‘Langkah Bendul’ Dan 4 Tips Jika Adik Anda Kahwin Dahulu Sebelum Anda

‘Langkah Bendul’ Dan 4 Tips Jika Adik Anda Kahwin Dahulu Sebelum Anda

Walaupun adik anda bertemu jodoh dahulu berbanding dengan diri anda, sokonglah niat mereka untuk berkahwin awal...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Maksud ‘Bendul’ dan ‘Langkah Bendul’

‘Bendul’ mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka bermaksud balok kayu yang dipasang dari tiang ke tiang untuk menegakkan rumah atau menutup lantai. Bendul di muka pintu (pintu depan) mempunyai fungsi sebagai ‘sempadan’ iaitu pemisah antara bahagian luar dengan dalam rumah. Dalam ungkapan Melayu lama, disebut ‘pintu muka menyambut adat’. Maka ada yang menyebut bendul ini sebagai ‘batas adat’.

‘Langkah bendul’ pula merupakan istilah atau perumpamaan orang zaman dahulu berkenaan seorang adik yang berkahwin dahulu daripada kakaknya. Ia merupakan suatu perkara yang agak bertentangan dengan adat dan budaya masyarakat dahulu. Malah mungkin ia masih diamalkan lagi oleh sesetengah orang pada zaman sekarang. Sepatutnya jika mengikut susunan, yang tua akan berkahwin dahulu daripada yang muda. Ia dilaksanakan adalah untuk menjaga hati si kakak yang lebih berumur.

Oleh kerana itu, jika si adik ingin berkahwin juga dengan lelaki pilihannya maka si adik haruslah menyediakan ‘hadiah’ kepada si kakak. Pada asalnya ia bukanlah suatu yang menyalahi syarak atas nama hadiah. Namun jika berlebihan sehingga menjadi kewajipan dan mengundang beban kepada pasangan yang ingin berkahwin, maka ia menyalahi syarak Islam yang memudahkan perkahwinan.

Kepada Yang Bergelar ‘Kakak’

Jika adik anda memaklumkan kepada anda dan keluarga untuk berkahwin dengan pasangan pilihannya sedangkan anda sendiri belum berkahwin, kami sediakan beberapa tip ini.

1. Sokong Niat Mereka

Walaupun adik anda bertemu jodoh dahulu berbanding dengan diri anda, sokonglah niat mereka untuk berkahwin awal. Berkahwin adalah lebih baik bagi mereka daripada keluar berdua tanpa ikatan yang halal dan sah. Pada masa inilah sokongan keluarga amat diperlukan.

2. Jangan Susahkan Perkahwinan Dengan Meminta Hadiah

Selain itu, jangan meminta hadiah atau sesuatu daripada adik dan bakal pasangannya sebagai ganti mereka berkahwin dahulu. Ini sebenarnya akan menyusahkan adik kita dan bakal pasangannya. Jika mereka mampu dan memang berhajat untuk memberikan hadiah kepada kita, tidaklah menjadi kesalahan.   

Bayangkan berapa banyak wang yang akan dibelanjakan untuk perkahwinan nanti. Jika kita meminta hadiah, maka mereka terpaksa mengeluarkan duit untuk membiayai hadiah ‘wajib’ yang kita minta tadi. Bukankah itu membebankan adik anda dan bakal pasangannya?

3. Minta Adik Doa Supaya Bertemu Jodoh

Seterusnya, minta kepada adik anda dan bakal pasangannya untuk mendoakan diri anda supaya juga bertemu dengan jodoh yang baik. Usah berkecil hati dan terasa dengan adik anda yang bertemu jodoh dahulu. Siapa tahu dengan keikhlasan anda dan doa daripada adik anda tadi akan memudahkan urusan jodoh anda kelak. Insya-Allah.

4. Berfikiran Positif Dan Doakan Kebahagiaan Mereka

Jangan sesekali berfikiran negatif. Betulkan ‘mindset’ anda dengan selalu berfikiran positif. Apabila anda positif, maka anda tidak akan bersedih hanya kerana adik anda kahwin dahulu sebelum anda. Mungkin jodoh anda belum sampai. Setiap orang ada ‘bahagian’ masing-masing yang telah ditentukan Allah S.W.T. Teruskan berusaha untuk meneruskan misi anda mencari pasangan di samping doa kepada-Nya. Mudah-mudahan bertemu jodoh yang baik.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar