Salahkah Perigi Datang Ke Arah Timba?

Salahkah Perigi Datang Ke Arah Timba?

Namun perlu diperingatkan dalam soal pemilihan pasangan ini, sebaiknya ia dilakukan berlandaskan agama bukan menurut hawa nafsu semata-mata...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Umum pasti sudah pun memahami apakah yang tersirat dari tajuk perbincangan di atas. “Perigi mencari timba” adalah salah satu peribahasa Melayu yang merujuk kepada kita tentang keterbalikkan adat. Hal ini berkait dalam soal pencarian jodoh.

Menurut Kamus Peribahasa Melayu karangan Sapinah Haji Said, perigi merupakan punca yang membekalkan air. Timba pula ialah bekas untuk menceduk air dari perigi. Dalam hal ini, perempuan dilambangkan sebagai ‘perigi’ manakala lelaki pula sebagai ‘timba’. Perigi itu telah mencari timba supaya menceduk air di dalamnya. Keadaan ini sudah tentu luar dari kebiasaan. Mudah kata, peribahasa ini merujuk kepada seorang perempuan yang mencari lelaki untuk dijadikan pasangan hidupnya.

Mengapa dikatakan luar adat atau luar biasa? Ini kerana, ghalibnya timba yang akan datang ke arah perigi untuk menceduk air di dalamnya. Lalu, bagaimana pula jika perigi datang ke arah timba? Kelihatan agak janggal bukan? Namun dalam soal pencarian jodoh hal tersebut bukanlah satu kesalahan ataupun pelik dalam masyarakat.

Cumanya, kita saja yang tidak didedahkan dengan etika perhubungan seperti ini yang sudah pun dimulakan terlebih dahulu oleh Saidatina Khadijah R.A tatkala melamar Baginda Nabi S.A.W. suatu masa dahulu. Bahkan, hal ini dilihat sebagai satu kemuliaan terhadap wanita tersebut kerana bersikap berani dalam memilih pasangan hidupnya kelak. Lebih-lebih lagi apabila yang dipilih itu bagus dari sudut pengamalan agamanya.

Tatkala Saidatina Khadijah melamar Baginda Rasulullah S.A.W, beliau berkata dalam ayat berbentuk kiasan:

“Wahai Al-Amin, aku hendak mengahwinkan kamu dengan seorang wanita bangsawan Arab. Orangnya baik, kaya, diinginkan oleh ramai raja dan pembesar Arab juga asing, tetapi ditolaknya. Kepadanya aku hendak membawamu. Tetapi sayangnya, dia ada aib. Dahulunya, dia pernah bersuami. Jika engkau mahu, maka dia akan berkhidmat dan mengabdikan dirinya kepadamu.”

Kata Khadijah yang ketika itu merupakan majikan kepada Rasulullah S.A.W.

Mendengarkan hal itu, Rasulullah S.A.W. lantas terdiam lalu meminta izin untuk pulang. Setelah diselidik, rupanya kata-kata Saidatina Khadijah itu merujuk kepada dirinya sendiri. Beliau ikhlas untuk bersuamikan Rasulullah S.A.W. sekalipun Baginda ketika itu bukanlah tergolong dalam kalangan bangsawan. Akan tetapi, akhlak mulia Bagindalah yang telah menarik hati Saidatina Khadijah untuk memulakan langkah awalnya.

Diutusnya Nafisah selaku utusan Khadijah R.A. untuk meneruskan niat sucinya itu. Lalu, setelah diperjelaskan segalanya kepada Rasulullah S.A.W, maka persetujuan pun dicapai. Maka terikatlah satu ikatan yang suci dan halal antara keduanya.

Dalam situasi ini, Saidatina Khadijah pada awalnya menggunakan kiasan sebagai langkah awal untuk dirinya menyatakan hasrat dihati. Kemudian diutuskan pula utusan sebagai orang tengah untuk menyampaikan secara jelas hasrat tersebut. Utusan yang menjadi orang tengah ini perlulah dipilih dari kalangan orang yang dipercayai dan mampu menjaga rahsia atau aib antara kedua-dua belah pihak sekiranya lamaran atau pinangan tersebut ditolak.

Tahukah anda, jumlah wanita yang lahir di dunia ini melebihi kaum lelaki dengan nisbah 3:1. Justeru, adalah wajar dan tidak menjadi suatu kesalahan bagi kaum wanita untuk memulakan langkah awal demi kelangsungan hidupnya pada masa akan datang.

Tambahan lagi, situasi dunia pada hari ini yang kerap dimomokkan dengan pelbagai isu jenayah seperti kes rogol, kecurian, rompakan, peras ugut, pelacuran, dadah dan sewaktu dengannya. Mangsa utama dalam kebanyakan kes ini adalah melibatkan kaum wanita. Justeru, tindakan untuk bersegera mencari pasangan hidup ini amatlah wajar dan digalakkan oleh kaum wanita jika pihak lelaki tidak memulakan langkahnya lagi.

Namun perlu diperingatkan dalam soal pemilihan pasangan ini, sebaiknya ia dilakukan berlandaskan agama bukan menurut hawa nafsu semata-mata. Buangkanlah persepsi negatif masyarakat yang mengatakan tindakan sebegini seakan ‘tidak tahu malu’, ‘terhegeh-hegeh’, ‘tidak laku’ dan apa-apa jua panggilan lain. Fikirkanlah tentang masa depan yang bakal dilalui pada masa akan datang.

Ibu bapa atau ahli keluarga yang ada pada hari ini bukanlah selamanya berada di sisi anda. Mereka juga pasti ada kehidupan sendiri bukannya 24 jam perlu mengawasi gerak geri anda. Tambahan lagi, lambat laun semua akan pergi menghadap Ilahi kerana inilah putaran hidup. Bahkan, semua orang juga pasti akan melalui fasa dewasa, tua dan kemudian akan pergi meninggalkan alam dunia ini.

Jika punyai pasangan hidup, sekurang-kurangnya diri akan berasa dilindungi dan ada tempat untuk meminta pertolongan jika berada dalam situasi kecemasan. Hari ini, jika diperhatikan ramai dalam kalangan wanita bekerjaya masih belum berkahwin. Pelbagai alasan yang diberi antaranya sibuk bekerja, lebih selesa hidup bersendirian, tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin, tidak mempunyai teman lelaki yang sesuai untuk dijadikan teman hidup, umur sudah tua untuk berkahwin dan lain-lain sebab lagi.

Tahukah anda, perkahwinan ini merupakan salah satu sunnah Baginda Nabi saw yang amat digalakkan. Hal ini sepertimana sabda Baginda; “

“Nikah adalah sunnahku, maka barangsiapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunnahku itu.” (Hadis Riwayat Abu Ya‟la dari Ibnu Abbas R.A)

Bahkan Allah S.W.T. juga turut menyatakan galakan kepada setiap manusia untuk berkahwin ini menerusi firman-Nya yang bermaksud;

“Dan, kahwinkanlah orang-orang yang sendirian (bujang) di antara kamu dan juga orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurnia-Nya. Dan, Allah Maha Luas (pemberian-Nya), Maha Mengetahui.” (An-Nur : 32)

Selain itu, fitrah kejadian manusia juga saling memerlukan antara satu sama lain, sama ada di pihak lelaki mahupun perempuan. Menurut Imam Al-Ghazali beliau menyebutkan hal ini di dalam kitabnya Ihya‟ Ulumuddin, terdapat beberapa tujuan perkahwinan.

Antaranya, supaya dapat menghasilkan keturunan agar dunia ini tidak kepupusan dari manusia, juga diharapkan semoga anak yang lahir itu dapat mendoakan buat kedua ibu bapanya.

Selain itu, tujuan berkahwin juga adalah bagi menghilangkan tekanan syahwat yang kadang boleh menganggu ibadah seharian, seterusnya memelihara diri daripada zina. Hakikatnya banyak lagi kelebihan serta keistimewaan yang diberikan kepada mereka yang menghidupkan salah satu sunnah Nabi S.A.W. ini.

Diharapkan penulisan yang sedikit ini dapat membuka mata serta menyedarkan kaum lelaki dan wanita yang masih belum mendirikan rumahtangga. Tidak tahu bagaimana ingin memulakan langkah tetapi mempunyai keinginan? Usah risau, di laman portal BaitulMuslim.com ini ada menyediakan platform untuk membantu para pemuda pemudi yang sudah pun bersedia dan bersungguh-sungguh mahu menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W. ini. Semoga usaha ini dapat membantu merealisasikan impian anda untuk mendirikan rumah tangga Muslim kelak.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Nota : Penulisan di atas merupakan pandangan penulis, Marina Bt Mat Arus dan tidak mewakili pihak BaitulMuslim.com. Artikel ini ialah artikel yang memenangi tempat pertama dalam 'Pertandingan Menulis Artikel BaitulMuslim.com'. 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar