Perkara yang anda perlu tahu ketika mencari jodoh secara online

Perkara yang anda perlu tahu ketika mencari jodoh secara online

Beritahu kepada kenalan anda di alam maya itu tentang tujuan anda yang sebenar adalah hanya untuk mencari pasangan untuk berkahwin...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Mencari jodoh yang baik pada zaman kini bukanlah sesuatu yang mudah. Zaman semakin pantas beredar. Kecanggihan teknologi pula semakin hari semakin maju dan bergerak pantas. Dahulu mungkin mencari jodoh dilakukan secara bersua muka atau melalui perkenalan. Namun sekarang, mencari jodoh secara ‘online’ atau atas talian juga merupakan satu alternatif yang agak baru dan berkesan.

Mencari jodoh secara online ini ada baik dan buruknya. Jika anda sedang mencari jodoh secara atas talian, ada beberapa tips yang perlu anda tahu. Ini adalah panduan yang berguna kepada anda supaya anda tidak mudah ditipu dan mudah-mudahan bertemu dengan jodoh yang terbaik.

1. Jangan Sesekali Memberi Maklumat Peribadi Pada Awal Perkenalan

Dalam dunia alam maya, kita tidak berhubung secara bersua muka dan melihat karakter orang tersebut. Jadi kita tidak tahu sikap dan perangai sebenar orang yang kita kenal melalui alam maya itu. Saya percaya ramai orang yang baik yang ingin mencari jodoh secara online.

Namun di kalangan yang ramai itu, mungkin ada segelintir daripada mereka yang tidak jujur dan berniat jahat. Sebab itulah kita mesti ada sifat berhati-hati. Mungkin juga daripada kalangan mereka itu akan ada yang cuba mengumpan anda dengan ayat-ayat islamik dan janji-janji manis. Jadi, pesan saya jangan terburu-buru memberikan maklumat peribadi seperti alamat rumah atau nombor telefon.

Kalau boleh hanya perlu berhubung pada ruangan yang disediakan atau secara atas talian sahaja. Ambil masa untuk kenal dahulu. Jika benar si dia sudah betul-betul serius, mungkin barulah anda berdua boleh bertukar maklumat dan biodata. Selain itu, jemput juga si dia untuk berkenalan dengan keluarga anda.

2. Nyatakan Niat Untuk Berkahwin, Bukan Main-main

Beritahu kepada kenalan anda di alam maya itu tentang tujuan anda yang sebenar adalah hanya untuk mencari pasangan untuk berkahwin. Tidak perlu bazirkan masa untuk berbual perkara yang sia-sia dan menyimpang daripada tujuan asal anda untuk mencari jodoh.

Dalam masa perkenalan ini, ambil masa sebanyak mungkin untuk kenal dengan si dia sebelum anda betul-betul serius untuk meneruskan perhubungan ke tahap yang lebih tinggi. Jika si dia hanya mencari teman untuk berborak, sebaiknya tidak perlu teruskan perhubungan. Si dia mungkin tidak betul-betul serius dengan anda.

3. Selidik Latar Belakang Si Dia

Ini merupakan antara perkara penting yang perlu anda lakukan sebelum perhubungan anda sampai ke tahap yang lebih serius. Semasa anda dan si dia sedang bertakruf (berkenalan), tanyalah soalan-soalan yang lebih penting dan mendalam. Jangan hanya sekadar bertanya mengenai soalan ‘sudah makan atau belum?’ atau ‘dah tidur ke?’ tetapi tanyalah yang soalan yang lebih penting daripada itu.

Antara soalan-soalan yang mungkin anda boleh tanya ialah mengenai latar belakang diri serta keluarganya, pekerjaannya, matlamat perkahwinan dan pelbagai soalan-soalan takruf yang lain. Pastikan anda mengetahui seberapa banyak yang boleh mengenai diri si dia. Berkahwin tanpa mengenal siapa bakal pasangan anda bukanlah sunnah Rasulullah S.A.W.

Dalam suatu hadis daripada Abu Hurairah R.A, beliau menceritakan bahawa ada seseorang telah menyampaikan kepada Rasulullah S.A.W. bahawa dirinya telah berkahwin dengan seorang wanita Ansar. Rasulullah S.A.W. kemudian bertanya:

“Adakah kamu telah melihatnya?”

Jawab pemuda itu, “belum.”

Kemudian Rasulullah S.A.W. menyarankan, “lihatlah calon isterimu, kerana di bahagian mata orang Ansar ada sesuatu.”

(Hadis Riwayat Muslim : 3550)

4. Jangan Terburu-buru Membuat Keputusan

Membuat keputusan yang salah akan menyebabkan anda menyesal di kemudian hari. Hal perkahwinan merupakan suatu hal yang besar kerana ia melibatkan kehidupan anda pada kemudian hari. Jangan terburu-buru untuk terus mengambil keputusan berkahwin jika anda betul-betul tidak mengenali si dia.

Mempercepatkan urusan perkahwinan adalah suatu yang baik namun mengenali pasangan sebelum kahwin juga merupakan suatu tuntutan dalam Islam. Apabila anda sudah kenal dan berasa yakin dengan si dia, silakan untuk percepatkan perkahwinan anda. Cuma pesan saya sekali lagi, jangan terburu-buru.  

5. Libatkan Sekali Keluarga/Wali

Maklumkan kepada ahli keluarga terutama ibu bapa atau wali tentang perhubungan anda dengan di sia. Minta si dia datang berjumpa dengan wali anda jika si dia seorang lelaki. Jika si dia seorang perempuan, maka andalah sebagai seorang lelaki yang sepatutnya berkunjung ke si dia.

Apabila keluarga dilibatkan sekali dalam perhubungan anda dengan si dia, ini akan menunjukkan keikhlasan kedua-dua belah pihak untuk meneruskan perhubungan. Selain itu, ia juga memberi kepercayaan bahawa anda dan si dia betul-betul mahu berumah tangga dan membina mahligai perkahwinan.

6. Tawakal Dan Doa

Akhir sekali setelah berusaha, perkara yang perlu anda lakukan ialah bertawakal dan berdoa. Ia adalah sebagai tanda anda berserah kepada takdir Allah S.W.T. setelah anda berusaha melakukan yang terbaik. Selain itu, Rasulullah S.A.W. juga menyarankan kita untuk solat istikarah jika terdapat beberapa pilihan atau sebelum membuat sesuatu keputusan. Insya-Allah, jika baik niat kita maka Allah akan permudahkan.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar