Gunakan Perkhidmatan Online Untuk Mencari Calon Hidup
Gunakan Perkhidmatan Online Untuk Mencari Calon Hidup
"Pada waktu pandemik COVID-19 ini, terdapat peningkatan lebih 700,000 penggunaan pencarian jodoh dalam talian bermula awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).."
Pada masa kini, pelbagai gaya hidup ataupun budaya masyarakat anda yang kian berubah disebabkan oleh pengaruh luar dan kemunculan teknologi baharu. Begitu juga dengan mencari jodoh, konsepnya juga dalam kalangan orang ramai sudah tidak seperti dulu. Zaman semakin pantas beredar. Kecanggihan teknologi pula semakin hari semakin maju dan bergerak pantas. Bukan sahaja informasi yang boleh diperoleh, malah jodoh juga boleh dicari di internet.
Dahulu mungkin mencari jodoh dilakukan secara bersua muka atau melalui perkenalan. Namun sekarang, mencari jodoh secara ‘online’ atau atas talian juga merupakan satu alternatif yang agak baru dan berkesan. Ramai antara kita juga yang sudah bijak memanfaatkan kemudahan yang ada bagi tujuan tersebut. Jika kemudahan ini menjimatkan tenaga dan masa, apa salahnya bukan?
Pada waktu pandemik COVID-19 ini, terdapat peningkatan lebih 700,000 penggunaan pencarian jodoh dalam talian bermula awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan kajian daripada beberapa blog tempatan.
Hukum Cari Jodoh Online
Berdasarkan Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, penggunaan portal cari jodoh online pada asalnya adalah diharuskan berdasarkan kaedah fiqah iaitu ‘pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamannya’. Tujuan pembinaan laman web berkenaan diharuskan sekiranya matlamatnya adalah untuk kebaikan. Namun ia akan menjadi haram jika bertujuan untuk kemaksiatan.
Malah untuk tujuan gambar yang dimuat naik pula, sebaiknya pihak pengurusan portal cari jodoh online yang menguruskan laman sesawang itu perlulah menetapkan garis panduan yang sepatutnya. Antaranya gambar yang menutup aurat, menjaga privasi pengguna dan menjaga batas pergaulan yang berlainan jantina.
Kelebihan Cari Jodoh Online
Kosmo pada Disember 2021 ada melaporkan tentang cari jodoh dalam talian. Dianggarkan lebih sejuta orang yang gagal menemui cinta sejati secara bersua muka atau melalui perkenalan, kini memilih untuk mencari jodoh secara atas talian. Kaedah itu dianggap lebih mudah kerana golongan wanita terutama yang berkerjaya tidak lagi perlu menunggu lelaki bujang atau duda datang mengurat mereka. Malah lelaki pula tidak perlu bersusah payah memikat hati si wanita. Dengan kemunculan perkhidmatan cari jodoh atas talian ini membuatkan mereka boleh memilih pasangan masing-masing yang diminati hanya melalui internet sahaja.
Pakar Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata pelbagai platform pencarian jodoh pada masa kini yang semakin dikenali ramai disebabkan ramai orang di luar sana yang sukar mencari pasangan hidup yang sesuai.
Tambah beliau lagi, dengan adanya kemudahan platform jodoh online ini, ianya dapat mencipta hubungan baharu yang sihat. Kalau disalahguna sekalipun mungkin hanya 10 peratus sahaja, selebihnya, baik. Jadi tidak ada salah jika kita menyokongnya.
Dr Fauziah juga berkata, ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka di luar sana memilih untuk mencari jodoh secara online. Antara faktor utama adalah disebabkan kurang keyakinan diri. Apabila mereka diberi pilihan untuk mencari jodoh secara online, mereka dapat menyembunyikan kegugupan mereka berbanding jika ianya berlaku secara depan-depan. Mereka lebih diberi kebebasan untuk bertaaruf (berkenalan) dan faktor ini akan membuatkan mereka lebih mudah berterus terang tanpa berselindung.
Faktor yang kedua adalah disebabkan oleh mereka yang sibuk bekerja membuatkan mereka susah mencari jodoh atau bersosial. Disebabkan kemudahan ini, mereka boleh mengakses di mana-mana sahaja tidak kira tempat dan waktu. Ia sangat sesuai bagi mereka yang selalu mengejar masa dan sibuk dengan kehidupan seharian. Tambahan pula dengan adanya telefon pintar sekarang, semuanya telah tersedia dan tidak perlu membuka laptop atau komputer.
Perkara Yang Anda Perlu Tahu Ketika Mencari Jodoh Secara Online
Jangan Sesekali Memberi Maklumat Peribadi Pada Awal Perkenalan
Dalam dunia alam maya, anda tidak berhubung secara bersua muka dan melihat karakter orang tersebut. Jadi anda tidak tahu sikap dan perangai sebenar orang yang anda kenal melalui alam maya itu. Namun di kalangan yang ramai itu, mungkin ada segelintir daripada mereka yang tidak jujur dan berniat jahat. Sebab itulah anda mesti ada sifat berhati-hati semasa berhubung dengan sesiapapun.
Mungkin juga daripada kalangan mereka itu akan ada yang cuba mengumpan anda dengan ayat-ayat islamik dan janji-janji manis. Jadi, seelok-eloknya jangan terburu-buru memberikan maklumat peribadi anda seperti alamat rumah atau nombor telefon.
Kalau boleh berhubunglah melalui ruangan yang disediakan atau secara atas talian sahaja. Ambil masa untuk kenal dahulu. Jika benar si dia sudah betul-betul serius, mungkin barulah anda berdua boleh bertukar maklumat dan biodata. Selain itu, jemput juga si dia untuk berkenalan dengan keluarga anda.
Nyatakan Niat Untuk Berkahwin, Bukan Main-main
Beritahu kepada kenalan anda di alam maya itu tentang tujuan anda yang sebenar adalah hanya mahu mencari pasangan untuk berkahwin. Tidak perlu bazirkan masa dengan berbual perkara yang sia-sia dan menyimpang daripada tujuan asal anda untuk mencari jodoh.
Dalam masa perkenalan ini, ambil masa sebanyak mungkin untuk kenal dengan si dia sebelum anda betul-betul serius untuk meneruskan perhubungan ke tahap yang lebih tinggi. Jika si dia hanya mencari teman untuk berborak, sebaiknya tidak perlu teruskan perhubungan. Si dia mungkin tidak betul-betul serius dengan anda
Selidik Latar Belakang Si Dia
Ini merupakan antara perkara penting yang perlu anda lakukan sebelum perhubungan anda sampai ke tahap yang lebih serius. Semasa anda dan si dia sedang bertaaruf (berkenalan), tanyalah soalan-soalan yang lebih penting dan mendalam. Contohnya bertanyakan tentang latar belakang si dia serta keluarganya, pekerjaannya, matlamat perkahwinan dan soalan-soalan yang berkaitan. Ini dapat membantu anda mengenali dirinya.
Selain itu, anda juga boleh selidik akaun media sosial miliknya, contohnya Facebook atau Instagram. Dari situ juga anda akan dapat sedikit sebanyak mengenali si dia. Ianya mungkin berdasarkan gambar yang dimuat naik atau berdasarkan komen-komen yang ditinggalkan di akaun media sosial miliknya. Pastikan anda mengetahui seberapa banyak yang boleh mengenai diri si dia. Berkahwin tanpa mengenal siapa bakal pasangan anda bukanlah sunnah Rasulullah S.A.W.
Dalam suatu hadis daripada Abu Hurairah R.A, beliau menceritakan bahawa ada seseorang telah menyampaikan kepada Rasulullah S.A.W. bahawa dirinya telah berkahwin dengan seorang wanita Ansar. Rasulullah S.A.W. kemudian bertanya:
“Adakah kamu telah melihatnya?”
Jawab pemuda itu, “belum.”
Kemudian Rasulullah S.A.W. menyarankan, “lihatlah calon isterimu, kerana di bahagian mata orang Ansar ada sesuatu.”
(Hadis Riwayat Muslim : 3550)
Jangan Terburu-Buru Membuat Keputusan
Membuat keputusan yang salah akan menyebabkan anda menyesal di kemudian hari. Hal perkahwinan merupakan suatu hal yang besar kerana ia melibatkan kehidupan anda pada kemudian hari. Jangan terburu-buru untuk terus mengambil keputusan berkahwin jika anda betul-betul tidak mengenali si dia.
Mempercepatkan urusan perkahwinan adalah suatu yang baik namun mengenali pasangan sebelum kahwin juga merupakan suatu tuntutan dalam Islam. Apabila anda sudah kenal dan berasa yakin dengan si dia, silakan untuk percepatkan perkahwinan anda cuma janganlah terburu-buru.
Elak Jadi Mangsa Penipuan Cari Jodoh Dalam Talian
Mengambil iktibar kejadian di Jawa Barat, Indonesia aplikasi jodoh turut digunakan penjenayah apabila seorang lelaki ditangkap kerana menipu enam orang janda. Modus operandi lelaki itu menyamar sebagai pekerja di syarikat minyak dan berpura-pura kaya, tetapi sebaliknya memeras ugut mangsa. Namun, tidak semua perkenalan dalam talian berbahaya. Terdapat juga pengguna yang berjaya sehingga ke jinjang pelamin.
Sebagai manusia, kita semua berhak bahagia. Maka keputusan untuk meneruskan pencarian jodoh melalui dalam talian adalah terletak di tangan anda sendiri. Insya-Allah, jika baik niat anda maka Allah akan permudahkan.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?