HUBUNGAN JARAK JAUH

HUBUNGAN JARAK JAUH

Dalam perhubungan, tidak ada salahnya bagi mereka untuk menjalani sebuah hubungan jarak jauh. Namun mestilah bijak dalam menangani segala kemungkinan yang mendatang...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Ada sesetengah pasangan, mereka lebih gemar membina hubungan berdasarkan jarak yang jauh. Malah berbeza pula dengan pendapat sahabat saya. Katanya “tidak yakin dengan hubungan jarak jauh, macam-macam perkara boleh terjadi..” Lain pula jawapan yang diberikan oleh mereka yang berbeza pendapat. Alasan yang diberikan adalah ‘lebih selamat’. Sekurang-kurangnya mereka dapat mengelakkan diri daripada perkara yang sia-sia. Misalnya berdating. Ada kalanya boleh menjurus mereka ke arah maksiat.

Apabila berbicara tentang hubungan jarak jauh pasti ianya kedengaran seperti tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda. Malah ianya seolah-olah seperti satu adat buat mereka yang sedang bercinta.

Secara hakikatnya, mereka yang sedang bercinta itu sebenarnya tidak mahu si lelaki atau wanita berada jauh di mata mereka. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka sudah mendirikan rumah tangga kelak. Malah ada juga yang menunjuk minat yang positif akan perhubungan jarak jauh ini.

Dalam perhubungan, tidak ada salahnya bagi mereka untuk menjalani sebuah hubungan jarak jauh. Namun mestilah bijak dalam menangani segala kemungkinan yang mendatang. Malah setiap hubungan yang dibina juga mestilah tidak terlalu lama. Contohnya segerakanlah ianya dengan sebuah pernikahan.  Berikut adalah beberapa tips yang dapat dikongsikan kepada anda yang sedang melalui hubungan jarak jauh:

1) SALING MEMPERCAYAI ANTARA SATU SAMA LAIN

Sifat saling mempercayai antara satu sama lain merupakan elemen yang sangat penting dalam setiap hubungan. Lebih-lebih lagi sekiranya hubungan yang dibina berlandaskan dengan jarak yang jauh. Dengan hilangnya sifat kepercayaan ini maka tidak hairanlah akan ada salah faham mahupun konflik  yang boleh wujud tanpa diduga.

Dalam apa jua situasi, hindari setiap godaan dan cuba untuk kekal setia. Sekiranya si dia sudah meletakkan 100% kepercayaannya pada anda, usah sesekali mengugat kepercayaannya. Jangan sia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh mereka kepada anda. Andainya si dia sudah hilang kepercayaan buat anda, maka musnahlah sebuah hubungan yang terjalin. Oleh itu, elakkan daripada wujudnya perasaan ragu-ragu terhadap pasangan anda.

Namun sekiranya hubungan bermula di alam maya, pastikan kesahihan si dia. Zaman sekarang zaman teknologi, ada kalanya mereka hanya berniat untuk memperdaya anda. Misalnya, scammer. Macam-macam taktik yang mereka guna demi memuaskan hati mereka. Ada yang meminta wang dengan menagih simpati.

2)BERDOA AGAR HUBUNGAN DIBERKATI

Meskipun anda tidak dapat bertentang mata dengan pasangan anda, anda boleh mengirimkan doa kepada si dia agar diberikan kesihatan yang baik. Anda mesti ingat bahawa hubungan yang diberkati Allah SWT adalah hubungan yang sentiasa menuju keredaan-Nya. Pastikan anda dan pasangan mempunyai niat yang baik iaitu untuk bernikah.

3)KOMUNIKASI ITU PENTING

Setiap antara mereka yang sedang melalui hubungan jarak jauh mereka tidak berpeluang untuk berjumpa mahupun bertentang mata. Oleh itu, cara yang paling mudah buat mereka adalah dengan sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain.

Zaman sekarang zaman serba canggih. Pelbagai kemudahan yang tersedia untuk mereka berhubung antara satu sama lain. Misalnya seperti menggunakan aplikasi Whatsapp, Skype, Facebook. Mereka bukan sahaja boleh berhubung melalui panggilan telefon bahkan juga boleh menggunakan kemudahan seperti Video Call.

Namun setiap yang dilakukan haruslah berpada-pada. Jangan sehingga merimaskan pasangan anda. Selagi ianya tidak melanggar syariat Islam, maka tidak ada salahnya untuk anda berkomunikasi dengan pasangan anda demi menjaga keutuhan sesebuah hubungan.

Jadikan iktibar dari kisah seorang gadis yang berasal dari negara Kanada, Amanda Todd. Penyalahgunaan media sosial yang sedia ada telah memakan dirinya sendiri. Dengan kemudahan video call, dia telah menggunakan saluran itu ke arah perkara yang sia-sia (berkongsi maklumat peribadi) dan menyebabkan dia diugut oleh seorang lelaki. Lelaki itu mengugut untuk menyebarkan maklumat dan foto peribadinya. Akhirnya Amanda memilih jalan singkat dengan membunuh diri selepas terlalu tertekan dengan insiden itu.

4)WUJUDKAN SIKAP BERTOLAK ANSUR

Ramai orang yang bercinta terlepas pandang mengenai perkara ini. Tanpa sikap bertolak ansur antara anda dan pasangan, hubungan yang dibina sukar untuk kekal lama.

Contoh yang paling mudah adalah seperti kelewatan dalam membalas mesej. Sekiranya si dia sedang sibuk bekerja, si dia tidak dapat membalas mesej anda. Namun disebabkan sikap anda yang tidak boleh bertolak ansur, ianya mampu mengakibatkan berlakunya perbalahan meskipun berpunca dari perkara yang kecil sahaja. Itulah pentingnya wujud sikap bertolak ansur dalam setiap hubungan.

5)JANGAN TERLALU KUAT CEMBURU

Perkataan cemburu adalah simbolik kepada setiap pasangan bercinta. Ianya seolah-olah seperti satu kemestian bagi setiap pasangan untuk memiliki perasaan ini. Baik lelaki mahupun wanita, mereka mempunyai sifat cemburu dalam diri mereka. Malah masyarakat sering melabelkan cemburu itu kepada sifat semulajadi seorang wanita. Secara hakikatnya, lelaki juga memiliki perasaan ini.

Tidak ada salahnya untuk memiliki perasaan cemburu dalam diri setiap manusia. Namun cara mereka mengendalikan perasaan ini yang memainkan peranan penting. Setiap tindakan haruslah berpada-pada. Jangan sehingga mengakibatkan pasangan anda berasa rimas dengan sikap anda yang sentiasa cemburu tanpa sebab.

Bagi mereka yang sedang melalui perhubungan jarak jauh, jauhilah dari sikap cemburu buta. Hal ini juga dapat membuatkan pasangan anda berasa jemu dengan sikap anda lantas mereka memilih untuk mengakhiri hubungan itu.

“Kalau tanpa kejujuran dan kepercayaan, hubungan jarak jauh mahupun jarak dekat sekalipun pasti tidak mampu bertahan. Disebabkan dua elemen inilah menyebabkan sahabat saya kurang yakin dengan hubungan yang berlandaskan jarak yang jauh..”

 

Selamat membina baitul muslim (keluarga bahagia)

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar