Ketahui antara sebab kenapa lelaki tidak tertarik kepada anda

Ketahui antara sebab kenapa lelaki tidak tertarik kepada anda

Namun apa yang paling penting adalah sifat keyakinan anda terhadap diri sendiri. Usah sesekali berasa rendah diri dengan kekurangan yang terdapat pada diri anda...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Wahai kaum wanita, pernahkah anda terfikir kenapa lelaki tidak tertarik pada diri anda? Anda berasakan diri anda sudah cukup sempurna, cantik dan menawan tetapi lelaki masih lagi tidak mahu mendekati diri anda.

Apabila kaum wanita tersepit dalam situasi ini, pasti perkara pertama yang terlintas dalam kepala mereka perkara yang negatif sahaja.

Perempuan 1: Teruk sangat ke aku ni?

Perempuan 2: Orang lelaki mahukan yang cantik-cantik sahaja. Aku sedar siapalah aku, rupa pun tiada.

Perempuan 3: Kenapa lelaki tidak mahu berkawan dengan aku? Buruk sangat ke aku ni?

Mereka masih lagi tercari-cari apakah punca dan sebab kenapa perkara ini berlaku terhadap diri mereka. Berikut kami kongsikan beberapa sebab kepada pertanyaan kaum wanita di luar sana:

Anda kurang keyakinan diri

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. (Ali Imran: 139)

Ayat di atas berbicara tentang persoalan percaya diri kerana berkaitan dengan sifat dan sikap seorang mukmin yang memiliki nilai positif terhadap dirinya.

Tidak kisahlah anda cantik ataupun tidak kerana setiap manusia sudah diciptakan dengan kecantikan mereka yang tersendiri. Namun apa yang paling penting adalah sifat keyakinan anda terhadap diri sendiri. Usah sesekali berasa rendah diri dengan kekurangan yang terdapat pada diri anda. Anda mestilah sentiasa yakin terhadap setiap perkara yang anda ingin lakukan.

Yakin pada diri bukan bererti anda harus berubah menjadi orang lain tetapi anda membangkitkan potensi yang sudah anda miliki. Percayalah, mereka yang mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi pasti akan disukai ramai.

Anda jenis yang cepat marah dan melenting

Ada ke perempuan yang mahukan lelaki yang bersifat panas baran? Pasti jawapannya ‘tidak’ kan? Begitu juga bagi kaum lelaki. Mereka pun tidak gemar untuk memperisteri wanita yang mudah marah dan melenting. Salah cakap sedikit pun dia sudah mahu meletup seperti letusan gunung berapi.

Bagi lelaki, perempuan seperti ini tidak boleh dibawa bergurau dan berbincang. Lelaki akan mudah berasa jemu terhadap perempuan yang memiliki sifat ini. Perempuan perlu bersikap matang dalam menangani emosi anda agar tidak dibenci para lelaki. Buat apa kalau asyik nak marah-marah sahaja? Lelaki pun akan menjauhkan diri dari anda lebih-lebih lagi sekiranya punca kemarahan anda itu disebabkan perkara yang remeh sahaja.

Sebagai contoh apabila lelaki itu berniat untuk bergurau sahaja tetapi si perempuan itu menganggapnya sebagai sesuatu yang serius pula. Maka berlakulah perbalahan pada waktu itu.

Anda tidak berketerampilan menarik

Anda mungkin tidak sedar akan perkara ini. Anda beranggapan fesyen yang anda gayakan sudah menarik tetapi hakikat sebenar fesyen anda sudah terlalu ketinggalan zaman berbanding orang lain. Malah kebersihan diri juga harus diutamakan.

Secara fitrahnya lelaki tidak berminat untuk mendekati perempuan yang tidak menjaga penampilan diri. Hal ini kerana sekiranya diri sendiri pun tidak terjaga, bagaimana pula mereka dapat menguruskan suami dan anak-anak mereka nanti? Perkara itulah yang terdetik dalam hati seorang lelaki.

Semua orang inginkan pasangan yang cantik dan menarik. Jika anda sendiri pun meletakkan impian untuk memiliki lelaki yang berketerampilan menarik, begitu juga dengan mereka. Justeru itu, hiasi diri anda dan buktikan pada mereka yang anda juga mempunyai penampilan yang ceria, menarik dan terurus. Tidak bermakna anda perlu bermake-up, malah cukup sekadar mementingkan aspek pemakaian dan kebersihan diri agar dapat menarik hati mereka.

Anda mempunyai tingkah laku yang kasar

Percaya atau tidak, lelaki tidak suka perempuan yang mempunyai perwatakan yang kasar seperti lelaki dalam dijadikan calon isteri. Namun pada zaman ini perkara ini seolah-olah sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Ramai wanita yang mempunyai tingkah laku yang kasar sehingga kaum lelaki takut untuk mendekati mereka. Malah sifat mereka itu lebih menandingi kekasaran seorang lelaki.  

Fitrah seorang wanita adalah memiliki sifat yang lemah lembut namun sifat yang dipamerkannya tidak sejajar dengan fitrahnya sebagai seorang wanita. Oleh itu, seorang wanita haruslah menunjukkan sifat sebagai seorang wanita yang sebenar. Hal ini kerana isteri yang terbaik adalah isteri yang lembut dan ada sifat kasih sayang.

Kesimpulan

Sudahkah kami menjawab kepada pertanyaan anda itu? Kalau ‘ya’, ubah diri anda menjadi yang terbaik agar diri anda mudah disenangi oleh para lelaki. Ini bukan bermakna anda harus berubah menjadi orang lain tetapi berubah ke arah yang lebih baik demi kepentingan diri sendiri.

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar