenali Orang Yang Bermasalah

Disebabkan itu, perkara paling utama dalam perkahwinan adalah mencari pasangan yang sesuai. Maksudnya, anda masih mempunyai masa untuk membuat keputusan yang dirasakan tepat. Jika anda menyedari hal ini sesudah berkahwin, maka masalah yang timbul akan menjadi lebih rumit untuk diselesaikan. Oleh itu, macam mana untuk mengenali orang bermasalah sewaktu mula berkenalan untuk mencari jodoh?

Lihat Personaliti Si Dia

Perkara pertama yang anda harus perhatikan semasa sesi perkenalan adalah personaliti ataupun tingkah laku si dia. Teliti gaya dan lenggok percakapannya, gerak tubuhnya, pandangan matanya dan lain-lain lagi. Pada waktu ini, baik lelaki mahupun wanita haruslah bijak dalam mengatur langkah. Cuba dalami niat sebenar si dia untuk mengenali anda. Jika dia berniat baik, maka teruskanlah hubungan itu ke tahap seterusnya. Jika dia nampak gelisah ataupun terburu-buru, anda mestilah berhati-hati.

Selain itu, orang yang bermasalah boleh datang dalam pelbagai rupa. Baik lelaki atau wanita, pilihlah dengan cermat orang yang hendak anda hampiri. Orang mungkin boleh berpura-pura tetapi mereka tidak boleh menipu selama-lamanya. Misalnya di hadapan anda dia akan berpura-pura yang dialah paling sopan, cantik dan kemas tetapi sebaliknya lain pula jadinya. 

Kosmo Online ada memaparkan satu berita di mana perangai buruk seorang isteri terserlah lepas kahwin. Sebelum berkahwin segalanya berjalan sempurna namun semuanya telah berubah selepas mengetahui isterinya seorang yang pengotor sehinggakan membuat si suami ingin berpisah dengannya. 

Tidak Pandai Berkomunikasi 

Komunikasi bermaksud perhubungan secara langsung ataupun tidak langsung dengan menggunakan perantaraan seperti surat, mesej, telefon dan sebagainya. Komunikasi perlukan teknik dan masa yang betul supaya salah faham tidak berlaku. Komunikasi memainkan peranan yang penting dalam hubungan. Tanpa komunikasi sebuah hubungan akan menjadi semakin hambar dan lama-lama akan menjadi pudar. 

Komunikasi menggambarkan seseorang itu peduli terhadap pasangan mereka. Sekiranya jarang berkomunikasi dan sering mengelak untuk berhubung menandakan dia bukanlah pilihan yang tepat. Ada orang berpisah kerana tidak pandai berkomunikasi dengan pasangan atau yang lebih malang tidak berkomunikasi langsung. Berita Harian ada melaporkan bahawa peningkatan kes cerai di Malaysia berlaku disebabkan pengurusan komunikasi yang lemah.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali turut menekankan tentang kepentingan berkomunikasi. Beliau berkata, komunikasi yang baik berupaya mengawal psikologi diri iaitu emosi, pemikiran dan tingkah laku dan secara tidak langsung dapat mempertahankan perceraian daripada terus meningkat tinggi terutama semasa pandemik (Covid-19).

Tidak Kenalkan Kepada Keluarga

Ada sesetengah orang terutama lelaki, mereka sangat susah untuk memperkenalkan pasangannya kepada keluarga. Mereka akan berasa keberatan untuk memberitahu keluarga mereka tentang urusan perkenalan ini. Meskipun baru berkenalan atau berjumpa, sepatutnya perkara ini dikongsi bersama keluarga agar tidak timbul fitnah. Malah mendapatkan keredaan dan keberkatan daripada ibu bapa juga adalah salah satu faktor berjayanya sesebuah hubungan yang bakal dibina.  Rasulullah S.A.W. bersabda: 

“Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” – Hadis riwayat al-Tirmidzi

Hadis di atas menerangkan bahawa hubungan seseorang insan itu dengan Allah S.W.T akan terjejas sekiranya dia menderhaka kepada ibu bapanya. Sikap biadap seorang anak kepada ibu bapa bakal mengundang kemurkaan Allah SWT. Sikap ini juga tidak akan diredai oleh Allah S.W.T.

Begitu juga tentang soal sebuah perhubungan. Seorang anak mestilah mendapatkan keredaan dan keberkatan daripada ibu bapa mereka sebelum sesebuah hubungan itu tersasar lebih jauh. Tambahan pula apabila melibatkan kaum keluarga, dengan niat yang ada pada diri masing-masing ianya mampu menguatkan lagi sesebuah hubungan. Ini membuktikan tentang keikhlasan dan kesungguhan si dia dalam memperisteri atau mempersuamikan anda.

Lihat Pada Media Sosialnya

Salah satu alternatif lain untuk mengenali seseorang adalah melalui media sosialnya. Zaman sekarang anda dapat lebih dekat mengenali seseorang melalui media sosial yang mereka ada, misalnya di Facebook, Instagram, Twitter. Lihat pada gambar-gambar yang dimuat naik, ayat-ayat yang mereka tinggalkan di ruangan komen atau sebagainya. Adakah semuanya nampak normal sahaja atau sebaliknya. Bagaimana perangainya, karakternya apabila berbalas komen dengan kawan-kawan. Dari situ juga sedikit sebanyak anda boleh menilai seseorang itu. 

Sebagai contoh lain, sekiranya dia sering menggunakan bahasa-bahasa yang kesat ketika menulis ‘status’ di media sosial, ini menunjukkan sifatnya yang tidak bersabar dan semberono (sembarangan) sahaja dalam melakukan sesuatu. Bimbang sekiranya dia mempunyai sifat yang baran lagi-lagi selepas kahwin. Atas sebab itu, perwatakan seseorang di laman sosial boleh dijadikan kayu pengukur untuk melihat sama ada dia bermasalah ataupun tidak. 

Perkahwinan bukan sahaja sekadar penyatuan dua cinta malah perkahwinan datang seiring dengan tanggungjawab. Ianya adalah suatu tanggungjawab yang bukan mudah kerana memerlukan sifat yang seimbang untuk mengawal diri dan mempunyai tahap disiplin yang tinggi. Oleh itu, ianya penting untuk membuat pilihan yang tepat terutama dalam soal jodoh kerana anda akan hidup dengannya untuk selama-lamanya.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar