Medium Cari Jodoh Menggunakan Internet

Medium Cari Jodoh Menggunakan Internet

Laman web adalah sesuatu yang bersifat boleh akses di mana-mana sahaja, tidak kira tempat dan waktu. Ia sangat sesuai bagi mereka yang selalu mengejar masa dan sibuk...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Perubahan zaman menyebabkan masyarakat kini lebih terbuka dalam soal mencari jodoh melalui alam maya atau istilah lain, menggunakan medium internet. Jika dahulu mencari jodoh biasanya dilakukan dengan berkenalan secara berhadapan, namun sekarang tidak perlu lagi. Anda sudah boleh mencari jodoh dengan hanya mengadap komputer mahupun ‘smart phone’ sahaja. Syaratnya mestilah mempunyai liputan internet. 

Mencari jodoh menggunakan medium internet sudah tentu mempunyai kelebihan dan juga kelemahan yang tertentu. Pada kali ini, saya akan kongsikan dengan anda kelebihan mencari jodoh menggunakan internet. Di samping itu, saya juga akan kongsikan beberapa tip keselamatan yang perlu anda tahu ketika mencari jodoh melalui medium internet ini. 

Kelebihan Mencari Jodoh Melalui Medium Internet

1. Tidak Mengganggu Masa Anda

Laman web adalah sesuatu yang bersifat boleh akses di mana-mana sahaja, tidak kira tempat dan waktu. Ia sangat sesuai bagi mereka yang selalu mengejar masa dan sibuk. Kesibukan merupakan antara faktor bagi golongan lelaki dan wanita lambat bertemu jodoh. Dengan adanya medium alternatif ini, ia akan lebih memudahkan golongan ini untuk bertemu dengan jodoh mereka.

Tambahan pula, pada telefon pintar sekarang telah disediakan sambungan internet yang  membolehkan pengguna untuk mengakses internet hanya menerusi telefon  pintar sahaja. Tidak perlu untuk membuka laptop atau ‘personal computer’. Ini akan memudahkan lagi urusan mereka untuk mencari jodoh melalui internet.

2. Membantu Golongan Yang Kurang Keyakinan Diri

Mencari jodoh melalui internet juga adalah salah satu tempat alternatif yang baik bagi golongan yang kurang berkeyakinan tinggi. Ini kerana mereka dapat menyembunyikan kegugupan mereka berbanding jika bertemu secara berdepan dengan calon pasangan.

Pertanyaan secara alam maya akan memberikan lebih kebebasan untuk bertaaruf (berkenalan) dengan bakal pasangan. Sebagai contoh, mereka akan lebih mudah berterus terang tentang ciri-ciri pasangan yang mereka mahukan tanpa berselindung. Jika secara berdepan, soalan-soalan yang agak  sensitif mungkin tidak akan ditanya kerana malu atau gugup.

3. Tidak perlu Keluar Rumah

Kelebihan mencari jodoh melalui internet juga adalah kita tidak perlu  keluar daripada rumah. Bagi sesetengah orang, mereka malas untuk keluar ‘hangout’  terutama pada waktu hujung minggu. Waktu hujung minggu bagi mereka adalah waktu rehat. Jadi dengan hanya perlu melayari web cari jodoh, anda boleh bertemu jodoh dengan pasangan yang serasi.

4. Tidak Perlu Takut Ditolak

Anda yang mencari jodoh melalui internet tidak perlu takut jika mahu  menolak atau ditolak oleh bakal pasangan taaruf. Ini kerana penolakan yang berlaku adalah biasa bagi cari jodoh secara ‘online’ ini. Semua calon yang mencari jodoh tidak bertemu secara berdepan. Jadi tidak  perlu terasa hati atau tersinggung jika anda juga ditolak oleh calon lain.

5. Banyak Pilihan

Apabila anda masuk ke satu-satu laman web cari jodoh, anda akan melihat  ramai calon yang seperti anda juga berdaftar untuk mencari jodoh. Jadi anda hanya perlu memilih daripada senarai calon yang ada. Semestinya anda akan mempunyai banyak pilihan. Pilihlah yang terbaik dan serasi. Pastikan anda kenal bakal pasangan anda betul-betul sebelum  melangkah ke tahap yang lebih serius.

6. Potensi Mendapat Jodoh Lebih Besar

Mereka yang mendaftar di laman web cari jodoh biasanya adalah mereka  yang sudah bersedia untuk berkahwin. Tujuan dan misi mereka adalah jelas  iaitu berkahwin. Oleh sebab itu, potensi untuk bertemu jodoh juga  adalah lebih besar kerana semua orang yang mendaftar pada laman web  tersebut mempunyai misi yang sama iaitu berkahwin.

Tips Keselamatan Apabila Mencari Jodoh Melalui Internet

1. Jangan Beri Maklumat Peribadi

Jika anda mencari jodoh melalui internet sama ada menggunakan media sosial mahupun laman web cari jodoh, anda mesti sentiasa berjaga-jaga. Perkara pertama yang mesti anda lakukan adalah jangan memberi maklumat yang terlalu peribadi kepada calon yang baru anda kenal. 

Mendedahkan maklumat yang terlalu peribadi mungkin boleh memberi risiko kepada keselamatan anda. Contoh maklumat peribadi ialah seperti alamat tempat tinggal, nombor telefon, nombor akaun bank dan sebagainya. 

2. Jangan Beri Duit

Elakkan untuk memberi duit kepada calon yang anda kenal melalui internet walaupun calon tersebut memberi alasan untuk meminjam. Saya sebenarnya secara peribadi pernah berhadapan dengan  beberapa kes penipuan yang melibatkan duit ini. Oleh kerana atas dasar cinta dan percaya, ada yang sanggup memberikan duit kepada orang yang baru sahaja kenal melalui internet. 

Akibatnya, mereka ditipu dan calon taaruf alam maya mereka itu lesap sama sekali. Oleh sebab itulah, saya menasihatkan anda semua sentiasa berjaga-jaga terutama pada perkara yang melibatkan perihal duit.

3. Kenal Calon Taaruf Secara Mendalam

Jangan membuat keputusan yang penting selagi anda belum mengenali calon taaruf anda dengan lebih mendalam. Semasa berhubung dengan alam maya, selidik betul-betul tentang si dia. Jangan malu untuk bertanyakan soalan-soalan penting termasuk perkara yang sensitif jika perlu demi kebaikan kedua-dua belah pihak.  

4. Jumpa Keluarga

Mengenali calon taaruf semestinya tidak cukup hanya di alam maya sahaja. Apabila anda dan si dia sudah ada keserasian, ajak calon taaruf anda itu datang ke rumah anda. Alangkah baiknya juga jika si dia datang ke rumah anda bersama keluarganya. 

Ini adalah penting bagi mengetahui sama ada si dia betul-betul serius untuk berkahwin dengan anda ataupun tidak. Perjumpaan bersama keluarga ini membolehkan anda dan si dia merancang untuk ke peringkat seterusnya yang lebih serius seperti bertunang mahupun berkahwin. 

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar