Kenali 6 Alasan Popular Lelaki Menolak Ajakan Wanita Untuk Berkahwin
Kenali 6 Alasan Popular Lelaki Menolak Ajakan Wanita Untuk Berkahwin
Alasan ‘saya belum sedia’ ini merupakan antara alasan yang sangat popular bagi menolak ajakan seorang wanita untuk berkahwin. Tidak bersedia sebenarnya mempunyai banyak maksud...
Berkahwin merupakan impian setiap pasangan yang bercinta. Mempunyai perasaan cinta, namun tiada keinginan untuk berkahwin merupakan kesalahan kerana terus membiarkan perasaan cinta itu tidak berada di tempat yang sepatutnya. Allah S.W.T. berfirman di dalam surah An-Nahl yang bermaksud:
“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu, anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal. Maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur (mengingkari) pula akan nikmat Allah?”
(Surah An-Nahl : Ayat 72)
Antara impian seorang wanita dalam hidupnya ialah untuk berkahwin dengan lelaki yang dicintainya kerana Allah S.W.T. Selain itu, mereka juga mahu menjadi isteri serta ibu yang baik untuk suami dan anak-anaknya. Oleh sebab itu, mengenali lelaki yang betul-betul serius dan ikhlas merupakan perkara yang penting bagi mereka untuk membina masa depan yang lebih baik.
Pada artikel kali ini, saya akan menyenaraikan 7 alasan popular yang selalu lelaki gunakan untuk menolak ajakan golongan perempuan untuk berkahwin. Jika si dia mempunyai ciri-ciri seperti yang dinyatakan, si dia mungkin tidak betul-betul serius untuk berkahwin dengan anda.
1. Belum Bersedia
Alasan ‘saya belum sedia’ ini merupakan antara alasan yang sangat popular bagi menolak ajakan seorang wanita untuk berkahwin. Tidak bersedia sebenarnya mempunyai banyak maksud. Kebiasaannya maksud lelaki tidak bersedia itu ialah kerana mereka tidak mahu memikul amanah dan tanggungjawab sebagai suami.
Jika anda seorang penyabar dan boleh menunggu si dia ‘bersedia’, maka silakan menunggu. Persoalannya ialah sampai bila si dia yang anda harap-harapkan itu betul-betul bersedia? Tepuk dada, tanya diri anda sendiri.
2. Tiada Duit Untuk Kahwin
Jika si dia berusaha menyimpan duit kahwin namun belum mencukupi, itu tandanya si dia benar-benar serius untuk berkahwin dengan anda. Namun jika si dia memberi alasan tiada duit tetapi sebenarnya duit yang ada dihabiskan untuk perkara yang lain. Sebagai contoh si dia habiskan duit simpanannya untuk ‘modified’ kereta. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa mencantikkan kereta adalah lebih penting daripada menghalalkan perhubungan.
3. Keluarga Awak Tidak Suka Saya
Sepatutnya jika ada ahli keluarga yang tidak menyukai si dia, anda dan si dia mestilah memainkan peranan untuk mengambil hati keluarga bukan mencipta alasan. Mengambil hati keluarga perlukan kesungguhan dan mungkin mengambil sedikit masa. Kadang-kadang ianya hanyalah syak prasangka daripada si dia sahaja bagi mengelak pertanyaan anda mengenai perkahwinan.
4. Ingin Kejar Cita-cita Dahulu
Mengejar cita-cita merupakan perkara yang baik kerana memasang impian untuk mencapai sesuatu yang lebih baik. Namun, jika dengan berkahwin si dia menganggap perkahwinan itu akan menghalang cita-citanya, maka ia adalah satu yang salah. Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah S.A.W. yang akan mendatangkan rezeki yang melimpah-ruah. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah An-Nur yang bermaksud:
“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”.
(Surah An Nur : Ayat 32)
5. Ibu Bapa Saya Dah Tentukan Jodoh Saya
Jika ibu bapa si dia sudah ada tentukan jodoh untuk si dia, persoalannya kenapa si dia masih lagi berhubung dengan anda? Jika hanya untuk main-main sahaja, maka tidak perlulah anda melayan lelaki yang sebegitu.
Perhubungan yang seperti ini jika diteruskan tidak mempunyai hala tuju dan tujuan yang jelas. Jika si dia mencintai anda, maka si dia haruslah cuba mempertahankan hubungan anda dengannya iaitu dengan memujuk sebaik mungkin orang tuanya.
6. Tidak Habis ‘Enjoy’ Lagi Sebagai Bujang
Ramai orang yang sudah berkahwin memberitahu kepada orang yang masih bujang supaya jangan berkahwin dahulu. Alasannya? Sebab nanti apabila sudah berkahwin, si lelaki tidak bebas. Sama ada bebas berjalan ke mana mereka mahu pergi mahupun dalam melakukan aktiviti yang disukai.
Sebenarnya ini adalah alasan yang paling lapuk. Mereka tidak menghayati keindahan sebenar sesebuah perkahwinan itu. Fakta yang sebenarnya adalah perkahwinan akan membuatkan sesuatu kebebasan itu berasa indah.
Contohnya, pulang berhari raya di kampung. Mungkin sebelum ini kita pulang keseorangan dengan ditemani lagu-lagu hari raya yang diputarkan di radio. Namun, selepas berkahwin ada orang yang menemani kesunyian sepanjang pulang ke kampung. Bukankah itu ‘best’?
Kesimpulan
Ini adalah beberapa alasan popular lelaki menolak ajakan wanita untuk berkahwin yang dapat saya kongsikan kepada pembaca. Jika anda seorang lelaki, janganlah membiarkan wanita yang anda cintai tergantung tanpa tali. Jika betul-betul cinta, maka halalkan perhubungan dengan berkahwin.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?