Mahu berkahwin? Kami sediakan 12 senarai semak sebelum majlis perkahwinan

Mahu berkahwin? Kami sediakan 12 senarai semak sebelum majlis perkahwinan

"Persediaan perkahwinan yang paling baik, adalah kita ambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan daripada tarikh perkahwinan"

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Sebelum sesuatu perkahwinan berlangsung, pasti ramai antara kita yang akan berkahwin sibuk menguruskan hal-hal berkaitan perkahwinan mereka. Persediaan perkahwinan yang paling baik, adalah kita ambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan daripada tarikh perkahwinan. Di sini, kami senaraikan beberapa senarai semak untuk bakal pengantin.

1. Tarikh kahwin.

Ini merupakan perkara yang paling penting. Kalau tiada tarikh untuk berkahwin, kita tidak akan mempunyai matlamat ke arah perkahwinan dan tidak tahu bila kita bersedia untuk menguruskannya. Jadi, berbincang dengan bakal suami atau isteri. Penting untuk kita melibatkan keluarga dalam perbincangan ini supaya mereka merasa tidak diabaikan.

2. Kursus kahwin.

Kursus kahwin merupakan satu benda yang wajib mengikut undang-undang malaysia bagi mereka yang mahu berkahwin. Jadi, kalau belum berdaftar lagi, cepat-cepat daftar. Sila rujuk di jabatan agama negeri atau daerah masing-masing.

3. HIV test.

Hiv test bertujuan untuk memeriksa badan kita sama ada kita mengidap kuman hiv atau bebas daripada jangkitan hiv. Ia tidak susah dan boleh dibuat di hospital dan klinik kerajaan. Bawa kad pengenalan dan pergi ke kaunter kemudian isi borang ujian saringan hiv. Untuk mereka yang bukan berasal dari negeri hospital atau klinik yang kita buat pemeriksaan, sila dapatkan surat kebenaran ujian saringan hiv daripada negeri masing-masing dulu.

4. Katering.

Jika kita ingin menggunakan perkhidmatan katering, sila tempah awal. Pastikan bilangan tempahan sesuai dengan bilangan jemputan yang diundang untuk majlis kita. Jangan terlalu berlebihan dan jangan pula sampai terkurang nanti.

5. Imam/jurunikah.

Untuk mendapatkan imam atau jurunikah, sila rujuk di pejabat agama daerah masing-masing. Lengkapkan borang yang diminta beserta dengan gambar. Jangan esok nak kahwin, hari ini baru nak cari imam. Pastikan paling lewat pun, 2 minggu sebelum tarikh nikah.

6. Khemah/dewan.

Jika buat majlis di rumah dan jemput ramai tetamu, tempahlah khemah untuk keselesaan tetamu kita. Jika majlis kita kecil-kecilan sahaja mungkin tiada masalah. Bagi mereka yang buat di dewan, pastikan tempah dewan supaya kita tidak terlambat dan kelam kabut apabila majlis kita hampir tiba nanti.

7. Pelamin/ andaman.

Pilih pelamin yang mengikut bajet kita. Jangan terlalu mewah jika tiada duit untuk membayar pelamin itu. Pastikan jangan sampai berhutang pula. Biasanya pakej pelamin akan datang sekali dengan andaman dan baju pengantin.

8. Jurugambar (photographer).

Bagi mereka yang mahu mengabadikan kenangan perkahwinan mereka boleh mula mencari jurugambar perkahwinan mereka. Jika tidak, kita boleh melantik ahli keluarga kita atau daripada kalangan sahabat kita yang pandai merakam gambar sebagai jurugambar kita nanti.

9. Doorgift atau buah tangan tetamu.

Untuk doorgift atau buah tangan tetamu, berilah kepada tetamu anda sesuatu yang bermanfaat bagi mereka. Sebagai contoh makanan atau yasin dan doa-doa pilihan. Ini bukanlah wajib. Jika mampu silakan. Jika tidak mampu pun tiada masalah. Jangan bebankan diri kita jika tidak berkemampuan.

10. Barangan hantaran.

Beli barang hantaran yang kita rasa kita akan guna nanti. Seeloknya berbincanglah dengan pasangan kita. Jangan sampai terlalu habiskan duit pada hantaran semata-mata mahu menunjuk pada orang lain. Pilih yang berguna dan bermanfaat untuk kita dan pasangan.

11. Duit hantaran/ mas kahwin.

Jika kita lelaki, sediakan duit hantaran yang telah dipersetujui bersama pasangan kita. Biasanya hal ini akan melibatkan pihak keluarga. Jangan abaikan mereka. Mas kahwin pula ialah hadiah yang diberikan pihak lelaki untuk pihak perempuan. Biasa bagi masyarakat kita adalah berupa wang atau dinar emas.

12. Kad jemputan.

Setiap kad jemputan yang diedarkan kepada tetamu mestilah jelas dan mempunyai maklumat yang lengkap mengenai majlis perkahwinan kita nanti seperti waktu majlis, peta lokasi dan lain-lain lagi yang dirasakan penting untuk tetamu kita tahu. Edarkan kad jemputan sekurang-kurangnya satu bulan daripada tarikh perkahwinan kita. Jangan pula terlalu awal.

Ini adalah antara beberapa senarai semak sebelum majlis perkahwinan yang dapat kami senaraikan kepada bakal pengantin. Tahniah kepada yang bakal berkahwin. Semoga bermanfaat.

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar