Jika Saya Jatuh Cinta Pada Seseorang
Jika Saya Jatuh Cinta Pada Seseorang
Memendam rasa cinta tanpa memaklumkan pada si dia yang anda cintai mungkin perkara yang menyakitkan hati.
Anda pernah jatuh cinta pada seseorang? Apakah yang anda akan lakukan jika anda sudah jatuh cinta? Baik. Sebelum itu mari kita lihat dahulu apa definisi cinta. Cinta boleh diertikan sebagai perasaan kasih dan sayang anda terhadap sesuatu atau seseorang. Cinta merupakan suatu perkara yang indah. Cinta ialah satu ukuran asas pengalaman manusia yang memberikan perasaan kasih sayang, tarikan, asas kemesraan dan keserasian antara pasangan. Mencintai dan ingin dicintai adalah perasaan fitrah dan ia bukanlah suatu kesalahan dalam Islam.
Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Ar-Rum, ayat 21 yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
(Surah Ar-Rum: Ayat 21)
Sementara itu, dalam surah Al-Hujurat pula Allah S.W.T. juga telah berfirman yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu sekalian dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu sekalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu sekalian saling mengenal. Sesungguhnya orang-orang yang paling mulia di antara kamu sekalian di sisi Allah ialah orang-orang yang paling takwa di antara kamu sekalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
(Surah Al-Hujurat: Ayat 13)
Jadi jelaslah dalam kedua-dua ayat di atas, cinta adalah fitrah semula jadi seseorang yang bergelar manusia. Lelaki dan wanita sifatnya saling berbeza dan melengkapi antara satu sama lain. Kenalilah dan ambil masa untuk memahaminya. Ia juga merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah S.W.T.
5 Cara Uruskan Cinta Dengan Betul
1. Beritahu Si Dia, Jangan Pendam
Memendam rasa cinta tanpa memaklumkan pada si dia yang anda cintai mungkin perkara yang menyakitkan hati. Oleh sebab itu, apabila ada peluang sila maklumkan perasaan anda pada si dia. Jika anda malu sekalipun, anda boleh menggunakan ‘orang tengah’ sebagai penyampai hasrat hati.
Saya yakin selepas memberitahu si dia, anda akan tenang walaupun cinta anda ditolak. Memendam perasaan boleh menyebabkan stress dan ia mungkin memberi kesan kepada kesihatan anda.
“Stress akan menambahkan asid lemak (fatty acids) di dalam darah dan bahan-bahan ini akhirnya akan bertukar menjadi lemak asli dan kolesterol yang akan menutupi saluran pembuluh darah. Stress juga akan meninggikan tekanan darah di samping memudahkan proses pembekuan darah. Semua ini merupakan perubahan-perubahan yang boleh menyebabkan serangan sakit jantung dan angin ahmar berlaku.”
(Dipetik daripada Health Education Associates, 1996: Stress and Heart Disease)
2. Jumpa Keluarganya
Cara seterusnya yang perlu dilakukan adalah anda perlu kenali si dia dengan lebih mendalam. Kenal di sini bukan bermaksud kenal dirinya sahaja bahkan juga keluarga si dia. Ia penting kerana anda boleh menilai keserasian dengan pihak keluarganya. Hasil daripada penilaian inilah yang mungkin menjadi sebab sama ada anda dan si dia boleh meneruskan perhubungan ataupun tidak.
Selain itu, ia merupakan peluang untuk anda menjalinkan hubungan silaturahim dengan bakal keluarga. Ramai ibu bapa yang suka jika mereka dilibatkan sekali dalam urusan suai kenal bakal suami mahupun isteri anak-anak mereka. Mereka akan merasa lebih dihargai dan menjadi rujukan dalam memberikan nasihat.
3. Berkawan Sebelum Berkahwin
Saya selalu ingatkan jika jatuh cinta dengan seseorang, jangan terus kahwini si dia. Tidak perlu tergesa-gesa. Bukan niat saya untuk menggalakkan orang bercinta lama-lama, namun perlu adanya masa untuk kenal siapa bakal pasangan anda. Berkawanlah dahulu sebelum berkahwin.
Anggap tempoh berkawan sebagai tempoh suai kenal ataupun taaruf anda dengan si dia. Apabila anda sudah mendapatkan cukup maklumat tentang si dia, maka teruskan niat berkahwin. Berkawan pula janganlah terlalu lama.
4. Jangan ada ‘Cinta Monyet’
Definisi cinta monyet ialah cinta anak-anak yang masih remaja dan tidak serius. Oleh sebab itu, jika jatuh cinta pastikan matlamat cinta anda adalah untuk berkahwin bukan main-main. Akal dan fikiran anda mestilah matang mengikut usia dalam membuat apa-apa keputusan. Letakkan matlamat perhubungan anda ke arah perkahwinan. Jika boleh, anda dan si dia perlu tahu anggaran masa untuk berkahwin kelak.
5. Jangan Buat Benda Haram
Benda yang paling penting yang perlu anda jaga ketika bercinta adalah jangan sesekali buat benda yang haram dan dilarang agama Islam. Salah satu tanda cinta kepada bakal pasangan anda ialah anda dan si dia saling menjaga kehormatan diri. Jangan sesekali berdua-duaan di tempat sunyi.
Jika sudah bertunang sekalipun, ia bukanlah lesen untuk anda berdua-duaan di tempat sunyi. Kalau terpaksa juga, jumpalah di tempat umum yang ramai orang. Allah melarang kita untuk mendekati zina apatah lagi berzina.
Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”
(Surah Al-Isra’: Ayat 32)
Akhir sekali, jika anda jatuh cinta bertindaklah segera. Cinta perlukan tindakan bukan hanya berdiam diri. Di samping itu, usahakanlah agar cinta anda pada si dia itu dihalalkan. Insya-Allah jika anda dan si dia ikhlas bercinta kerana-Nya, maka Allah S.W.T. akan permudahkan segala urusan. Yakinlah!
Jom bina Baitul Muslim (keluarga muslim)
Belum ada jodoh?