Simpan Duit Kahwin Dari Awal

Simpan Duit Kahwin Dari Awal

"Ibu bapa atau waris kepada bakal pengantin perempuan seharusnya tidak membebankan pihak lelaki dalam urusan berkaitan perbelanjaan untuk sesebuah majlis perkahwinan.."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

Berkahwin dengan bakal pasangan yang anda cintai sudah tentu menjadi impian kebanyakan para wanita dan lelaki bujang di luar sana. Namun begitu untuk anda sampai ke peringkat melangsungkan perkahwinan, ada banyak cabaran yang terpaksa anda lalui.

Faktor paling utama sudah tentulah masalah kewangan. Tambahan pula, perempuan zaman sekarang masing-masing berlumba-lumba untuk meletakkan wang hantaran tinggi dan menganjurkan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang. Sudah tentulah lelaki yang menjadi ‘mangsa’ untuk memenuhi kehendak perempuan. 

Ia bukan sahaja semakin membebankan pasangan yang akan berkahwin, malah boleh membawa kepada budaya berhutang kerana ada yang sanggup membuat pinjaman bank. Selain itu, ia juga antara faktor seseorang itu berkahwin pada lewat usia oleh kerana simpanan yang masih belum mencukupi. 

Usah Beban Bakal Suami Dengan Belanja Kahwin 

Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) menasihatkan ibu bapa atau waris kepada bakal pengantin perempuan seharusnya tidak membebankan pihak lelaki dalam urusan berkaitan perbelanjaan untuk sesebuah majlis perkahwinan. Beliau turut mengingatkan masyarakat umum mengenai perkara itu yang disifatkan sebagai perbuatan menambah beban bakal suami serta boleh menjurus kepada pembaziran.

Tambah beliau lagi, dalam Islam itu sendiri tidak ada istilah belanja kahwin, sebaliknya Islam hanya mewajibkan pemberian mahar atau mas kahwin daripada bakal suami untuk bakal isteri. Justeru jika ada ibu bapa yang meletakkan belanja kahwin untuk anak perempuan atau jagaan mereka, ini bukan dituntut oleh Islam lebih-lebih lagi sekiranya belanja yang ditetapkan itu pula terlalu tinggi.

Ada sesetengah waris yang meletakkan belanja tinggi bagi perkahwinan anak perempuan mereka atas alasan ia berbaloi dengan belanja yang telah ditanggung dalam membesarkan anak tersebut. Malah ada yang menyatakan tentang kesesuaian dengan taraf pendidikan bakal pengantin perempuan.

Dr. Maza menegaskan bahawa pendapat sedemikian amat tidak berasas kerana perbelanjaan yang dikeluarkan ketika membesarkan anak-anak merupakan amanah dan tanggungjawab yang wajib dipikul bagi mereka yang bergelar ibu bapa.

Masalah Kewangan Adalah Salah Satu Punca Perceraian

Antara satu kesalahan yang amat nyata kebelakangan ini adalah menormalisasikan perkahwinan tanpa perancangan kewangan yang kukuh dalam kalangan anak muda. Menurut Laporan Statistik Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2022, jumlah perceraian dalam kalangan rakyat di negara ini meningkat sebanyak 12 peratus kepada 56, 975 pada tahun 2021 berbanding dengan 50, 862 pada tahun sebelumnya. 

Sedia maklum buat kita bahawa secara majoriti, situasi kewangan keluarga masih berada dalam keadaan yang goyah dan tidak stabil. Hal ini dapat dilihat melalui statistik tribunal perkahwinan Jabatan Pendaftaran Negara di mana ia menunjukkan bahawa masalah kewangan adalah antara punca utama kes perceraian di Malaysia. 

Ekoran kedudukan ekonomi yang tidak stabil menyebabkan pasangan berkahwin menghadapi kesukaran sehingga membawa kepada tekanan terutama kepada pihak suami untuk menyara hidup keluarga mereka.

Solusi Untuk Mengelakkan Masalah Kewangan Selepas Berkahwin

Kongsi Status Kewangan Dengan Bakal Pasangan

Sebelum memulakan kehidupan berumah tangga, pastikan anda berkongsi status kewangan dengan pasangan dan juga sebaliknya. Ini akan memudahkan anda meneliti dan menguruskan kesemua komitmen yang ada bersama. Komitmen-komitmen ini termasuk, pinjaman pendidikan, ansuran kad kredit, dan kewajipan yang lain seperti wang nafkah anak atau pinjaman peribadi. 

Walaupun mungkin anda berasa tidak selesa untuk berkongsi maklumat seperti ini, lebih baik anda bersikap jujur dengan segala komitmen kewangan agar anda berdua tidak dikejutkan dengan hutang tambahan atau beban kewangan kelak. Perlu diingatkan bahawa ia bukan sahaja memberi kesan kepada anda sahaja tetapi kebolehan anda berdua untuk memohon pinjaman bersama suatu hari nanti. Contohnya untuk membeli rumah pertama yang memerlukan gabungan pendapatan antara anda dan pasangan.

Baru-baru ini Siakap Keli menyiarkan satu kisah di mana ada seorang pemuda yang menyediakan slide PowerPoint untuk membentangkan perancangan status kewangan depan bakal isteri sebelum berkahwin. Perkongsian pemuda itu mendapat ribuan tanda suka dari netizen dan rata-rata netizen bersetuju dengan tindakannya. Perkongsian ini adalah untuk memberi gambaran jelas tentang kedudukan kewangan masing-masing dan barulah mereka boleh berbincang mengenai masa depan.

Simpan Duit Kahwin Dari Awal

Sememangnya hantaran belanja tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar mas kahwin sahaja. Mas kahwin ini boleh terdiri dari emas, wang ringgit atau sekadar bacaan dari al-Quran.

Mas kahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu mas kahwin mereka ". 

(Surah An-Nisaa' ayat 4 )

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

"Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi” 

(Hadis Riwayat Bukhari)"

Berdasarkan hadis di atas ianya jelas bahawa mas kahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah. Boleh jadi dalam bentuk wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat. Namun mengikut peredaran zaman, perkahwinan masyarakat kita kini memerlukan belanja yang agak besar termasuklah belanja hantaran perkahwinan. 

Secara amnya jika terlalu mengikut trend terkini, belanja itu agak tinggi. Namun persiapan dari segi kewangan masih perlu memandangkan duit kahwin yang anda kumpul nanti bolehlah digunakan untuk kelangsungan hidup selepas kahwin. Yang penting anda menyimpan sebagai persediaan kahwin anda. Ya, mesti menyimpan. Tidak kisahlah kenduri kahwin anda kecil, sederhana atau besar. Berikut adalah tip bagaimana anda boleh membuat simpanan sebagai persediaan kahwin anda.

Tip Menyimpan Duit Kahwin

 

  1. Mulakan Simpanan Dari Awal

Memulakan penyimpanan lebih awal adalah sangat digalakkan kepada mereka yang sudah berjumpa pasangan atau masih ‘single’. Tidak salah memulakan simpanan lebih awal malah ianya adalah lebih disarankan berbanding dah jumpa calon baru nak mula menyimpan. Apabila sudah mula menyimpan dari awal, nanti bila tiba masanya berjumpa dengan calon yang sesuai dan mahu berkahwin, anda tidak kelam-kabut dan pening untuk mencari duit majlis perkahwinan.

Cadangan kami, sediakan satu nota dan catat perbelanjaan setiap bulan. Kenal pasti apa keperluan anda. Kadang-kadang, ia bukanlah keperluan tetapi lebih kepada kehendak sahaja. Jadi dengan menghadkan perbelanjaan ke atas beberapa kehendak anda yang tidak memberi kepentingan, anda akan dapat menjimatkan kos perbelanjaan bulanan. Jadi, duit baki tadilah merupakan simpanan anda yang boleh digunakan untuk perkara yang lain seperti belanja perkahwinan.

 

  1. Letak Target

Mempunyai target untuk simpanan adalah lebih baik kerana dengan adanya target atau matlamat, anda akan lebih fokus. Anda juga boleh menentukan berapa kemampuan anda untuk menyimpan secara bulanan. Sebagai contoh, jika target duit kahwin anda ialah RM 20,000 maka anda boleh menyimpan RM 1000 setiap bulan.

Justeru itu, anda perlukan masa anggaran dua tahun untuk sampai kepada target anda. Dengan meletakkan target simpanan juga anda boleh merancang dan menyusun perbelanjaan harian dan bulanan yang lain.

 

  1. Simpan Bersama Bakal Pasangan (sekiranya sudah ada)

Seandainya anda merasakan sudah agak lewat untuk menyimpan duit kahwin dan mengejar masa kahwin, anda mungkin boleh mengajak bakal pasangan anda menyimpan bersama. Sudah tentu apabila dua orang yang menyimpan, ia akan mempercepatkan lagi masa anda untuk berkahwin. 

Bak kata pepatah, 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing' bukan? Pasangan yang akan berkahwin perlu bersikap lebih toleransi antara satu sama lain. Misalnya, keluarga belah perempuan janganlah minta jumlah hantaran di luar kemampuan lelaki. Janganlah sampai RM20,000 sehingga membebankan pihak lelaki. Namun kalau pihak lelaki mampu, tidak ada salahnya.

 

  1. Kerja ‘part-time

Bagi mereka yang mempunyai masa terluang, mereka boleh menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Walaupun untungnya tidaklah besar mana, tetapi tetap boleh ditambah ke dalam tabung perkahwinan anda. Sekarang ini, kalau lihat dalam internet, macam-macam produk yang boleh anda jual. Kadang-kadang tidak memerlukan modal pun seperti hanya menjadi agen atau ‘dropship’. Hanya perlu mencari pelanggan dengan iklankan sahaja.

Selain itu, jika tidak suka dengan perniagaan secara online, mungkin boleh cuba untuk kerja ‘part time’ yang lain seperti pembantu di restoran, kedai makanan segera berhampiran rumah anda. Satu pekerjaan yang boleh kami cadangkan lagi adalah menjadi pemandu ‘uber’ atau ‘grab’ hanya pada hujung minggu sahaja. Bayaran menjadi pemandu kedua perkhidmatan ini boleh dikatakan agak lumayan dan salah satu kerja ‘part time’ yang agak trending pada masa kini. Namun mestilah ada lesen memandu dan kereta.

Semoga dengan perkongsian dalam artikel kali ini sedikit sebanyak dapat membantu anda di luar sana untuk memulakan perancangan perkahwinan lebih awal. Meskipun belum dipertemukan jodoh, tidak ada salahnya untuk sudah mula menyimpan agar tidak kelam-kabut di kemudian hari. 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar