Perlu Ke Melihat Bakal Pasangan Dulu Sebelum Berkahwin?

Melihat bakal isteri boleh dilakukan dengan dua cara iaitu pertama secara rasmi atau yang kedua secara tidak rasmi...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

Melihat bakal pasangan yang ingin dikahwini adalah antara perkara sunat dan digalakkan dalam agama Islam sebelum seseorang itu berumah tangga. Syarak membenarkan untuk melihat bakal pasangan tanpa kebenaran dan pengetahuannya supaya dia tidak berhias terlebih dahulu. Jika perempuan tersebut berhias, tujuan melihat mungkin tidak akan tercapai.

Lelaki boleh melihat wajah bakal isterinya dua atau tiga kali jika dia perlu melihat keadaan wanita tersebut dengan lebih jelas lagi. Ini dilakukan untuk mengelakkan kekecewaan selepas berkahwin. Sesetengah orang mungkin menganggap tidak perlu untuk melihat bakal isteri mereka. Ini sebenarnya satu tanggapan yang salah di sisi Islam.

Kisah Seorang Pemuda Yang Berkahwin Tanpa Melihat Isterinya

Dalam suatu hadis daripada Abu Hurairah R.A, beliau menceritakan bahawa ada seseorang telah menyampaikan kepada Rasulullah S.A.W. bahawa dirinya telah berkahwin dengan seorang wanita Ansar. Rasulullah S.A.W. kemudian bertanya:

“Adakah kamu telah melihatnya?”

Jawab pemuda itu, “belum.”

Kemudian Rasulullah S.A.W. menyarankan, “lihatlah calon isterimu, kerana di bahagian mata orang Ansar ada sesuatu.”

(Hadis Riwayat Muslim : 3550)

Daripada hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W. sangat menyarankan kepada pasangan yang ingin berkahwin untuk melihat wajah bakal isterinya. Tujuan melihat adalah supaya diberi rasa ketenangan dan kedamaian jiwa untuk meneruskan perkahwinan.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah S.A.W. telah bersabda kepada Mughirah bin Syu’bah sewaktu dia berazam untuk meminang seorang wanita:

“Lihatlah perempuan itu semoga ia akan mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua”

(Hadis Riwayat Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini hasan dalam kitab nikah, bab hadis-hadis berkaitan dengan melihat tunang no. 1087)

Wanita juga berhak untuk melihat lelaki jika dia ingin berkahwin dengan lelaki tersebut supaya dia boleh melihat keadaannya dengan lebih jelas agar tidak menyesal selepas berkahwin. Seperti halnya lelaki, perempuan juga tertarik dengan beberapa sifat seseorang lelaki sebagaimana lelaki tertarik dengan beberapa sifat seseorang perempuan.

Dua Kaedah Melihat Bakal Isteri

Melihat bakal isteri boleh dilakukan dengan dua cara iaitu pertama secara rasmi atau yang kedua secara tidak rasmi.

1.Secara rasmi

Kaedah melihat bakal isteri secara rasmi ini ialah melalui pertemuan antara pihak lelaki dengan pihak perempuan. Contohnya satu majlis ringkas silaturahim yang mana pihak lelaki berkunjung ke rumah pihak perempuan. Ia juga digelar sebagai majlis takruf (sesi berkenalan) yang dipantau oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Selain itu, majlis tersebut juga boleh diwakilkan kepada orang tengah atau perantara yang dipercayai seperti daripada kalangan ahli keluarga yang lain, sahabat dan individu lain yang kita rasa mereka mampu menjaga amanah. Pihak BaitulMuslim.com juga sebenarnya ada menyediakan perkhidmatan sesi takruf kepada yang memerlukannya.

Boleh klik di sini untuk maklumat: https://baitulmuslim.com/perkhidmatan-sesi-takruf    

2.Secara tidak rasmi

Kaedah melihat bakal isteri yang kedua ialah secara diam-diam. Ia biasanya dibuat oleh pihak lelaki sementara pihak perempuan tidak mengetahuinya. Seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang bernama Jabir R.A. pernah menceritakan bahawa:

“Ketika aku melamar seorang gadis, aku sembunyi-sembunyi untuk melihatnya hingga aku dapat melihatnya yang membuatku tertarik untuk menikahinya. Lalu aku menikahinya.”

(Hadis Riwayat Abu Daud 2084 dan dihasankan Al-Albani)

Batas-Batas Seorang Lelaki Melihat Bakal Isterinya

Ulamak sebenarnya berbeza pendapat mengenai batas-batas seorang lelaki untuk melihat bakal isterinya. Ini kerana setiap mazhab mempunyai pandangan yang berbeza mengenai aurat seorang perempuan.

Hanafiyah, Malikiyah, Syafiiyah dan sebahagian daripada Hambali sepakat bahawa bahagian anggota badan yang boleh dilihat ketika lelaki melamar adalah wajah dan telapak tangan hingga ke pergelangan. Wajah untuk menilai kecantikan, sementara telapak tangan untuk menilai kesuburan badan.

Imam At-Tirmizi juga ada mengatakan:

“Tidak ada masalah lelaki melihat calon isterinya, selama dia tidak melihat yang haram darinya. Dan ini pendapat ini adalah pendapat Ahmad dan Ishaq bin Rahuyah.”

(Jami’ At-Tirmizi, 4/370)

Sementara itu, Hanafiyah dalam sebahagian riwayat pula membolehkan untuk melihat kaki kerana kaki dalam mazhab Hanafiyah bukan aurat.

(Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah)

Kesimpulan

Islam merupakan satu agama yang memudahkan penganutnya. Contohnya dalam hal melihat bakal pasangan sebelum berkahwin ini. Islam memberi kelonggaran bahkan ianya sunat untuk melihat bakal pasangan kita sebelum sesuatu perkahwinan berlangsung. Namun, kita juga mestilah mematuhi syarat-syarat yang telah digariskan agar perkahwinan kita nanti mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: