Sebab kenapa perlu beritahu kepada ibu bapa tentang kekasih hati?

Seorang kekasih yang baik ialah yang bersikap jujur dalam perhubungan. Sebaik-baiknya bagi mereka yang sedang bercinta, beritahulah kepada ibu bapa tentang siapa kekasih hati...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

“Aku mengenali seorang lelaki sewaktu aku sedang menyambung pengajianku di peringkat ijazah. Niatku pada mulanya hanyalah untuk sekadar berkawan sahaja. Namun lama-kelamaan perasaan suka sudah wujud dalam hatiku. Bahagianya aku apabila cintaku turut terbalas olehnya.

Hubungan yang kami bina ini sudah hampir setahun usianya. Namun aku masih ragu-ragu adakah aku perlu memaklumkan tentang hubungan kami kepada orang tuaku atau merahsiakan sahaja dari pengetahuan mereka?”

Mendapatkan keredaan dan keberkatan daripada ibu bapa adalah salah satu faktor berjayanya sesebuah hubungan yang dibina. Justeru, carilah keredaan kedua-dua orang tua anda dan jangan sesekali membelakangi keputusan yang mereka lakukan. Setiap apa yang mereka lakukan pasti adalah yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” – Hadis riwayat al-Tirmidzi

Hadis di atas menerangkan bahawa hubungan seseorang insan itu dengan Allah SWT akan terjejas sekiranya dia menderhaka kepada ibu bapanya. Sikap biadap seorang anak kepada ibu bapa bakal mengundang kemurkaan Allah SWT. Sikap ini juga tidak akan diredai oleh Allah SWT.

Begitu juga tentang soal sebuah perhubungan. Seorang anak mestilah mendapatkan keredaan dan keberkatan daripada ibu bapa mereka sebelum sesebuah hubungan itu tersasar lebih jauh.

1. Namun siapa buah hati anda?

Seorang kekasih yang baik ialah yang bersikap jujur dalam perhubungan. Sebaik-baiknya bagi mereka yang sedang bercinta, beritahulah kepada ibu bapa tentang siapa kekasih hati anda. Tujuannya ialah untuk mengelakkan mereka mencarikan bakal pasangan hidup untuk anda. Apabila memberitahu kepada mereka yang anda sudah mempunyai calon pasangan, mereka tidak perlu lagi mencari untuk anda.

Kita sering didengarkan dengan ayat ‘pilihan ibu bapa adalah yang paling berkat’ malah ada juga yang menyatakan ‘pilihan sendiri itu yang lebih baik’. Tidak kira dari segi apa sekalipun pilihan yang dibuat namun keredaan dan keberkatan daripada ibu bapa adalah yang paling utama. Sekiranya ibu bapa tidak setuju dengan pilihan yang dibuat pasti rumit bagi anda untuk meneruskan sesebuah perhubungan.

2.Biar ibu bapa mengenali kekasih anda

Kenapa ibu bapa harus mengenali pasangan anda? Sekiranya anda sudah mempunyai kekasih hati, kenalkan pada ibu bapa anda. Sebab utama adalah supaya kekasih anda rasa dihargai dan rasa disayangi. Ianya akan menampakkan lagi kejujuran anda akan hubungan itu.

Si wanita atau si lelaki akan merasakan bahawa anda benar-benar ikhlas tentang hubungan yang dibina. Ianya bermaksud bahawa mereka sudah tekad untuk meneruskan hubungan dengan anda.

Contoh:

Ahmad berasa sangat bahagia apabila berjaya menakluki hati Adira. Ahmad bercadang untuk memperkenalkan Adira kepada keluarganya dan berharap agar hubungan yang dibina mendapat restu daripada kedua orang tuanya. Adira seharusnya bangga kerana Ahmad sudah benar-benar serius mengenai hubungan itu. Hal ini adalah kerana Ahmad sudah berani berkongsi perasaan itu dengan keluarganya dan menjadikan Adira sebahagian daripada kehidupannya.

3.Membuatkan ibu bapa lebih percaya kepada anda

Apabila anda memberitahu tentang kekasih hati kepada ibu bapa, mereka pasti akan menilai pasangan anda itu setelah diperkenalkan. Mereka akan menilai daripada semua aspek seperti tingkah laku, peribadi, serta kesetiaan pasangan anda dalam menawan hati anak mereka. Dari situ juga mereka akan melihat kesungguhan dan kejujuran pasangan anda terhadap anda.

Namun apa yang paling penting adalah tingkah laku mereka sebagai seorang Islam. Apabila elemen penting sudah lulus, maka ‘green light’ lah buat anda untuk meneruskan hubungan itu. Kalau dari awal lagi pasangan anda sudah tunjuk akan ketidaksungguhan dalam hubungan itu pasti akan ditentang oleh ibu bapa.

Contoh:

Marlia sudah mempunyai kekasih hati dan ingin memperkenalkan kekasih hatinya kepada orang tuanya. Marlia yakin sikap jujur dan taat pada agama yang ada pada lelaki tersebut mampu membuatkan orang tuanya bersetuju untuk menerima lelaki itu. Budi pekerti yang baik dan tingkah laku yang mulia membuatkan ibu bapanya bersetuju untuk membenarkan Marlia meneruskan hubungan dengan lelaki itu.

4.Mewujudkan sifat tanggungjawab dalam diri

Selepas memperkenalkan kekasih anda kepada ahli keluarga, secara tidak langsung ia akan menambahkan lagi sifat tanggungjawab dalam diri anda. Sudah tentu hubungan anda dan kekasih hati bukan lagi hanya mainan cinta. Hal ini kerana anda sudah merasakan sesuatu yang lebih besar tanggungjawabnya kerana anda harus melindungi dan menjaga hubungan itu.

Hubungan yang dibina itu sudah ke tahap yang lebih serius dan bukan lagi sekadar cinta monyet semata-mata. Cuba bayangkan kekasih anda seperti sesuatu yang bernilai dalam hidup anda. Sudah pasti anda akan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Justeru itu, jagalah kekasih anda dengan sebaik mungkin dan jangan sesekali melukakannya.

Contoh:

Amran mengenali Ida sejak dari zaman praktikal lagi. Amran sudah lama berhasrat untuk mengahwini Ida namun disebabkan ketidakstabilan ekonomi membuatkan Amran menangguhkan dulu hasratnya itu. Selepas Amran sudah mempunyai kerja tetap, Amran meneruskan hajatnya itu. Amran memberitahu perkara sebenar kepada ibu bapanya. Ibu bapanya bersetuju dengan niat Amran.

Amran sudah nampak lebih serius berbanding dahulu. Usahanya dalam mengumpul wang perbelanjaan juga jelas menunjukkan dia benar-benar serius dalam hubungan itu.

Kesimpulan

Sudahkah anda memberitahu tentang kekasih anda kepada ibu bapa anda? Kalau belum, apa tunggu lagi? Jadikan ianya seperti sesuatu yang utama supaya hubungan yang dibina memperoleh keberkatan dan keredaan dari ibu bapa anda. Perkara ini juga dapat menjauhkan anda dari perkara-perkara yang melanggar syariat yang telah ditetapkan oleh Islam.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: