fbpxKenapa perlu istikarah ?

Kenapa perlu istikarah ?

Kenapa perlu istikarah ?

Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi dia tidak pasti apakah perbuatan atau tindakannya itu membawa kebaikan ataupun tidak kepada dirinya.

Maka untuk itu, dituntut baginya supaya melakukan solat sunat istikharah. Perlaksanaannya sama dengan solat-solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah saw. pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk Allah Taala dalam beberapa urusan yang penting. Rasulullah menyatakan;

“Apabila kamu merancang sesuatu perkara, maka dia melakukan solat sunat dua rakaat”.

(Hadis ini direkodkan daripada Bukhari)

Hadis ini hadis umum. Tidak disebutkan hukum wajib melakukan istikharah. Ini terbukti, apabila Rasulullah sendiri, tidak pula melakukan istikharah dalam beberapa hal. Kemudian, tidak pernah direkodkan apabila Rasulullah sudah membuat keputusan, nabi beristikharah lagi.

Istikarah bukan sahaja untuk memilih jodoh.

Istikharah ini sebenarnya bukan satu perkara khusus untuk mereka yang mahu berkahwin semata-mata. Bukan ‘alat pencari jodoh’. Bukan juga alat ‘penentu’ siapa yang menjadi pasangan kita. Istikharah ini adalah apa yang terdidik oleh Rasulullah kepada kita dalam membuat apa-apa sahaja keputusan.

Namun, apabila sesetengah pihak mula mengganggap ia ‘alat pencari jodoh sebenar’ yang kononnya tepat 100 peratus, maka istikharah menjadi satu punca kekeliruan hati. Istikharah bukan lagi membantu menenangkan jiwa dan menetapkan hati kita.

Fitnah istikharah jika tidak memahami dengan betul.

Dalam situasi pergerakan ke arah rumah tangga ini, istikharah juga mampu manjadi satu fitnah. Bagaimana? Saya berikan beberapa situasi yang popular.

Contoh 1;

Fulan bin Fulan bertunang dengan Fulanah bin Fulan. Kemudian Fulan bin Fulan ini pergi beristikharah lagi selepas bertunang. Tiba-tiba dia ‘nampak’ wanita lain dalam mimpinya. Terus dikatakan itu adalah ‘petunjuk istikharah’ dan kemudian dia mahu memutuskan pertunangan dengan Fulanah binti Fulan, kerana dirasakan Allah menunjukkan pertunangan itu satu kesilapan.

Contoh 2;

Fulan bin Fulan sedang mencari seseorang bagi dijadikan isteri. Akhirnya, dia beristikharah. Dia nampak Fulanah binti Fulan. Terus dia menyatakan hasratnya kepada Fulanah binti Fulan itu. Namun, Fulanah binti Fulan menolak. Bagaimanapun, Fulan bin Fulan ini berkeras dan mengugut yang Allah memang sudah takdirkan mereka bersama, berdalilkan istikharahnya. Ini membuatkan Fulanah bin Fulan serba salah menolak ‘wahyu Ilahi’ ini.

Maka, oleh kerana ketidak fahaman kita mengenai soal istikharah tadi, kita sebenarnya telah memberikan gambaran yang salah dan menyebabkan berlakunya fitnah. Hal ini merupakan sesuatu yang malang dan memberi nama buruk kepada islam itu sendiri.

Berkait dengan hati.

Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya nanti juga baik. Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik dan molek ?

Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada Syaitan.

Istisyarah atau mesyuarat.

Manusia dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan. Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir, menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat atau meminta pendapat orang berpengalaman sebagai kembar kepada proses Istikharah itu sendiri. Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada proses Istikharah semata-mata hinggakan ada yang menunggu-nunggu mimpi dan sebagainya.

Sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itu kan sunnatullah dalam kehidupan.

Kesimpulan.

Sebagai penutup, istikharah merupakan suatu saranan yang baik daripada Nabi Muhammad jika kita berhadapan dengan pilihan. Maka, mintalah kepada Allah supaya diberi petunjuk. Namun, istikharah tanpa usaha merupakan satu perbuatan yang tidak selari dengan makna sebenar istikharah. Istikharah merupakan jalan yang terakhir apabila kita berhadapan dengan pilihan setelah semua usaha dilakukan dengan harapan semoga pilihan kita adalah yang terbaik dan tepat.

 

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: