Sudah Bertemu Jodoh Tetapi Masih Ragu-Ragu, Lakukan 5 Perkara Ini Sebelum Membuat Keputusan

Sudah Bertemu Jodoh Tetapi Masih Ragu-Ragu, Lakukan 5 Perkara Ini Sebelum Membuat Keputusan

Sebahagian yang sedang menjalani proses takruf (berkenalan) khususnya kaum wanita sering diselubungi rasa ragu-ragu kerana tidak mengenali calon pasangan mereka dengan baik...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

#1 Melakukan Istikharah

Mungkin bagi sebahagian daripada kita agak pelik jika perkara ini perlu dimulakan dengan istikharah. Mengapa tidak lebih ditekankan kepada mengumpul wang ataupun persiapan fizikal lain?

Perancangan memang perlu namun tidak semestinya apa yang dirancang akan mendapatkan keputusan yang sempurna. Sebagai contoh jika anda dilamar ataupun melamar seseorang, bagaimana anda mahu betul-betul yakin bahawa calon tersebut adalah yang terbaik buat anda?

Betul, anda boleh bertanya rakan terdekat ataupun keluarga calon untuk mengetahui tentang calon namun mungkin anda masih was-was dengan pilihan anda.

Apakah si dia orangnya?

Adakah ini jodoh sepanjang hayatku?

Selain itu, mungkin pelbagai lagi soalan yang akan bermain di fikiran anda yang anda sendiri tidak mampu menemui jawapannya. Disebabkan itulah ada orang mengatakan, perkahwinan itu satu pertaruhan.

Walau bagaimanapun anda merancang sebelum berkahwin, tiada siapa yang berani memberi jaminan yang ianya akan kekal selamanya. Oleh itu, tiada tempat lain seharusnya kita meletakkan pergantungan harapan melainkan kepada Allah S.W.T. Umum mengetahui Allah S.W.T. lah yang memiliki hati kita dan hati calon pasangan kita tersebut.

#2 Lakukan Proses Takruf Dengan Bijak dan Taqwa

Sebahagian yang sedang menjalani proses takruf (berkenalan) khususnya kaum wanita sering diselubungi rasa ragu-ragu kerana tidak mengenali calon pasangan mereka dengan baik. Lebih malang, ada yang sanggup melampaui batas syariat dengan keluar berduaan dengan bukan mahram dengan alasan ingin mengenali dengan lebih mendalam.

Jika seseorang ingin mengenali pasangan sepatutnya mereka perlu meminta izin dan bertemu dengan keluarga. Jika tidak maka jelaslah seseorang itu masih belum serius mahu mengambil anda sebagai pasangan hidup.

Walau bagaimanapun jangan salah faham, Islam tidaklah terlalu jumud dan sempit dalam menyelesaikan masalah pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Bahkan sekiranya anda dalam proses takruf ataupun bertunang, adalah penting untuk anda berkomunikasi dengan cara yang betul mengikut ketetapan agama.

Anda boleh keluar berdua namun eloklah ditemani oleh ahli keluarga atau rakan yang menjadi perantara. Perantara tersebut tidak semestinya duduk di sebelah, mereka juga boleh memerhati anda dari jarak yang tertentu untuk menjaga privasi komunikasi.

Semasa dalam proses berkenalan anda mungkin boleh bertanya soalan yang penting seperti dibawah.  

1. Bagaimana calon mengawal perasaan marah?

2. Apa yang diharapkan dalam perkahwinan?

3. Perancangan hidup (jangka masa pendek/panjang)

4. Mengenai perbelanjaan bulanan dan bagaimana menguruskan kewangan

Secara amnya anda perlu bertanyakan soalan matang seperti ini yang akan memberi kesan besar kepada kehidupan anda selepas berkahwin nanti. Soalan ini adalah jauh lebih berfaedah daripada anda sekadar bertanya “dah makan ke belum?” atau “sihatkah?”

Walaupun begitu perkara di atas adalah agak sukar untuk dilakukan. Lebih-lebih lagi apabila anda telah terlalu suka kepada seseorang dan anda akan mengabaikan perkara penting ini. Semuanya akan kelihatan cantik di mata anda. Oleh itu penting pada masa ini anda cuba sedaya upaya untuk mengelakkan emosi mengatasi rasional semasa dalam proses takruf.

#3 Jangan Terlalu Percaya Pada Harapan Atau Janji

Kebiasaanya majoriti daripada mereka yang telah bersedia untuk berkahwin, akan mudah mendahulukan emosi, perasaan dan penampilan luaran berbanding objektif dan juga rasional. Perkara yang biasa terjadi pada waktu perkenalan adalah jika anda telah ‘tersuka’ pada seseorang anda kadang-kadang akan melupakan keburukan pasangan. Perkara ini jika dibiarkan mungkin akan menjejaskan keharmonian rumah tangga kelak.

Bukanlah saya katakan semua orang begitu. Terdapat sebahagian sememangnya mengotakan apa yang mereka janjikan. Namun saranan ini adalah sebagai panduan untuk mengelakkan masalah selepas perkahwinan jika perkara ini berlaku. Jangan terlalu menaruh kepercayaan dan mengharapkan perubahan yang terlalu mendadak dari seseorang yang kita baru kenali. Paling penting adalah berfikir dengan mendalam sebelum mengambil keputusan.

#4 Mendekatkan Diri Kepada Allah

Perkahwinan adalah antara perkara paling besar yang akan merubah kehidupan anda.  Perancangan teknikal seperti wang, tarikh dan sebagainya adalah penting namun perkara ini adalah jauh lebih penting. Siapa bakal suami atau isteri anda akan menentukan bagaimana kehidupan anda selepas ini.

Oleh itu, gunakan masa perkenalan tersebut untuk mendekatkan diri lagi kepada Allah S.W.T.  Insya-Allah apabila hati dekat dengan Allah, segala keputusan yang dilakukan diberkati dan diberikan kemudahan oleh Allah. Selain itu penting juga untuk berdoa bagi mendapat petunjuk dari Allah S.W.T. supaya keputusan yang dilakukan terhindar dari kesilapan. Di samping itu mendekatkan diri kepada Allah juga bermaksud mengajar anda erti tawakal dan berserah diri kepada Allah setelah segala usaha yang dilakukan.

Umum sedia maklum cintakan pada pasangan adalah lumrah tetapi jangan sesekali lupa bahawa cinta kepada Allah dan rasul adalah lebih utama.

 

#5 Sentiasa Memperbaharui Niat

Niat adalah kunci kepada segala perbuatan yang dilakukan. Ianya tidak perlu dilafazkan dengan kata, cukup dengan ianya kukuh berada di dalam hati. Jika niat tersebut semata-mata mencari keredhaan Allah S.W.T. Insya-Allah setiap perkara akan dipermudahkan.

Walaupun begitu,niat itu terletak pada hati di mana sifat hati itu sendiri berbolak- balik. Kadang kala dengan berlalunya masa ianya mungkin berubah. Oleh sebab ini pasangan tidak digalakkan bertunang untuk tempoh masa yang lama. Ini kerana ia mungkin boleh menganggu hati dan juga ketetapan niat. Apabila ini berlaku anda akan berasa mahu berbual di telefon tanpa arah tujuan dan juga mahu berjumpa berduaan.

Untuk itu sangat penting untuk memperbaharui niat. Antara doa yang anda boleh amalkan ialah:

اَللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ, ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلَى دِيْنِك

“Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agamaMu”

Doa di atas selalu diamalkan oleh orang-orang soleh sebagai mengikuti sunnah Nabi S.A.W yang selalu membacanya.  Inshaallah ianya benar-benar mujarab dalam menetapkan hati kita di atas agama dan jalan Allah seandainya dibaca dengan penuh tulus dan istiqamah. Dari sudut yang lain, apabila niat yang dipasakkan sejak awal betul, sekalipun proses takruf tidak seperti yang diharapkan. Anda tidaklah terlalu sedih dan kecewa kerana anda percaya setiap yang berlaku merupakan ketetapan Allah.

Buat Keputusan Yang Terbaik Dan Minta Pendapat Ahli Keluarga

Secara kesimpulannya setiap keputusan perlulah dibuat setelah difikirkan secara mendalam dan teliti. Selain itu penting untuk bertanya pendapat ibu bapa ataupun saudara mara kerana mereka mungkin lebih berpengalaman dalam perkara ini. Kami berharap artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu mana-mana individu yang sedang dilema ataupun kebuntuan mencari arah dan tujuan dalam membuat keputusan yang besar dalam hidup mereka.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar