JODOH MENJEMPUT BUKAN APABILA SUDAH MATANG

JODOH MENJEMPUT BUKAN APABILA SUDAH MATANG

Usia tidak menjamin kematangan seseorang. Meskipun sudah berusia 30-an, tidak semestinya jodoh menghampiri mereka yang lebih berusia berbanding mereka yang baru mencecah 20-an...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Usia tidak menjamin kematangan seseorang. Meskipun sudah berusia 30-an, tidak semestinya jodoh menghampiri mereka yang lebih berusia berbanding mereka yang baru mencecah 20-an. Kadang-kadang, mereka yang berusia 20-an dijemput jodoh terlebih dahulu dan membuatkan mereka yang masih menanti berasa sangat kecewa akan ketentuan ini, namun tahukah mereka bahawa ianya adalah ketentuan ilahi?

Paras rupa bukan segalanya

Ketampanan  lelaki mahupun kecantikan wanita tidak menjamin seseorang itu untuk bertemu jodoh di awal usia. Seperti yang kita lihat di luar sana, masih terdapat ramai wanita cantik dan lelaki tampan yang masih bertungkus lumus dalam mencari cinta sejati mereka. Sejauh mana usaha yang dilakukan itu?

Mempelajari tentang ilmu pernikahan

Mereka bukan tak ada jodoh tetapi sebenarnya ini adalah ketentuan ilahi. Mungkin mereka masih kurang dari segi persediaan untuk menjadi suami atau isteri. Allah memberi ruang kepada mereka untuk lebih mendalami akan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan suami kelak. Memegang ‘title’ suami dan isteri bukannya perkara mudah, pelbagai perkara yang perlu ada, dari segi hormat-menghormati, bertoleransi antara suami isteri, kepercayaan yang utuh dan banyak lagi perkara-perkara murni yang si suami dan isteri perlu tahu. Bukan hanya sekadar memikirkan tentang majlis perkahwinan yang meriah dan hantaran yang beribu-ribu semata-mata, banyak lagi perkara yang harus dititikberatkan. Persediaan itu adalah yang paling utama!

Apabila masih setia menanti jodoh datang menjemput, apa salahnya bakal isteri dan suami memperbanyakkan membaca perkara-perkara yang berkaitan perkahwinan atau rumah tangga supaya mereka akan berasa lebih bersedia untuk menempuh alam pernikahan yang ternyata banyak cabaran dan dugaannya. Kita sering didengari dengan kisah rumah tangga yang berlaku adalah disebabkan perkara yang remeh sahaja, namun yang remeh itulah yang boleh membawa kepada perceraian.

Jika dibandingkan dengan kehidupan semasa bujang, ternyata ianya banyak perbezaan dari segi kehidupan seharian. Kalau semasa bujang, apa yang perlu difikirkan adalah diri sendiri sahaja terutama mengenai soal makan dan minum. Namun selepas berkahwin, lain pula tanggungjawabnya.

Apabila diajukan soalan tentang jodoh, “bila nak kahwin?” pasti jawapan yang terungkap dari mulut si empunya diri adalah “masih belum bertemu jodoh”. Namun adakah anda sudah bertanya pada diri sendiri, “sudah bersediakah aku untuk dipertemukan dengan jodohku?” Kalau jawapan anda adalah ‘belum’, teruskan berusaha untuk mempelajari ilmu tentang perkahwinan.

Ianya bukan membawa maksud kita tidak ada jodoh. Secara hakikatnya jodoh kita sudah ditetapkan semasa kita belum dilahirkan lagi. Ini kerana jodoh adalah takdir daripada Allah SWT, meskipun sudah mencecah 40-an namun kalau sudah ditakdirkan bahawa kita masih hidup keseorangan lagi jangan kita sesekali meragui akan ketetapan ini. Sesungguhnya mereka yang bersabar akan mendapat kepulangan yang lebih indah di akhirat kelak.

“Dan, orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa”.

[Al-Baqarah : 177]

Jodoh datang tanpa diduga

Kadang-kadang jodoh yang datang pun tanpa kita duga, orang yang kita kenal hampir berpuluh-puluh tahun lamanya dan langsung tidak menyangka bahawa mereka bakal menjadi jodoh kita dan dengan takdir Allah, mereka adalah jodoh kita. Siapa kita untuk menidakkan ketentuan itu? Hebat bukan? Segala yang dicipta oleh Allah ternyata mempunyai keajaiban tertentu yang kita sendiri tidak pernah menyangka.

Teruskan berusaha dan jangan putus berdoa kepada Yang Maha Esa supaya diri kita sentiasa dilindungi di bawah naungan-Nya.

Insha-Allah.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar