fbpxPerkara yang membuatkan wanita benci lelaki

Perkara yang membuatkan wanita benci lelaki

Perkara yang membuatkan wanita benci lelaki

Tidak dinafikan bahawa ‘ego’ merupakan masalah yang paling ketara dan merimaskan kaum wanita. Kalau sebut sahaja mengenai ego, pasti insan yang akan dikaitkan ialah kaum lelaki...

Dikarang oleh 21976 | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Setiap wanita pasti sudah menetapkan ciri-ciri atau kriteria lelaki idaman yang mereka inginkan dalam dijadikan calon suami. Namun kebarangkalian untuk mereka miliki seperti yang mereka idamkan hanyalah seperti 50-50 sahaja. Bagi mereka yang berjaya memiliki lelaki idaman seperti yang diinginkan, ianya seolah-olah seperti satu bonus buat mereka.

Namun setiap lelaki harus sedar akan perkara yang boleh membuatkan seorang wanita itu fobia dengannya. Atau erti kata lain ‘benci’ dengannya. Justeru para lelaki haruslah mengelakkan daripada memiliki perkara seperti dibawah:

1) MENINGGIKAN SUARA

Apabila berlakunya salah faham antara si lelaki dan wanita, meninggikan suara atau menengking adalah seolah-olah seperti satu kemestian. Terutama bagi kaum lelaki. Oleh kerana terlalu marah, secara automatik mereka akan mengeluarkan kata-kata negatif yang tidak sepatutnya dikeluarkan dari mulut mereka. Mereka menggunakan ‘kuasanya’ sebagai seorang lelaki hanya untuk menegur wanita.

Jadikan kisah Rasulullah SAW yang boleh diambil sebagai pengajaran:

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar.

Maka Nabi bertanya:

‘Belum ada sarapan ya Khumaira?’

(Humaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘Wahai yang kemerah-merahan’)

Aisyah menjawab dengan agak serba salah:

“Belum ada apa-apa wahai Rasulullah..”

Rasulullah lantas berkata:

“Jika begitu aku puasa saja hari ini” (tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda)

Bagaimana kaum lelaki? Bolehkah anda berperwatakan seperti Rasulullah SAW?

2) MENGONGKONG

Buat apa pun semua serba-serbi tidak kena. Buat itu tidak boleh, buat ini pun tidak boleh. Asyik nak ‘control’ sahaja. Hidup si wanita itu seperti tidak bebas. Setiap gerak-gerinya diperhati oleh si lelaki. Malah bukan itu sahaja, ada sesetengah lelaki yang memaksa wanita itu untuk menjadi seperti apa yang diinginkannya. Kalau dia katakan A, maka A lah yang harus dipilih oleh si wanita.

Contoh yang paling ketara yang dapat dilihat apabila si lelaki menghalang si wanita untuk bersosial di media sosial. Had penggunaan seolah-olah seperti disekat sehinggakan password media sosial si wanita itu pun harus dikongsi dengannya. Bagaimana seseorang itu mampu bertahan dengan lelaki yang berkelakuan seperti ini? Sehinggakan langsung tidak ada privasi baginya.

Anda semua harus tahu bahawa Rasulullah SAW adalah selembut-lembut lelaki dan suami. Baginda tidak pernah mengongkong isterinya begitu juga sebaliknya.  

3) EGO

Tidak dinafikan bahawa ‘ego’ merupakan masalah yang paling ketara dan merimaskan kaum wanita. Kalau sebut sahaja mengenai ego, pasti insan yang akan dikaitkan ialah kaum lelaki. Sifat ego dan lelaki seperti tidak dapat dipisahkan lagi. Ego membawa maksud perasaan mementingkan diri atau menganggap diri sendiri lebih mulia atau istimewa daripada orang lain.

Setiap lelaki mempunyai ego masing-masing tetapi apa yang membezakannya adalah tahap keegoan mereka. Mereka merasakan seolah-olah maruah mereka dipijak sekiranya mereka merendahkan egonya. Wahai kaum lelaki, tidak salah jika ada ego dalam diri, namun mestilah bersebab. Jangan disebabkan ego yang terlalu tinggi menyebabkan anda kehilangan insan yang dicintai.

4) TIDAK MAHU MENGALAH

Mereka yang terpalit dengan sikap tidak mahu mengalah ini kebiasaannya turut memiliki perasaan ego yang tinggi. Disebabkan keegoan mereka yang mahu menang sahaja maka tidak ada istilah mahu mengalah dalam diri mereka. Ego mereka terlalu menebal walhal punca perbalahan adalah disebabkan daripada mereka sendiri.

Mereka terlalu mengharapkan agar si wanita menerima pandangan atau kata-kata mereka sebagai lelaki yang memiliki kuasa veto yang lebih tinggi daripada seorang wanita. Mereka merasakan setiap pandangan mereka adalah sentiasa betul. Seolah-olah setiap pandangan yang diberi harus diterima oleh si wanita. Mereka tetap ingin menyuarakan pendapat mereka tanpa mempedulikan luahan si wanita.

5) CEMBURU BUTA

Cemburu buta adalah antara sifat yang dibenci oleh wanita mahupun lelaki. Diri mereka seolah-olah diperhati oleh seseorang sehinggakan apa jua yang mereka lakukan menjadi terkawal. Malah disebabkan cemburu buta juga ianya mampu mengakibatkan seseorang itu bertindak di luar kawalan.

Isu cemburu buta ini juga sedang hangat diperkatakan di media sosial mahupun di dada akhbar. Gara-gara perasaan cemburu yang wujud dalam diri seorang kekasih (lelaki atau wanita), seseorang itu mampu bertindak dengan menggunakan kekerasan terhadap kekasih mereka. Malah ada juga yang sampai tahap membunuh. Anda harus sedar bahawa bukan semua orang mahu diri mereka dikawal sebegitu sekali.

KESIMPULAN

Nasihat untuk para lelaki di luar sana, tidak salah untuk anda menggunakan kuasa anda sebagai seorang lelaki. Ini adalah kerana lelaki merupakan insan yang akan menjadi pemimpin kepada seorang wanita selepas berumah tangga kelak. Namun anda mestilah tahu akan batas-batas atau had dalam menasihati seorang wanita. Bukan dengan cara seperti di atas. Gunakan kelembutan dalam menegur mahupun menasihati. Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya

Bagi kaum wanita pula, sekiranya anda mendapati lelaki yang anda cintai memiliki ciri-ciri seperti di atas, berilah teguran secara lembut kepada mereka. Meskipun lelaki sering dilabel sebagai seorang yang berhati keras, mereka masih boleh menerima teguran. Namun teguran yang diberikan mestilah kena dengan caranya dan pasti si dia dapat menerima dengan hati yang terbuka.

Sekiranya si lelaki masih tidak boleh menerima sebarang teguran malah sehingga ada yang sanggup menggunakan kekerasan, maka tinggalkan sahaja. Tidak ada gunanya untuk anda meneruskan hubungan dengan si dia. Ada juga yang cuba mengambil kesempatan dari segi kewangan mahupun fizikal, maka sebagai wanita anda harus berhati-hati dengan lelaki sebegini. Jangan disebabkan rupanya yang menawan membuatkan anda sukar melepaskannya.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: