Mengapa Kebiasaannya Jodoh Kita Berbeza Sifat Dengan Kita?
Mengapa Kebiasaannya Jodoh Kita Berbeza Sifat Dengan Kita?
Serasi tidak semestinya bermaksud sama atau serupa. Walaupun berlainan sifat, perbezaan masing-masing itulah yang memenuhi ruang kosong pada si suami atau isteri.
Para ilmuwan seringkali menyatakan bahawa jodoh merupakan ketentuan Allah yang sudah ditetapkan sejak azali. Ini membawa maksud bahawa jodoh kita sudah lama ada, cuma menunggu masa yang sesuai sahaja untuk ditemukan. Walaupun begitu, kita tetap perlu berusaha untuk mencari calon suami atau isteri yang terbaik. Kenapa? Kerana dalam usaha itu, kita menunjukkan keimanan kita kepada Allah dan dalam pencarian itu terletak keberkatan dari-Nya. Jika kita benar-benar mencari jodoh kerana agama, maka Allah akan mempermudahkan setiap langkah kita.
Islam menggariskan pelbagai panduan dalam mencari jodoh. Misalnya, agama Islam menggalakkan kita berkahwin dengan seseorang yang sekufu dengan kita. Secara ringkasnya, sekufu bermaksud sama taraf dalam perkara-perkara yang berkaitan seperti kekayaan dan usia. Menurut Dato' Ustaz Badli Shah dalam satu ceramah beliau pula, jodoh kita biasanya berbeza sifat dengan kita. Mengapa agaknya Allah memberi kita jodoh yang berbeza sifat? Di sini kami nyatakan beberapa alasan yang mungkin relevan.
1. Melengkapi Satu Sama Lain
Sebagai seorang hamba yang kerdil, kita dilahirkan dengan pelbagai kekurangan. Tiada seorang pun di dunia ini yang sempurna dan memiliki segalanya. Oleh sebab itu, Allah memberikan nikmat rumah tangga agar kekurangan tersebut boleh diisi oleh pasangan kita. Yang mana pemalu digandingkan dengan yang berkeyakinan tinggi. Yang pendiam ditemani pula oleh si dia yang ramah berkata-kata. Hebat sungguh aturan Tuhan. Keserasian inilah yang menjadikan alam rumah tangga menarik.
Serasi tidak semestinya bermaksud sama atau serupa. Walaupun berlainan sifat, perbezaan masing-masing itulah yang memenuhi ruang kosong pada si suami atau isteri. Maka itulah yang digambarkan sebagai serasi. Maka bersyukurlah dengan pasangan yang Allah pinjamkan kepada kita. Sebenarnya, kebahagiaan dalam rumah tangga merupakan salah satu bukti kebesaran-Nya. Dia menganugerahkan kepada kita seorang penyejuk hati dan mata supaya kita akan lebih tenang dalam beribadah dan mengejar akhirat.
2. Belajar Menerima Kelebihan Dan Kelemahan Masing-Masing
Alam rumah tangga sudah pastinya berbeza dengan kehidupan semasa bujang. Ketika belum berkahwin, kita hanya perlu menjaga diri sendiri di samping menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak dalam keluarga. Sesudah bersuami atau beristeri pula, tanggungjawab itu sudah berubah dan menjadi lebih berat. Seorang suami mesti bersedia untuk menjadi ketua keluarga manakala seorang isteri perlu berlapang dada untuk menggembirakan pasangannya.
Dalam fasa ini juga kita akan belajar untuk menghargai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Kedua-dua individu haruslah bersabar dalam melayan kerenah pasangan. Bak kata orang Melayu, “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.” Sudah menjadi lumrah, dalam bahagia tersimpan kisah air mata yang datang menguji diri. Namun jangan resahkan hati kita dengan pemikiran yang negatif. Jika terdapat kekurangan pada si dia, ucap sahaja Alhamdulillah kerana pasti ada hikmah di sebalik setiap aturan Ilahi. Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
“Janganlah seorang mukmin membenci wanita yang beriman. Jika dia membenci salah satu perangainya, maka masih ada perangai lain yang menyenangkannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Apa yang penting, kita sebagai seorang Muslim haruslah berdoa supaya Dia menguatkan iman kita dan membantu kita berubah ke arah yang lebih baik setiap hari.
3. Membina Kebahagiaan Dalam Rumah Tangga
Seperti yang kami katakan tadi, keserasian membentuk kebahagiaan dalam rumah tangga. Melalui perbezaan ini, kita dapat belajar sesuatu yang baru mengenai pasangan kita. Oleh itu, kita akan cuba untuk membiasakan diri dengan cara si dia berinteraksi dengan kita. Semakin kita mengenali si dia, semakin akrablah perhubungan yang kita bina itu. Insya-Allah, masa kita juga dapat diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat antara suami dan isteri. Itulah nikmatnya perkahwinan. Selagi kita membahagiakan pasangan, selagi itu kita akan mendapat pahala. Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
“Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.”
Riwayat al-Baihaqi (5486), al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat (7647)
Selain itu, perbezaan antara suami dan isteri juga membolehkan kita untuk saling bertukar buah fikiran. Sebagai contoh, jika si suami seorang yang pendiam, si isteri pula boleh memberikan pendapat tentang bagaimana si suami boleh bersikap lebih terbuka dengan orang ramai. Pada masa yang sama, si suami pula boleh berkongsi kelebihan mendiamkan diri pada waktu-waktu tertentu. Bukan sahaja kita boleh mengenali personaliti pasangan dengan lebih baik melalui perbualan ini, malahan kita dapat juga mendedahkan diri dengan sesuatu yang berlainan daripada biasa.
4. Mengukuhkan Keserasian Antara Suami Dan Isteri
Bercakap semula mengenai keserasian, ada orang yang berasa sudah serasi dengan pasangan sejak dari mula perkenalan lagi. Tetapi, kita belum mengenali seseorang itu sehinggalah kita tinggal sebumbung dengan mereka. Apabila sudah berkahwin, barulah kita dapat lihat perbezaan antara si lelaki dan perempuan yang sebenarnya menjadikan mereka lebih rapat tanpa disedari. Kalau kita fikirkan kembali, lelaki dan perempuan sendiri mempunyai cara dan corak pemikiran yang berbeza. Atas sebab itu, apabila kedua-dua jantina bersatu dalam sesebuah pekerjaan misalnya, hasil tersebut akan membuahkan hasil yang baik. Ini kerana maklum balas daripada kedua-dua jantina adalah berlainan.
Begitu juga dengan alam perkahwinan. Apabila Allah S.W.T. mengurniakan nikmat perkahwinan kepada kita, Dia juga menciptakan kita dalam pelbagai perwatakan. Tidak seronoklah kehidupan kalau kita semua berfikir dengan cara yang sama kan? Maka dalam rumah tangga, serasi boleh hadir dengan pelbagai cara. Salah satunya adalah dengan menghargai perbezaan antara si suami dan si isteri.
Jika anda belum berkahwin, jangan pula jadikan perbezaan antara jantina ini satu hujah untuk berkelahi. Mungkin anda belum sedar bahawa perkara inilah yang menjanjikan perhubungan yang kekal sehingga ke akhir hayat. Betul, ada sahaja pasangan yang sama perwatakannya. Tetapi mungkin Allah letakkan perbezaan mereka pada perkara yang lain di mana perkara tersebut tidak nampak jelas di mata kita.
5. Melihat Kehidupan Dari Sudut Yang Baru
Apabila kita sudah berpasangan, banyak perkara baru yang dapat kita rasa. Contohnya, kita akan tahu erti pengorbanan untuk orang yang kita sayang. Di samping itu, kita juga akan cuba bekerja dengan lebih keras demi memastikan keluarga kita hidup dalam keadaan yang tenteram. Kita akan mula sedar bahawa perjalanan kehidupan masih panjang dan terdapat banyak persimpangan yang belum kita tempuhi.
Oleh itu, ajar diri kita untuk sentiasa dekat dengan ajaran agama Islam. Ini kerana agama kita telah memberikan panduan yang lengkap untuk mengharungi kehidupan. Dengan berbekalkan keimanan dan kesabaran, insya-Allah kita akan bersedia untuk merasai perkara-perkara baru bersama dengan si dia. Dalam perjalanan ini juga kita akan dapat lihat bagaimana perbezaan antara suami dan isteri itu memanfaatkan rumah tangga yang kita bina.
Memang betul kebiasaannya calon suami atau isteri kita itu berbeza sifat dengan kita. Namun ini bukanlah tanda muktamad dalam memastikan bahawa seseorang itu adalah jodoh kita. Sebaliknya, hal tersebut hanyalah satu penanda aras yang boleh kita perhatikan sewaktu mencari teman hidup. Seperti yang dinyatakan tadi, perbezaan antara si lelaki dan wanita seharusnya mengeratkan hubungan sesama kita. Jika kita sudah mempunyai seorang calon, binalah kemesraan daripada awal tanpa melanggar sebarang hukum agama. Agama Islam itu mudah dan indah.
Perbezaan itu juga sesuatu yang baik. Jadi jangan mudah melatah apabila kita tidak sependapat dengan pasangan. Apapun, sama-samalah kita berusaha agar hubungan yang terjalin itu sentiasa mendapat redha Ilahi.
Jom bina baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?