Mahukan hubungan cinta yang diredhai Allah? Jom lakukan 4 perkara ini

Mahukan hubungan cinta yang diredhai Allah? Jom lakukan 4 perkara ini

"Bahkan Islam juga tidak melarang umatnya untuk bercinta kerana ianya adalah fitrah semula jadi manusia..."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

 

 

Ia adalah normal bagi setiap manusia yang mempunyai keinginan untuk bercinta. Bahkan Islam juga tidak melarang umatnya untuk bercinta kerana ianya adalah fitrah semula jadi manusia. Namun, setiap yang dibenarkan oleh Islam haruslah berlandaskan jalan yang betul, bukan nafsu semata-mata. 

Dalam Islam, hubungan cinta yang belum mempunyai ikatan yang sah perlu dititikberatkan agar tidak tersasar dari landasannya. Tidak salah untuk mengenali antara satu sama lain namun ianya haruslah berlandaskan batas-batas agama yang sudah ditetapkan olah syarak. 

Tambahan pula pada zaman ini, kita juga sering disajikan dengan berita-berita mengenai kes khalwat yang semakin berleluasa terutama di kalangan remaja sekarang. Ianya sedikit sebanyak memberi gambaran buruk tentang salah laku remaja sekarang mengenai batas-batas pergaulan yang telah ditetapkan oleh Islam. Misalnya seperti masalah pergaulan bebas yang melibatkan pelajar IPT yang sering dipaparkan melalui media tempatan. 

Oleh itu, hubungan cinta yang dijalin sebelum sebuah pernikahan haruslah berlandaskan agama dan mendapat keredaan Allah SWT. Jom kita lihat apa perkara yang perlu dititiberatkan.

Menjaga adab pergaulan

Adab pergaulan antara lelaki dan wanita ada batasnya. Walaupun pasangan itu telah bertunang, hubungan pertunangan masih belum boleh menghalalkan pergaulan antara pasangan. Adab pergaulan yang bebas seperti yang kita dapat lihat pada zaman sekarang ini boleh membawa mereka ke arah kemaksiatan. Maka, jangan sesekali mengambil mudah tentang pergaulan sesama mereka yang berlainan jantina. 

Pada Jun 2020, Harian Metro melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun sanggup menipu ibu bapa kononnya bermalam di rumah rakan sebaliknya menyewa motel dengan teman lelaki. Punca terjadinya kes-kes sebegini adalah disebabkan kelalaian dalam menjaga adab pergaulan sehingga tergadai maruah diri.

Rasulullah SAW begitu menekankan batas pergaulan lelaki dan wanita dalam kehidupan seharian. Ini bagi mengelakkan kesan negatif dan fitnah yang tidak dijangka. Dari Ibnu Abbas R.A. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda:

Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi)

Menjaga aurat

Sudah terkenal kalimah “aurat” dalam sebutan Melayu. Kalimah aurat itu asalnya dari bahasa Arab. Dalam Lisan al-Arab, al-Imam Ibn Manzur menyatakan bahawa maksud bagi aurat adalah setiap perkara yang mendatangkan malu apabila ia terpamer. Sebarang perbuatan, perkataan dan perkara yang melahirkan hilang sifat terhormat atau mendatangkan aib, maka ia dianggap sebagai aurat.

Difahami di sini bahawa pemaknaan bagi aurat adalah berfaktorkan aib dan terhormat. Dengan sebab itu, terdapat perbincangan dalam kalangan ilmuwan muslim berkenaan pemakaian terhadap lelaki dan perempuan. Ianya melibatkan beberapa anggota badan manusia yang tidak boleh dipamerkan dan dibuka kepada orang lain.

Apabila keluar dari rumah, agama menyuruh kita menutup aurat, baik lelaki mahupun wanita. Ianya adalah untuk memelihara diri dari perbuatan zina. Sesungguhnya perbuatan zina itu amat buruk kerana melanggar hukum Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat". (Surah al-Israak ayat 32)

Menghampiri zina bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram. Ustaz Ahmad Dahri menerusi Facebook Live membuat penjelasan bahawa zina ialah sumber kepada segala kejahatan. Jika kita terperangkap dengan perbuatan zina, maka ia akan merosakkan keturunan, sedangkan menjaga nasab (keturunan) itu adalah satu kewajipan.

Bukan kerana nafsu semata-mata

Jika anda menjalinkan hubungan cinta hanya kerana nafsu semata-mata, dalam kehidupan seharian anda tidak akan endahkan peraturan yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT. Sehinggakan ada yang sanggup ketepikan batas dan hukum Allah SWT. Perbuatan ini juga akan mendekatkan diri seseorang itu dengan zina. 

Dalam Islam, ianya adalah digalakkan untuk melihat bakal pasangan yang ingin dikahwini sebelum seseorang itu berumah tangga. Namun bukanlah dengan pandangan yang menggoda yang boleh mendatangkan kemudaratan. Bukan tidak dibenarkan untuk tengok pasangan tetapi merenung diikuti dengan nafsu bakal diiringi panahan syaitan. Seperti sabda Nabi:

Pandangan itu adalah panahan beracun Iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku nescaya akan Aku gantikan ia dengan iman dan dia akan memperoleh kemanisan dalam hatinya” 

Hadis Riwayat At-Tabrani dan Al-Hakim

Pandangan mata seorang manusia mampu menjerumuskan seseorang dalam keburukan dan bahkan mengarah pada perbuatan zina yang dilarang Allah SWT. Jadi untuk menghindari perkara tersebut, maka Allah SWT memerintahkan umat-Nya agar selalu menjaga pandangannya terutama pada lawan jenis. Firman Allah SWT:

“Katakanlah kepada laki-laki yang beriman, ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” (Surah An-Nur, ayat 25:30) 

Solat Istikharah

Islam adalah agama yang sangat sempurna. Malah Islam menyediakan penyelesaian bagi mereka yang keliru akan jodoh mereka sendiri. Walaupun manusia dikurniakan dengan kesempurnaan tetapi tetap memiliki kekurangan terutama dalam menentukan sesuatu di luar kemampuannya. 

Kita digalakkan mendirikan solat istikharah untuk meminta Allah SWT memperkuatkan keputusan yang ada. Ianya juga adalah sebagai petunjuk untuk membuat keputusan yang belum ada terutama bagi mereka yang masih lagi ragu-ragu tentang hubungan mereka. Rasulullah menyatakan:

“Apabila kamu merancang sesuatu perkara, maka dia melakukan solat sunat dua rakaat”

(Hadis ini direkodkan daripada Bukhari)

Mereka yang mengamalkan solat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan hanya untuk mendapatkan petunjuk dari Allah SWT bahkan dalam membuat keputusan yang belum pasti. Selepas itu, bertawakal kepada Allah SWT.  Sesungguhnya jawapan Dia adalah sebaik-baik jawapan.

Jadi berusahalah untuk mendapatkan keberkatan Allah SWT semata-mata terutama dalam memperoleh hubungan yang diredhai Allah SWT. 

 

Jom bina baitul muslim (keluarga islam) yang bahagia



 

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar