Menepis Persepsi Masyarakat Terhadap Orang Yang Kahwin Lambat

Menepis Persepsi Masyarakat Terhadap Orang Yang Kahwin Lambat

Jika ada yang bertanya, katakan saja waktu yang Allah aturkan untuk kita menikah belum tiba lagi.

Dikarang oleh asyrafjemaat | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

 

 

       Dalam ajaran agama Islam, kita dianjurkan untuk berkahwin di usia muda atas pelbagai alasan yang munasabah. Misalnya, kita dapat mengembangkan keturunan kita dan menambah bilangan umat Islam di dunia. Namun begitu, ada sahaja di antara kita yang diuji dengan jodoh yang lambat tiba. Ada banyak sebab mengapa jodoh seseorang itu sampai ketika usianya sudah lanjut. Barangkali hal ini sudah menjadi satu masalah buat individu tersebut, kemudian masalah lain pula timbul apabila masyarakat mempunyai persepsi yang negatif terhadap orang yang lambat kahwin. 

Mengapa sebenarnya masyarakat kita mempunyai pandangan yang buruk terhadap golongan ini? Apa pula yang boleh kita lakukan untuk menepis persepsi yang sedemikian? Di sini kami huraikan beberapa idea sebagai jawapan kepada persoalan-persoalan tadi. Semoga hujah ini boleh membantu orang di luar sana untuk berlapang dada dengan ketentuan Ilahi. Cepat atau lambat, Allah sudah pun menjanjikan setiap hambanya berpasang-pasangan. 

Alasan Yang Baik Untuk Menepis Persepsi Masyarakat     

1. Jodoh Sudah Ditetapkan Oleh Allah S.W.T

Ada orang yang bertahun-tahun berusaha untuk mencari jodoh tetapi belum berpeluang untuk berkahwin. Ada pula yang baru kenal beberapa bulan kemudian terus mendirikan rumah tangga. Kenapa? Kerana jodoh itu sudah diatur oleh Yang Maha Esa dan di luar daripada kawalan kita. Jodoh kita sudah tertulis sebelum kita lahir lagi dan tidak akan berubah. Oleh sebab itu, sejauh mana pun kita mengejar seseorang, jika dia tidak tertulis buat kita, maka hubungan tersebut tidak akan menjadi. Tetapi jika dia memang jodoh kita, elaklah macam mana pun, kita akan tetap bersama dengannya di akhir cerita nanti. 

Sesetengah orang bertanya, jika jodoh sudah ditetapkan, kenapa kita perlu berusaha lagi? Jawabnya, menurut para ilmuwan seperti Ustaz Azhar Idrus (amnya), kita adalah hamba kepada Allah dan Dia adalah ‘Tuan’ kita yang Maha Besar. Justeru, kita wajib berikhtiar demi mendapatkan sesuatu yang kita inginkan. Allah suka melihat hamba-hambanya yang berusaha termasuklah dalam urusan jodoh. Tambahan pula, ada pahala dan keberkatan yang boleh diraih ketika kita mencari jodoh. Oleh itu, jangan berhenti berusaha untuk mencari jodoh dan ketepikan pandangan orang lain. Jika ada yang bertanya, katakan saja waktu yang Allah aturkan untuk kita menikah belum tiba lagi. Perkara ini selari dengan ayat al-Quran, maksudnya,

"Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)."

(Surah Adz-Dzariyat, ayat 49)

2. Berbakti Dulu Kepada Ibu Bapa Dan Mendalami Ilmu Rumah Tangga 

Seterusnya, kalau masih ada segelintir ‘mak cik bawang’ yang bertanya kenapa kita masih belum berumah tangga? Jawablah Allah memberikan kita peluang untuk berbakti dahulu kepada kedua ibu bapa. Selagi orang tua kita masih hidup, sebenarnya banyak ruang yang kita ada untuk mengumpulkan pahala dengan memudahkan kehidupan mereka. Sapalah mereka untuk makan, bawa mereka berjalan-jalan ataupun doakan mereka sewaktu kita menunaikan solat fardhu.

Tidak akan rugi seorang anak yang berbakti kepada kedua ibu bapanya. Insya-Allah, dengan amal yang kita lakukan untuk ibu bapa kita, Allah akan mendekatkan jodoh yang soleh atau solehah kepada kita. Sesungguhnya agama Islam itu indah, begitu juga aturan-Nya. 

Di samping itu, kita juga berpeluang untuk mendalami ilmu rumah tangga sebelum berkahwin. Apabila jodoh lambat tiba, kita boleh gunakan masa yang ada untuk menambah baik pengetahuan kita tentang hal kekeluargaan. Bukan mudah untuk menjadi seorang suami atau isteri yang baik. Pasangan yang berkahwin perlu sentiasa berkomunikasi dan bertolak ansur dalam memastikan rumah tangga sentiasa bahagia. 

Dengan mendalami ilmu-ilmu begini ketika zaman bujang, kita akan berasa lebih yakin dan bersedia untuk mengharungi alam perkahwinan kelak. Oleh itu, ambillah masa yang secukupnya untuk membuat pilihan yang bijak. Timba ilmu sebaiknya kemudian carilah seorang calon dengan mendahulukan agamanya. 

3. Biar Lambat, Asalkan Pilihan Kita Tepat  

Orang Melayu selalu berkata, “biar lambat, asal selamat”. Kata-kata tersebut sesuai untuk pelbagai jenis keadaan. Dalam konteks artikel ini, sudah tentulah ada kaitannya dengan jodoh. Kalau mencari teman hidup, tidak salah untuk kita teliti pilihan yang ada. Jika kita kahwin lambat kerana mencari seseorang yang beriman dan sesuai dengan hati kita, maka tidak ada salahnya. Yang penting kita pandai menjaga diri ketika masih bujang.

Bagaimanapun, kita tidak boleh pula menjadikan perkara ini alasan untuk terlalu memilih calon. Kita sendiri ada kelemahan yang tersendiri, begitu juga dengan si dia yang kita cari. Kalau kita mahukan ‘Mr. Perfect 10’ contohnya, tidak hairanlah kita masih bersendirian walaupun sudah lanjut usia. Menggunakan masa sewajarnya untuk memilih calon yang sesuai itu tidak salah, tetapi ada had yang perlu dijaga dalam meletakkan kriteria terhadap si dia yang kita idamkan. 

4. Perancangan Hidup Yang Selari Dengan Pasangan  

Apabila bercakap mengenai soal perkahwinan, ia bukanlah perkara yang kekal untuk sehari dua sahaja. Bagi memastikan hubungan tersebut utuh sehingga ke akhir hayat, setiap pasangan mestilah mempunyai perancangan hidup yang selari. Ini bukanlah satu hukum yang wajib dipenuhi, tetapi ia satu tip yang boleh dipraktikkan dalam perkahwinan. Jika kita mempunyai matlamat yang jelas dan kedua-dua pihak serasi dengan arah tersebut, maka kita boleh bentuk keluarga tersebut mengikut perancangan yang ada. 

Selain itu, perancangan ini juga boleh dijadikan sandaran sekiranya terdapat sebarang salah faham yang berlaku dalam rumah tangga. Biasalah, kehidupan suami isteri tidak selalunya tenang. Hal demikian adalah normal dan bukanlah sesuatu yang perlu ditakutkan. Dengan adanya matlamat yang jelas dalam kehidupan berumah tangga, mungkin masalah-masalah kecil yang timbul dapat diselesaikan dengan aman. 

Justeru, ingatkan orang di luar sana, kalau kita masih lagi bujang, kita sebenarnya mencari seorang calon dengan matlamat yang jelas. Barulah hari-hari mendatang akan menjadi menarik dan bahagia. 

Mengapa Persepsi Sedemikian Timbul?

1. Sudah Stabil Tapi Masih Belum Berpunya  

Kadang-kadang, orang di sekeliling kita bertanya tentang perkahwinan kerana mereka melihat kita sudah berkemampuan untuk mempunyai keluarga sendiri. Mungkin kita mempunyai pekerjaan yang baik dan keperluan juga serba cukup, cuma teman hidup sahaja yang kurang. Ada yang bertanya kerana niat mereka baik. Barangkali mereka ingin melihat kita bahagia dengan seseorang. Jika soalan tersebut tidak mendatangkan keburukan, layankan saja selagi termampu. Jika kita berasa kurang senang, luahkan pendapat kita dengan hati yang terbuka dan penuh santun. 

2. Elak Zina Dan Perbuatan Mungkar 

Bagi sesetengah orang terutamanya orang tua, mereka melihat pernikahan sebagai satu cara untuk membendung perbuatan zina dan kemungkaran. Mana tidaknya, pada zaman moden ini, maksiat berada di mana-mana termasuklah di media sosial atas talian (online). Bukan semua orang cenderung untuk melakukan kejahatan, tetapi sekurang-kurangnya pernikahan mampu menutup beberapa pintu kejahatan tersebut. Cuma dalam hal ini, mereka yang bujang juga perlu melantangkan suara. Ada masanya bukan kita tidak mencari dan berusaha, tetapi masanya sahaja belum sampai lagi. Kalau kita semua benar-benar faham dengan ketentuan Tuhan, kita tidak akan mempersoalkan kenapa jodoh kita lambat berbanding orang lain.  

3. Sudah Berusia    

Akhir sekali, biasanya persepsi sebegini muncul buat mereka yang sudah lanjut usianya. Memang mudah untuk orang membandingkan kita dengan individu yang lain tanpa memikirkan sebab di sebalik sesuatu kejadian. Apabila kita duduk dengan orang-orang yang sebaya dengan kita yang sudah berkeluarga, maka pada ketika itulah soalan ‘bila nak kahwin?’ biasanya diajukan. Terdapat banyak kebaikan dalam hidup berkeluarga khususnya apabila kita sudah tua. Walaupun begitu, jika Allah belum memberikan kita jodoh, bermakna Allah tahu kita masih berupaya untuk hidup bersendirian. Selain itu, siapa tahu nikmat yang Dia rahsiakan dengan melewatkan jodoh buat kita. Jadi berlapang dadalah selalu.  

Justeru, berusahalah untuk mencari jodoh selagi ia memberikan kebaikan buat kita. Pahala mencari jodoh itu tetap ada walaupun kita belum berjumpa dengan seseorang yang sesuai. Di samping itu, kawal diri kita daripada digoda nafsu. Elakkan sebarang perbuatan yang mungkin membawa kita ke arah keburukan. 

Tidak kiralah sama ada mereka bertanya atau tidak, jodoh cepat atau lambat, kita terimalah perjalanan hidup kita dengan redha. Apa yang baik kita teruskan, yang kurang molek kita tinggalkan. Ambil nasihat dan pengajaran daripada orang lain. Tutup telinga kita daripada mendengar kata-kata negatif dan persepsi yang mengganggu ketenteraman kita. Insya-Allah, jodoh itu ada, cuma Allah beri pada masa yang sempurna. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui. 

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: