Nikah Gantung (Khitbah) Satu Alternatif?

Tujuan utama nikah gantung adalah bagi mengelakkan berlakunya zina dan lahirnya anak luar nikah. Walaupun mereka berkahwin secara nikah gantung, tetapi mereka sebenarnya bebas melakukan sebarang aktiviti berdua...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Nikah gantung atau dikenali juga sebagai nikah khitbah mungkin merupakan satu alternatif yang baik dan penyelesaian kepada masalah sosial. Pada hari ini, barah sosial yang parah boleh menyebabkan golongan remaja terjerumus kepada pergaulan bebas (zina), rogol dan pembuangan bayi. ‘Taysir Az Ziwaj’ yang bermaksud permudahkan proses perkahwinan mesti dilaksanakan terutama daripada pihak yang mempunyai kuasa memudahkan perkahwinan termasuk golongan ibu bapa.  

Nikah gantung boleh didefinisikan sebagai pernikahan yang melalui kaedah yang sama dengan prosedur pernikahan biasa. Namun setelah berkahwin, pasangan tersebut tidak tinggal bersama dan tidak terikat kepada tanggungjawab sebagai suami isteri. Biasanya golongan yang berkahwin secara nikah gantung ini adalah golongan mahasiswa atau remaja. Mereka mempunyai keinginan untuk berkahwin tetapi belum mampu sepenuhnya dari segi kewangan.

Tujuan Nikah Gantung

Islam adalah agama yang penuh dengan rahmat dan berkat. Ia diutuskan oleh Allah S.W.T. yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwat dan sebagainya. Malah, Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah S.W.T. Maha Luas Rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui."  

(Surah An-Nur : Ayat 32)

Tujuan utama nikah gantung adalah bagi mengelakkan berlakunya zina dan lahirnya anak luar nikah. Walaupun mereka berkahwin secara nikah gantung, tetapi mereka sebenarnya bebas melakukan sebarang aktiviti berdua. Jika si isteri mengandung dan melahirkan anak, maka anak itu adalah daripada hubungan yang sah. Ia tidak haram kerana mereka adalah pasangan suami isteri di sisi agama Islam dan undang-undang kerajaan Malaysia.

Pasangan yang berkahwin secara nikah gantung ini tidak tinggal bersama. Justeru ada pendapat lain yang menyatakan bahawa jika persetubuhan berlaku dalam tempoh yang dipersetujui, maka terbatalah tempoh nikah khitbah. Mereka telah menjadi pasangan suami isteri dan memikul tanggungjawab sebagai suami isteri yang normal.

Kelebihan Nikah Gantung

Kelebihan nikah gantung ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, ‘dating’, ‘study’ bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun ia tidak salah dan tidak haram.

Andai berlaku kehamilan, maka pasangan tersebut tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga. Keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah. Ini berbeza dengan situasi jika berlaku kehamilan di luar pernikahan, ia boleh menyebabkan kes penguguran bayi secara paksa atau pembuangan bayi.

Penerimaan Masyarakat

Nikah gantung ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab yang dikenali sebagai nikah khitbah. Menurut amalan tersebut sewaktu majlis pertunangan, ada antara mereka yang melangsungkan sekali dengan majlis akad nikah (halflun nikah). Namun, mempelai tersebut tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya majlis perkahwinan (haflul qiran). Kadang-kadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau bertahun-tahun lamanya.

Dalam masyarakat Melayu pula, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama nikah gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Ahli antropologi (kajian berkenaan manusia) seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan nikah gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara.

Malah menurut Abdul Jalil Borhan, penulis ‘Sejarah perlaksanaan undang-undang Islam di negeri Johor’ perkara yang berkaitan dengan nikah gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Nikah Gantung Menurut Perbahasan Hukum Islam

Salah satu dalil yang biasa digunakan oleh sebahagian alim ulamak ialah perkahwinan antara Rasulullah S.A.W. dengan Saidatina Aishah R.A. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W. telah mengahwini Saidatina Aishah R.A. ketika berumur 6 tahun. Kemudian mereka hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun.

Hadis ini menjadi dalil berlakunya akad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah. Malah jika atas persetujuan kedua-dua belah pihak untuk beberapa tempoh tertentu, ianya dibenarkan.

Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (bersetubuh). Cuma yang mungkin menjadi persoalan ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material). Ada dua pandangan mengenai isu nafkah zahir ini:

a) Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya akad. Maka selepas sahaja akad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.

b] Pandangan jumhur ulamak (majoriti ulamak) iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu. Syarat tersebut adalah seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta' (mengambil keseronokan), jimak (bersetubuh) , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.

Kesimpulan

Nikah gantung adalah satu alternatif yang baik bagi pasangan yang mempunyai keinginan mendesak untuk berkahwin, namun terhalang kerana beberapa perkara. Ia mungkin agak janggal dan asing bagi masyarakat melayu, tetapi keperluannya tetap ada untuk mengelakkan berlakunya kes yang lebih teruk.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: