Kenapa lelaki tak kahwin-kahwin lagi?

Kenapa lelaki tak kahwin-kahwin lagi?

Masalah kewangan, masih belum bertemu calon pilihan dan komitmen keluarga merupakan punca utama kepada pembujangan golongan lelaki di Malaysia...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Masalah kewangan, masih belum bertemu calon pilihan dan komitmen keluarga merupakan punca utama kepada pembujangan golongan lelaki di Malaysia. Statistik menunjukkan 60.4% lelaki yang tidak pernah berkahwin berbanding wanita (39.6%). Kelompak ini bakal menyumbang kepada masalah sosial yang lebih besar dalam tempoh sepuluh tahun yang akan datang.

Duit belum cukup lagi

Sudah terang lagi nyata bahawa kaum lelaki yang perlu berusaha lebih dalam menuju ke arah sebuah perkahwinan. Kenapa? Kerana mereka perlu mengumpul duit untuk membayar mas kahwin atau mahar yang merupakan pemberian wajib oleh suami kepada isteri sewaktu berlangsungnya pernikahan.  

Jika dibandingkan dengan kaum wanita, kaum lelaki yang akan lebih terasa kesannya kerana mereka perlu berusaha keras demi melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan mereka. Malah sampai ada yang ikat perut semata-mata untuk mengumpul wang hantaran. Bagi kaum wanita pula, fahami keadaan dan situasi pasangan kita agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini kelak, iaitu seperti masalah kewangan selepas berumah tangga.

Lebih selesa hidup sendiri

Oleh kerana sudah terbiasa dengan kehidupan yang sedia ada, ada lelaki yang memilih untuk meneruskan hidup mereka sendiri sahaja tanpa seorang isteri di sisi. Utusan online pada 17 Mei 2012 ada menulis tentang antara punca lelaki tidak kahwin adalah disebabkan mereka sudah selesa hidup sendiri. Namun apa yang dirisaukan sekiranya ianya akan menimbulkan pelbagai masalah sosial seperti hubungan sejenis, tinggal bersama tanpa nikah (bersekedudukan) dan sebagainya. Ini juga berpunca dari masyarakat kita yang terikut-ikut dengan negara Barat yang menganggap institusi perkahwinan tidak penting lagi.

Masih belum bertemu dengan pilihan hati

Bila diajukan soalan tentang jodoh, pasti jawapan yang diberikan oleh rata-rata kaum lelaki adalah “saya masih belum bertemu jodoh atau pilihan hati”. Jawapan ini adalah yang paling umum yang sering kita dengari. Ya, memang betul, kalau sudah ditakdirkan kita belum bertemu jodoh, pasti belum tiba masanya lagi untuk kita menamatkan zaman bujang. Namun setiap hasil atau kejayaan tidak akan datang tanpa usaha. Apa salahnya berusaha terlebih dahulu, seterusnya baru kita serahkan pada Allah SWT. Namun, ada juga yang terlalu memilih sehinggakan yang baik sudah di depan mata masih lagi tidak nampak.

Belum bersedia lagi

Untuk menjadi seorang ketua keluarga bukanlah perkara yang mudah. Bagi setiap lelaki, tanggungjawab mereka secara automatik akan menjadi lebih berat selepas mereka bergelar seorang suami. Ada segelintir memberi alasan dengan ‘masih belum bersedia’ dan secara khususnya ‘belum bersedia’ memberi maksud yang umum terutama dari segi kepimpinan dan ekonomi. Hanya mereka sahaja yang memahami maksud itu sendiri. Berilah sedikit masa buat mereka kerana tanggungjawab mereka bukannya sesuatu yang mudah seperti yang disangka.

Ilmu belum cukup

Untuk memasuki gerbang perkahwinan, setiap manusia perlu mempunyai ilmu yang cukup tentang sesebuah perkahwinan. Ilmu yang dimaksudkan adalah lebih menjurus kepada ilmu rumah tangga. Mereka perlu benar-benar memahami dan mendalami hak dan tanggungjawab sebagai suami. Oleh yang demikian, persediaan perkahwinan adalah suatu keperluan yang tidak boleh dipandang remeh oleh setiap muslim yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga.

Pernah dikecewakan

Oleh disebabkan pengalaman lalu, ada di antara mereka yang serik untuk bercinta apatah lagi untuk mendirikan rumah tangga. Pengalaman ditinggalkan atau dipermainkan oleh kaum wanita membuatkan mereka ‘takut’ untuk membuka buku baru dan memilih untuk membujang hingga ke tua.

Masih mempunyai komitmen lain

Jika dibandingkan dengan seorang wanita, komitmen bagi seorang lelaki ternyata lebih tinggi. Kaum lelaki masih mempunyai komitmen terhadap keluarga mereka terutama ibu bapa mereka dan juga bagi mereka yang masih mempunyai adik-adik yang perlu diberi perhatian. Setelah mendirikan rumah tangga, komitmen itu akan menjadi lebih besar sejurus mereka mempunyai seorang isteri dan anak-anak kelak. Oleh sebab itu mereka masih memilih untuk hidup bujang.

Rumusan

Masalah lelaki tidak berkahwin atau berkahwin lewat mungkin dianggap tidak penting di kalangan masyarakat, namun sekiranya terjadi kepada kaum wanita pula, pasti perkara ini dijadikan seperti satu isu yang besar dan penting. Soalan mengenai jodoh pasti jarang diajukan kepada kaum lelaki sepertimana yang dihadapi oleh kaum wanita.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar