Pertunangan, Hebahkan atau Sembunyikan?

Pertunangan, Hebahkan atau Sembunyikan?

Kebanyakan berpendapat lebih cenderung mengatakan bahawa perlunya pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan di atas pinangan...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Kamil baru sahaja bertunang namun dia ragu-ragu sama ada dia perlu menghebahkan ataupun tidak pertunangan mereka. Kamil risau tentang rakan-rakan yang sering bertanyakan status dia dan tunangnya. Namun begitu beliau sering terbaca di media sosial ustaz-ustaz mengatakan adalah elok untuk meyembunyikan pertunangan dan menghebahkan perkahwinan. Perkara ini menyebabkan Kamil keliru. Ikuti jawapan daripada S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan) mengenai perkara ini.

Jawapan:

Pertunangan adalah janji bagi kedua-dua belah pihak iaitu pihak lelaki dan perempuan untuk mengikat tali perkahwinan. Biasanya perkara ini melibatkan waktu-waktu tertentu yang telah ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak.

Soalan yang biasanya timbul di dalam pertunangan ialah adakah dibenarkan syarak untuk menghebahkan pertunangan tersebut sepertimana majlis perkahwinan atau tidak?

Sebahagian ulamak berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah perkara yang digalakkan. Ini kerana terdapat hadis daripada Ummu Salamah R.A. yang mana Rasullullah S.A.W. telah bersabda:

 

أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة

Maksudnya:Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.

Riwayat Al-Imam Al-Dailami di dalam Musnad Al-Firdaus (1/1/27)

 

Disebabkan itu sebahagian Al-Malikiyyah (pendapat yang berpandukan mazhab Imam Malik bin Anas bin Abi Amir Al-Ashbahi 93 – 179H) berpendapat bahawa menyembunyikan  pertunangan adalah digalakkan. Perkara ini juga seperti mana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar Al-Khalil yang mana Al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:

 

وَأَمَّا الْخِطْبَةُ بِالْكَسْرِ فَيُنْدَبُ إخْفَاؤُهَا كَالْخِتَانِ وَإِنَّمَا نُدِبَ الْإِخْفَاءُ خَوْفًا مِنْ الْحَسَدَةِ فَيَسْعَوْنَ بِالْإِفْسَادِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَهْلِ الْمَخْطُوبَةِ

Maksudnya: Adapun Al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti Al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan di antara orang yang bertunang dan pasangan yang ditunangnya.

 

Selain itu ada juga pendapat lain yang menyatakan tiada masalah untuk menghebahkan pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.A. yang disebutkan sebelum ini, dinilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis (orang yang pakar dalam ilmu hadis).

Kesimpulan

Kebanyakan berpendapat lebih cenderung mengatakan bahawa perlunya pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan di atas pinangan yang mana ia jelas diharamkan di dalam Islam. Dengan menghebahkan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan perkara tersebut. Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

 

لاَ يَبِعِ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلاَ يَخْطُبْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَهُ

Maksudnya:Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan.

Riwayat Muslim (1412)

 

Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis ini secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain. Lebih-lebih lagi jika pinangan tersebut telah diterima dan tidak mendapat keizinan daripada orang yang dipinang tersebut.

Kesimpulannya tiada masalah untuk menghebohkan pertunangan. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkan serta menyambutnya kerana pertunangan hanyalah janji kepada perkahwinan dan boleh sahaja pertunangan tersebut dibatalkan. Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan kerana perkara ini lebih dituntut. Namun begitu dibolehkan juga merahsiakan pertunangan untuk mengelakkan hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbul fitnah.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar