Mencari Jodoh Di Zaman Moden

Mencari Jodoh Di Zaman Moden

...dalam kita bermesej melalui telefon pintar sekalipun, terdapat batas-batas yang perlu diambil kira.

Dikarang oleh asyrafjemaat | Tips dan petua

      Pada masa kini, pelbagai gaya hidup ataupun budaya masyarakat kita yang kian berubah disebabkan oleh pengaruh luar dan kemunculan teknologi baharu. Begitu juga dengan mencari jodoh, coraknya juga dalam kalangan orang ramai sudah tidak seperti dulu. Selari dengan masa, orang ramai sudah mula mencari alternatif baru dalam mencari teman hidup. Ramai antara kita juga yang sudah bijak memanfaatkan kemudahan yang ada bagi tujuan tersebut. Jika kemudahan ini menjimatkan tenaga dan masa, apa salahnya bukan? Hari demi hari, ada sahaja media sosial, aplikasi mudah alih dan juga peranti canggih baharu yang mendorong masyarakat untuk menyertai kehidupan secara maya ini. Persoalannya, sejauh manakah kemodenan mendorong kita untuk memilih seorang calon yang baik dan tepat? Ini selari dengan maksud potongan ayat al-Quran yang berikut;

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” 

Surah Al-Furqan: Ayat 74  

Selain itu, Rasulullah S.A.W bersabda dalam satu hadis, maksudnya;

"Jika kamu meminang wanita, maka jika boleh melihat pada wanita tersebut untuk dinikahi, maka laksanakanlah.” 

(Riwayat Jabir)

Maka di sini kita boleh lihat bahawa agama Islam menuntut umatnya untuk bernikah tetapi proses itu mestilah dijalankan dengan teliti dan berhemah. 

Apa Yang Perlu Diperhatikan

Setiap perkara yang hadir dalam hidup kita pasti membawa kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Begitulah keseimbangan dunia yang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita. Justeru, dalam kita mengejar jodoh di zaman moden ini, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan supaya pernikahan itu berkekalan hendaknya dengan izin Allah. 

1. Batas pergaulan 

Sebagai seorang manusia biasa, Allah tidak menghalang kita untuk berkasih sesama makhluk khususnya demi membina keluarga bahagia. Namun begitu, agama kita menggariskan beberapa panduan yang perlu diikuti supaya mereka yang bercinta tidak terjebak dengan sebarang perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah. Misalnya, jika seorang lelaki mahu mengajak seorang wanita untuk keluar bersiar-siar, wanita itu perlulah ditemani oleh ahli keluarga atau rakannya yang lain. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan fitnah dan mencegah perlakuan-perlakuan negatif. 

Bukan itu sahaja, dalam kita bermesej melalui telefon pintar sekalipun, terdapat batas-batas yang perlu diambil kira. Sebagai contoh, haram jika kita berbual dengan orang yang berlainan jantina sekiranya perbualan itu mendatangkan syahwat. Cukuplah sekadar bertanya khabar dan sapa orang itu dengan sopan. Ingat, segalanya akan menjadi halal apabila kita sudah bernikah nanti. Oleh itu, bawa bertenang dan berusahalah untuk bernikah secepat mungkin. 

2. Sifat masing-masing 

Rasulullah S.A.W pernah bersabda, maksudnya;

“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” 

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebelum melangkah lebih jauh, kenali dahulu sifat-sifat yang ada pada seseorang yang kita sukai itu. Tanya kenalan rapat orang tersebut mengenai perwatakannya atau perhatikan tingkah lakunya sewaktu dia bersua dengan kita. Mungkin kita tidak mampu mengenalinya dengan terperinci sewaktu sesi taaruf (berkenalan), tapi sekurang-kurangnya kita sudah cuba untuk mencari yang terbaik untuk diri kita. Perihal yang selebihnya itu kita sandarkan pada Ilahi. Satu perkara yang perlu kita ingat, jika calon pasangan kita itu sudah menunjukkan sifat yang buruk dari awal, maka adalah lebih baik untuk kita menamatkan hubungan tersebut. Yang paling penting sekali, agama mestilah didahulukan supaya hubungan kita sentiasa diredhai oleh Allah. 

3. Niat

Dalam kita membina satu hubungan yang berlandaskan ajaran agama, pasanglah niat yang betul terlebih dahulu. Niat yang tulus akan membawa kepada ikatan yang lebih bahagia. Jangan kita bercinta hanya kerana ‘trend’ di Malaysia semata-mata. Biarlah hubungan yang bermula dengan taaruf (perkenalan) disudahi dengan pernikahan yang sah. Jika kita bercinta hanya untuk suka-suka, maka hukumnya adalah haram. Tidak baik untuk kita mempermainkan perasaan seseorang hanya kerana kita tidak mahu kelihatan kolot atau ketinggalan berbanding rakan-rakan lain. Biarlah orang dengan cara mereka. Biar pula kita mengikut haluan yang betul disertai dengan niat untuk membina keluarga kerana Allah Taala. 

Apa Alternatif Yang Ada 

Merujuk pula kepada kemudahan-kemudahan yang ada pada masa kini, terdapat pelbagai kaedah baru yang boleh dicuba oleh masyarakat khasnya dalam mencari jodoh. Sekarang, kita sudah boleh melihat gambar seseorang hanya dengan satu klik di telefon pintar kita. Begitulah mudahnya untuk kita berkenalan dengan seseorang di dunia moden ini. Justeru, mari kita lihat apakah alternatif yang boleh kita gunakan dalam mencari jodoh.

1. Komunikasi melalui rangkaian sosial (social network)

Kita patut bersyukur kerana pada masa ini, dunia kita sudah tidak lagi terbatas dengan jarak mahupun masa. Maksudnya di sini adalah dengan adanya kemudahan seperti rangkaian sosial, komunikasi antara satu sama lain bukan lagi satu isu. Ini kerana kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia melalui ruangan atas talian (online). Dalam konteks mencari jodoh, salah satu kelebihan rangkaian sosial adalah kita boleh mengenali seseorang dahulu sebelum bertemu dengan mereka. Hal ini dapat mengurangkan risiko yang mungkin dihadapi jika kita bertemu dengan seseorang tanpa usul periksa. Namun begitu, kita tetap perlu berwaspada kerana bahaya ada di mana-mana. 

Selain itu, sekiranya kita berkomunikasi dengan orang yang bukan mahram melalui rangkaian sosial, perbualan itu mestilah diawasi oleh ibu bapa dan keluarga kita. Dengan ini, tiada ruang untuk kita berbual tentang perkara yang tidak bermanfaat ataupun berfikir tentang melakukan sesuatu yang sia-sia. Di samping itu, rangkaian sosial juga bersifat lebih terbuka di mana orang awam biasanya dapat melihat apa yang kita kongsikan. Oleh itu, terdapat ramai saksi yang memerhatikan perlakuan kita terutamanya jika kita berhubung dengan orang bukan mahram. Sekali lagi, perkara ini menjadikan komunikasi itu selamat dan bebas daripada perkara terlarang. Sungguhpun begitu, usaha tersebut mesti bermula daripada diri kita sendiri. 

2. Kelas-kelas atau ceramah online (untuk mendapatkan ilmu perkahwinan) 

Seterusnya, apabila dunia secara atas talian ini wujud, maka peluang-peluang baru juga turut tercipta. Sebagai contoh, sekarang orang ramai tidak lagi perlu bersusah payah untuk mencari ilmu. Pelbagai pihak sudah menyediakan kelas-kelas ‘online’ agar kita boleh belajar tanpa perlu meninggalkan keselesaan di rumah kita. Selari dengan isu wabak yang melanda sekarang, kelas secara atas talian semakin rancak dijalankan supaya kita masih boleh menimba ilmu tanpa sebarang kerisauan. 

Kelas-kelas yang dijalankan termasuk kelas ilmu agama, ceramah-ceramah secara maya, kursus perkahwinan secara maya dan bermacam-macam lagi. Pilih sahaja mengikut keperluan kita dan insya-Allah, pembelajaran akan berlangsung dengan mudah dan teratur. Kalau kita ingin menambah ilmu mengenai alam perkahwinan, cari saja kelas yang berkaitan di laman enjin carian. Laman tersebut akan menyenaraikan kelas-kelas yang sesuai untuk anda. Sewaktu menghadiri kelas-kelas ini, pastikan kita menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran. Jika tidak, kita mungkin akan terlepas beberapa isi penting yang terkandung dalam sesi tersebut.  

3. Hiburan berunsur Islamik dengan mesej-mesej mengenai cari jodoh  

Akhir sekali, kita juga boleh mencari hiburan berunsur Islamik secara maya sekarang. Sudah ramai penggiat-penggiat seni yang menyediakan hiburan buat orang umum dengan mesej-mesej Islamik dan berkait tentang jodoh. Kita ambil contoh di laman ‘Youtube’, terdapat banyak lagu-lagu nasyid yang mengetengahkan hal cari jodoh berlandaskan agama. Media massa juga tidak terkecuali dalam menghasilkan drama-drama yang memberi nasihat agar kita tidak tersesat dalam mencari jodoh yang sesuai. Sebagai penonton, tugas kita adalah menapis bahan-bahan ini supaya kita memperoleh manfaat daripadanya dan dijauhkan daripada sebarang keburukan. 

Sebagai kesimpulan, dunia moden menyediakan kita dengan seribu satu kemudahan yang canggih. Oleh itu, gunakan kemudahan-kemudahan ini dengan bijak dan berhikmah terutamanya dalam mencari jodoh. Tidak salah sebenarnya untuk kita mencari jodoh dengan pelbagai cara asalkan cara itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagai seorang Muslim, garis panduan agama harus diutamakan supaya kita tidak mudah terikut-ikut dengan budaya negatif dari luar yang sering dicontohi oleh orang ramai. Semoga Allah memberi kita kemudahan dalam mencari jodoh. 

 

Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar