fbpxJodoh Saya Tak Sekufu

Jodoh Saya Tak Sekufu

Jodoh Saya Tak Sekufu

Menurut Iman Syafie, sekufu terbahagi kepada enam aspek iaitu Islam, merdeka, agama, keturunan, kerjaya dan sejahtera daripada sebarang kecacatan...

Dikarang oleh 21976 | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Pernah atau tidak anda mendengar perkataan ‘sekufu’? Ia biasanya disebut untuk menyatakan perihal taraf kedua-dua pasangan yang bakal berkahwin. Apabila kita menyebut tentang sekufu, pasti ramai yang salah faham mengenainya. Saya akan menyebutkan beberapa contoh situasi agar anda lebih faham berkenaan maksud sekufu ini.

Contoh 1

Mariam seorang wanita yang bekerjaya tinggi. Dia bekerja sebagai seorang doktor. Dia hendak dipadankan dengan seorang lelaki yang bekerja sebagai kerani biasa sahaja oleh keluarganya. Mariam kemudian menolak lamaran pemuda tersebut dengan alasan lelaki itu tidak setaraf dengannya.

Contoh 2

Kamil telah dikenalkan dengan seorang wanita melalui kawannya, Razak. Dia tahu Kamil memang sedang mencari seorang wanita untuk dijadikan isteri. Akhirnya Kamil dan wanita tersebut ditemukan. Namun di mata Kamil, wanita tersebut tidak berapa cantik sedangkan dirinya adalah seorang yang segak dan tampan. Kemudian Kamil terus menolak untuk berkahwin dengan wanita tersebut dengan alasan, “Dia tidak sekufu denganku.”

Kedua-dua situasi di atas mungkin merupakan kisah benar yang berlaku di dalam masyarakat kita pada hari ini. Ia bukanlah sesuatu kesalahan mencari yang sekufu kerana itu sememangnya perkara yang digalakkan oleh Islam. Namun, benarkah pemahaman kita berkenaan sekufu seperti yang diceritakan situasi di atas? Bolehkah meneruskan perkahwinan jika tidak sekufu? Saya akan huraikan dengan lebih jelas sekejap lagi.  

Maksud Sekufu

Kufu atau kafa’ah dari sudut bahasa bermaksud kesepadanan, setaraf atau sama. Dari sudut istilah pula kufu bermaksud kesepadanan calon suami dan calon isteri yang akan berkahwin bagi membina sebuah rumah tangga. Istilah ini muncul di dalam beberapa hadis daripada Rasulullah S.A.W. Salah satu hadis yang menyebut tentang sekufu ialah hadis yang diriwayatkan oleh  Imam At-Tirmidzi yang bermaksud:

“Wahai Ali, ada tiga perkara yang jangan kau tunda perlaksanannya, iaitu solat apabila telah tiba waktunya, pegebumian jenazah apabila telah siap penguburannya, dan wanita apabila telah menemukan jodohnya yang sekufu/sepadan.”

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Berdasarkan hadis yang telah dinyatakan, jelaslah bahawa Islam sangat menggalakkan kita untuk berkahwin dengan calon yang sekufu. Walaupun ia bukanlah suatu rukun nikah tetapi ia akan memberi keselesaan dan keharmonian di dalam rumah tangga yang bakal dibina kelak.

Menurut Iman Syafie, sekufu terbahagi kepada enam aspek iaitu Islam, merdeka, agama, keturunan, kerjaya dan sejahtera daripada sebarang kecacatan. Malah ada sebahagian daripada fuqaha mutaakhirin (pandangan kumpulan ulama syafie yang terkini) mengambil kira bahawa usia juga termasuk di dalam aspek sekufu. Mereka menghukum bahawa seorang gadis remaja adalah tidak sekufu dengan seorang lelaki yang sudah tua dan berusia.

Namun menurut Imam Syafie, perkahwinan mereka yang tidak sekufu tidaklah haram. Oleh sebab itu, beliau sendiri tidak menolak perkahwinan seperti itu tetapi memandangkan ianya suatu keredhaan kepada calon isteri dan walinya. Imam Syafie menghukumkan sahnya perkahwinan tersebut bergantung kepada keredhaan keduanya. Jika keduanya redha menerima ketidak sekufuan itu, maka perkahwinan tersebut adalah sah di sisi islam.

Tiga Jenis Sekufu Yang Biasa Dalam Masyarakat

1. Sekufu Dalam Harta

Sebahagian orang ada yang berpandangan bahawa harta memainkan peranan penting dalam memilih pasangan yang sama taraf. Orang kaya biasanya mencari pasangan orang yang kaya juga seperti cerita bangsawan dahulu kala. Baik, mari kita tengok pula sirah sahabat. Di zaman Rasulullah S.A.W, ada seorang sahabat yang miskin dan tidak memiliki banyak harta bernama Zubair bin Awwam R.A. yang berkahwin dengan Asma’ Binti Abu Bakar R.A.

Asma R.A. berasal dari keluarga yang sangat kaya, iaitu keluarga Abu Bakar R.A. Seperti kita tahu, dengan kekayaannya yang melimpah ruah sebagai saudagar yang jujur, Abu Bakar R.A. pernah menginfakkan seluruh hartanya semasa perang Tabuk.

Ketika menikah dengan Asma R.A, Zubair R.A. hanya memiliki harta yang berupa seekor kuda. Namun demikian, keluarga mereka tumbuh menjadi keluarga yang barakah dengan izin Allah S.W.T. Pada mulanya, Asma R.A bersama Zubair R.A. hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Namun selepas itu, Zubair R.A. berubah menjadi orang yang kaya raya.

2. Sekufu Dalam Usia

Di dalam pemikiran masyarakat kita, usia yang sekufu bagi pasangan yang mahu bernikah mestilah sama atau di dalam lingkungan umur yang tidak terlalu jauh bezanya. Betul ke? Baik, sekarang jom kita lihat perkahwinan pertama Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W. menikah kali pertama dengan Siti Khadijah R.A. ialah ketika Rasulullah S.A.W. berumur 25 tahun sedangkan Siti Khadijah R.A. pula berumur 40 tahun (mengikut sebahagian pendapat ulama). Walaupun ulama berbeza dalam isu umur Siti Khadijah R.A. ini, namun tetap ada pendapat daripada kalangan ulama yang menyatakan umur Siti Khadijah R.A. pada waktu itu adalah 40 tahun.

Contoh lain, adalah perkahwinan antara Rasulullah S.A.W. dengan Aisyah R.A, puteri kepada Saidina Abu Bakar R.A. Beza umur antara baginda dengan Saiditina Aisyah R.A. juga adalah agak jauh. Rasulullah S.A.W. berkahwin dengan Saiditina Aisyah R.A. ketika beliau masih muda. Namun, perkahwinan itu terdapat banyak kisah romantik yang diceritakan sendiri oleh Saiditina Aisyah R.A. seperti berlumba lari dengan baginda dan sebagainya yang menjadi ikutan bagi pasangan yang sudah berumah tangga.

3. Sekufu Dalam Rupa Paras

Tidak kurang juga, dalam masyarakat kita hari ini ada yang menganggap sekufu adalah daripada aspek rupa paras semata-mata. Lelaki yang tampan adalah hanya untuk perempuan yang cantik dan begitulah sebaliknya pada pandangan mereka.

Rasulullah S.A.W. sendiri adalah seorang lelaki yang boleh dikatakan lelaki tampan. Bentuk fizikal tubuh badan Rasulullah S.A.W. adalah tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Apabila melihat wajah baginda ada nur (cahaya). Malah perut baginda juga tidak buncit dan dadanya bidang. Ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Imam Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Abu Daud.

Al-Bara' bin ‘Azib berkata:

"Rasulullah S.A.W. merupakan seorang lelaki yang bertubuh sederhana (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah), jarak antara kedua-dua bahunya lebar (bahunya bidang). Rambutnya yang lebat terurai ke bahu sampai ke telinganya. Apabila baginda memakai pakaian berwarna merah, aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih tampan daripadanya".

(Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Abu Daud)

Namun adakah semua isteri-isteri Rasulullah S.A.W. itu cantik? Tidak. Malah sebahagian isteri-isteri baginda adalah daripada golongan janda dan berumur. Cantik itu adalah subjektif sifatnya. Pada sesetengah orang, perempuan yang dilihatnya adalah cantik namun tidak pada sebahagian yang lain. Begitu jugalah sebaliknya.

Kesimpulannya, sekufu adalah penting dan diperlukan bagi menjamin keharmonian rumah tangga kerana. Ia adalah garis panduan bagi mendapatkan pasangan yang terbaik disisi syarak dan lebih bersifat adil bagi pasangan yang ingin menikah. Namun jika kedua-dua calon saling redha meredhai dan ingin meneruskan perkahwinan, maka ia bukanlah suatu kesalahan atau dosa. Di sisi mazhab Syafie, sekufu adalah syarat untuk meneruskan perkahwinan bukannya syarat sah perkahwinan.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: