fbpxPerlukah sekufu apabila mahu berkahwin?

Perlukah sekufu apabila mahu berkahwin?

Perlukah sekufu apabila mahu berkahwin?

Sekufu. Apabila bercakap tentang sekufu, pasti ramai yang salah faham tentang maksud dan makna sebenar sekufu...

Dikarang oleh 21976 | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Sekufu. Apabila bercakap tentang sekufu, pasti ramai yang salah faham tentang maksud dan makna sebenar sekufu. Saya berikan beberapa situasi kepada anda supaya anda mendapat gambaran mengenai perkara ini dengan lebih jelas lagi.

Contoh satu.

Ahmad dikenalkan dengan seorang gadis. Ahmad merasakan dirinya seorang yang tampan sedangkan gadis yang ditakrufkan (dikenalkan) kepadanya adalah tidak cantik di matanya. Ahmad kemudian menolak untuk ke peringkat seterusnya dengan alasan, “Dia tidak sekufu denganku.”

Contoh kedua.

Siti seorang doktor. Gajinya sebulan agak besar. Dia hendak dipadankan dengan seorang pemuda yang hanya bekerja sebagai kerani biasa. Pemuda itu melamar Siti untuk dijadikan isteri kepadanya. Siti kemudian menolak lamaran pemuda tersebut kerana taraf kerjaya dia dengan pemuda tersebut tidak setaraf.

Ini adalah beberapa gambaran dan situasi di dalam masyarakat kita hari ini apabila kita menyebut mengenai sekufu. Persoalan yang timbul sekarang, perlukah sekufu dalam pernikahan? Benarkah pemahaman mengenai maksud ‘kufu’ atau ‘kafa’ah’ pada kisah di atas?

Erti sekufu

Kufu atau kafa’ah dari sudut bahasa bermaksud kesepadanan, setaraf atau sama. Dari sudut istilah pula kufu bermaksud kesepadanan calon suami dan calon isteri yang akan berkahwin bagi membina sebuah rumah tangga. Istilah ini muncul di dalam beberapa hadis daripada Rasulullah saw. Salah satu hadis yang menyebut tentang sekufu ialah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi yang bermaksud;

“Wahai Ali, ada tiga perkara yang jangan kau tunda perlaksanannya, iaitu solat apabila telah tiba waktunya, pegebumian jenazah apabila telah siap penguburannya, dan wanita apabila telah menemukan jodohnya yang sekufu/sepadan.”

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Berdasarkan hadis ini, sekufu itu perlu. Ia bukanlah termasuk dalam rukun pernikahan tetapi bagi memberi keselesaan dan keharmonian di dalam rumah tangga, maka ia adalah diperlukan.

Menurut Iman Syafie, sekufu terbahagi kepada enam aspek iaitu islam, merdeka, agama, keturunan, kerjaya dan sejahtera daripada sebarang kecacatan. Malah ada sebahagian daripada fuqaha mutaakhirin (pandangan kumpulan ulamak syafie yang terkini) mengambil kira bahawa usia juga termasuk di dalam aspek kufu. Mereka menghukum bahawa seorang gadis remaja adalah tidak sekufu dengan seorang lelaki yang sudah tua dan berusia.

Namun, menurut Imam Syafie perkahwinan mereka yang tidak sekufu tidaklah haram. Oleh sebab itu, beliau sendiri tidak menolak perkahwinan seperti itu tetapi memandangkan ianya suatu keredhaan kepada calon isteri dan walinya, Imam Syafie menghukumkan sahnya perkahwinan tersebut bergantung kepada keredhaan keduanya. Jika keduanya redha menerima ketidak sekufuan itu, maka perkahwinan tersebut adalah sah disisi islam.

Sekufu dalam usia

Di dalam pemikiran masyarakat kita, usia yang sekufu bagi pasangan yang mahu bernikah adalah usia di antara kedua calon mestilah sama atau di dalam lingkungan umur yang tidak terlalu jauh bezanya. Betul ke?

Rasulullah adalah contoh terbaik dalam situasi ini. Rasulullah menikah kali pertama dengan Siti Khadijah ialah ketika Rasulullah berumur 25 tahun sedangkan Siti Khadijah pula berumur 40 tahun (mengikut sebahagian pendapat ulamak). Walaupun ulamak berbeza dalam isu umur Siti Khadijah ini, namun tetap ada pendapat daripada kalangan ulamak yang menyatakan umur Siti Khadijah pada waktu itu adalah 40 tahun.

Contoh lain, adalah perkahwinan antara Rasulullah dengan Aisyah, puteri kepada Saidina Abu Bakar. Beza umur antara baginda dengan Saiditina Aisyah juga adalah agak jauh. Rasulullah berkahwin dengan Saiditina Aisyah ketika Saiditina Aisyah masih muda. Namun, perkahwinan Rasulullah dengan Saiditina Aisyah terdapat banyak kisah romantik yang diceritakan sendiri oleh Saiditina Aisyah seperti berlumba lari dengan baginda dan sebagainya yang menjadi ikutan bagi pasangan yang sudah berumah tangga.

Sekufu dalam harta

Sebahagian orang ada yang berpandangan bahawa harta memainkan peranan penting dalam memilih pasangan yang sama taraf. Betulkah? Baik. Mari kita tengok sirah sahabat. Di zaman Rasulullah, ada seorang sahabat yang miskin dan tidak memiliki banyak harta bernama Zubair bin Awwam yang berkahwin dengan Asma’ Binti Abu Bakar.

Asma berasal dari keluarga yang sangat kaya, keluarga Abu Bakar. Seperti kita tahu, dengan kekayaannya yang melimpah ruah sebagai saudagar yang jujur, Abu Bakar pernah menginfakkan seluruh hartanya semasa perang Tabuk.

Ketika menikah dengan Asma, Zubair hanya memiliki harta yang berupa seekor kuda. Namun demikian, keluarga mereka tumbuh menjadi keluarga yang barakah dengan izin Allah. Pada mulanya, Asma bersama Zubair hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Namun, Zubair berubah menjadi orang yang kaya raya selepas itu.

Sekufu kerana kecantikan dan ketampanan

Tidak kurang juga, dalam masyarakat kita hari ini ada yang menganggap sekufu adalah daripada aspek paras rupa semata-mata. Lelaki yang tampan adalah hanya untuk perempuan yang cantik dan begitulah sebaliknya pada pandangan mereka. Benarkah begitu?

Rasulullah sendiri adalah seorang lelaki yang boleh dikatakan lelaki tampan. Bentuk fizikal tubuh badan Rasulullah ialah tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. Apabila melihat wajah baginda ada nur (cahaya). Malah perut baginda juga tidak buncit dan dadanya bidang. Ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Imam Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Abu Daud.

Al-Bara' bin ‘Azib berkata:

"Rasulullah merupakan seorang lelaki yang bertubuh sederhana (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah), jarak antara kedua-dua bahunya lebar (bahunya bidang). Rambutnya yang lebat terurai ke bahu sampai ke telinganya. Apabila baginda memakai pakaian berwarna merah, aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih tampan daripadanya".

(Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Abu Daud)

Namun, adakah semua isteri-isteri Rasulullah itu cantik? Tidak. Malah, sebahagian isteri-isteri baginda adalah daripada golongan janda dan berumur. Cantik itu adalah subjektif sifatnya. Pada sesetengah orang, perempuan yang dilihatnya adalah cantik, namun tidak pada sebahagian yang lain. Begitu jugalah sebaliknya.

Kesimpulan.

Sekufu adalah penting dan diperlukan bagi menjamin keharmonian rumah tangga kerana ia adalah garis panduan bagi mendapatkan pasangan yang terbaik disisi syarak dan lebih bersifat adil bagi pasangan yang ingin menikah. Namun, jika kedua-dua calon saling redha meredhai dan ingin meneruskan perkahwinan, maka ia bukanlah suatu kesalahan atau dosa. Di sisi mazhab Syafie, sekufu adalah syarat untuk meneruskan perkahwinan, bukannya syarat sah perkahwinan.

Wallahualam!

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: