Keberanian seorang wanita melamar lelaki

Keberanian seorang wanita melamar lelaki

Bukanlah menjadi adat dan kebiasaan dalam masyarakat kita, apabila seorang wanita melamar seorang lelaki untuk dijadikan suami atau teman hidup...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Bukanlah menjadi adat dan kebiasaan dalam masyarakat kita, apabila seorang wanita melamar seorang lelaki untuk dijadikan suami atau teman hidup. Ia masih menjadi ralat dan perkara yang menentang norma masyarakat kerana melamar dan memilih pasangan biasanya dimulakan oleh kaum adam. Wanita yang agresif dan mempunyai ciri-ciri sebegini biasanya akan dianggap sebagai wanita yang rendah sahamnya dan kurang memiliki sifat pemalu dalam diri.

Kisah Saiditina Khadijah.

Jika kita bercakap mengenai perkara ini, sirah yang biasa kita ingat ialah cerita bagaimana Saiditina Khadijah melamar Nabi Muhammad melalui orang tengah yang bernama Nafisah. Saidatina Khadijah menggunakan perantaraan bagi menyatakan hasrat hatinya hendak bernikah dengan Nabi Muhammad. Ia adalah salah satu contoh terbaik bahkan sekaligus menafikan bahawa seorang wanita yang bertindak melamar seorang lelaki adalah perbuatan yang kurang manis atau sebagainya.

Malah, selepas kewafatan Saidatina Khadijah, ada kisah yang lebih kuat hujahnya mengenai lamaran wanita kepada lelaki. Ia diceritakan oleh Anas R.A di dalam hadith riwayat Imam Bukhari. Ketika Anas berada bersama Rasulullah SAW, dan anak perempuan Anas juga ada bersama mereka, datang seorang wanita kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam lantas bertanya :

” Wahai Rasulullah, adakah engkau mahukan aku ( sebagai isterimu )”.

Anak perempuan Anas lantas memberi komentar kepada ayahnya; “Bagaimana dengan wanita ini, tidakkah dia malu melamar begitu kepada Rasulullah. Tidakkah dia punya harga diri”.

Lalu Anas r.anhu berkata; “Dia lebih baik daripada engkau. Dia cintakan Rasulullah, lantas menawarkan dirinya untuk Rasulullah”.

Imam Al Bukhari meletakkan hadith ini di bawah bab ” Wanita menawarkan diri kepada lelaki yang soleh”.

Kata seorang ulamak bernama Syeikh Badruddin Mahmud Al-Aini mengenai perkara ini;

"Kata-kata Anas r.a kepada anak perempuannya, menunjukkan bahawa harus seorang wanita menawarkan diri untuk dinikahi oleh seorang lelaki yang soleh, dan diketahui bahawa wanita itu melamarnya kerana kesolehan dirinya, atau kerana kemuliaan dirinya, atau kerana nilai-nilai beragama yang wujud pada dirinya, dan itu tidaklah mencacatkan maruah wanita tersebut bahkan menunjukkan kepada ketinggian jiwa wanita tersebut".

Para ulamak juga menyebut bahawa tidak menjadi suatu yang salah pun di sisi syarak, untuk seorang wanita memulakan dahulu lamaran kepada seorang lelaki. Sebagaimana harusnya seorang lelaki memulakan lamaran kepada seorang wanita.

Kisah realiti.

Sepanjang menguruskan baitulmuslim.com, kami juga tidak terlepas daripada menguruskan kes di mana wanita yang menyukai lelaki dan meminta pihak kami untuk merisik bagi pihaknya. Kami sebenarnya berasa kagum dengan wanita yang mempunyai ciri-ciri begini. Mereka berani menyatakan hasrat hati dengan menggunakan kami sebagai pihak ketiga semata-mata ingin mendapatkan lelaki yang baik pada pandangannya untuk dijadikan sebagai calon suami.

Sepanjang pengurusan ada yang berjaya malah tanpa menafikan ramai juga yang tidak berjaya. Namun, keberanian mereka sebagai muslimah untuk memulakan perkenalan bagi mengajak kaum lelaki untuk bertakruf adalah sesuatu yang benar-benar luar biasa bagi kami. Bukan semua wanita mampu untuk mengambil risiko ditolak oleh lelaki yang mereka suka. Sikap ini benar-benar membuat kami berasa kagum.

Kami tabik dengan keberanian sebahagian wanita melamar secara perantaraan mahupun ‘direct’ kepada lelaki yang disukainya. Menawarkan diri untuk dijadikan kekasih sampai mati. Mungkin berinspirasikan hadith Anas r.a di atas.

Cabaran wanita melamar lelaki.

Namun, daripada satu segi yang lainnya, wanita yang melamar lelaki akan menempuh cabaran dan ujian yang sangat mencabar. Mereka akan berdepan dugaan apabila lelaki yang dilamar merasakan mereka sangat ‘mahal’ pula. Dia juga cenderung untuk ‘memandang rendah’ kepada wanita yang telah melamarnya itu sambil memandang tinggi kepada wanita yang tidak melamarnya. Iyalah, terasa seperti ramai pula wanita yang tertarik dengan dirinya serta alangkah tinggi ‘sahamnya’ di mata wanita. Walaupun sikap buruk sebegini wujud pada lelaki, tetapi tamparan hebatnya adalah pada wanita.

Mereka berdepan risiko yang cukup besar untuk menemui ‘lelaki soleh’ yang akan benar-benar menghargai lamarannya atau hasrat murni di hatinya. Tetapi inilah realiti yang harus ditempuh. Jika anda betul-betul bernasib baik, anda akan ditolak dengan cara yang baik oleh lelaki tersebut dan jika sebaliknya, anda bukan setakat ditolak, bahkan lebih malang menjadi bahan jenaka pula. Sebelum memulakan lamaran, saranan kami, pastikan lelaki tersebut baik akhlak dan perbuatannya.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga islam) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar