TIPS BERCINTA YANG BERMANFAAT

Perasaan cinta ini normal bagi seorang manusia. Perasaan ingin mencintai dan dicintai adalah fitrah insani. Namun, naluri yang menjadi fitrah insani ini mampu bertukar menjadi fitnah diri jika tidak dikawal dengan rapi...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

"Bercinta", "Bercouple", "Berikhtilat" dan sebagainya mempunyai takrifan berbeza dan sangat subjektif dengan merujuk kepada setiap individu. Ada yang kata bercinta itu halal, sedang "couple" itu haram. Ada juga yang mengatakan kedua-duanya haram, sebahagian yang lain pula mengatakan ia harus namun bersyarat. Namun ada juga yang menjustifikasikannya dengan penggunaan kalimah "ikhtilat".

Bagi saya, istilah bercinta itu sendiri terlalu subjektif. Ianya berbeza mengikut pemahaman setiap orang dan apa yang mereka lakukan adalah berdasarkan pemahaman masing-masing. Ada yang menggunakan istilah bercinta, namun mereka tidak melanggar batas-batas agama. Jadi, adakah perbuatan tersebut diharamkan?

Ada juga yang menggunakan istilah "kami hanya berkawan saja", tetapi pergaulan mereka mengalahkan suami isteri, pun begitu adakah berkawan juga patut diharamkan? Saya tertarik dengan satu kenyataan seorang penceramah sewaktu saya masih menuntut di zaman asasi dulu. Beliau mengatakan dengan lantang bahawa; "Bercinta, berikhtilat dan bercouple itu haram".

Lama saya termenung selepas itu, memikirkan adakah bercinta itu haram secara keseluruhannya? Adakah langsung tiada ruang untuk manusia memanifestasikan cinta mereka kepada seseorang? Mengapa Allah mengurniakan rasa hati ini jika perasaan ini diharamkan secara terus?

Dalam Al-Quran, Allah S.W.T. mengulang-ulang kalimah cinta sebanyak 76 kali. Apabila Allah sendiri meletakkan kalimah cinta sebanyak itu dalam Al-Quran, tentu sahaja perkara itu penting. Maha suci Allah! Dia tidak akan meletakkan sesuatu yang remeh-temeh dalam kitab-Nya sebagai rujukan umat keseluruhannya.

Perasaan cinta ini normal bagi seorang manusia. Perasaan ingin mencintai dan dicintai adalah fitrah insani. Namun, naluri yang menjadi fitrah insani ini mampu bertukar menjadi fitnah diri jika tidak dikawal dengan rapi. Kata orang, cinta itu buta. Apabila sudah bercinta, bukan sahaja mata, malah hati juga turut menjadi buta. Yang buruk terlihat indah. Yang busuk terhidu wangi.

Perasaan cinta ini umpama garam dalam masakan, perlu dibubuh untuk menyedapkan makanan, tetapi apabila berlebihan, mampu mengundang pelbagai penyakit dalam badan. Seseorang akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya, dan alangkah baiknya jika kita salurkan perasaan cinta kita kepada pemilik segala cinta di dunia dan akhirat iaitu Allah 'Azza Wajalla. Biarlah kita menjadi hamba, dan mengabdikan diri pada yang sepatutnya terlebih dahulu.

Kemudian, barulah kita boleh memandu hati ini untuk mencintai mereka yang mencintai Allah. Apabila kita mencintai orang yang mencintai Allah, Insya-Allah cinta yang kita serahkan kepadanya itu, akan diserahkan kepada Allah. Lalu, jadilah kita insan yang saling mencintai kepada pencinta kebaikan. Itulah cinta yang utama!

Bagi saya, bercinta itu perlu bagi mengenali dengan lebih mendalam pasangan yang akan kita kahwini. Hal ini bagi mengelakkan kita tersilap membuat keputusan malah menyesal di kemudian hari. Bercinta itu tidak salah, asalkan kita menjauhi segala perkara yang haram dan dilarang oleh agama. Bertakruflah sekadarnya untuk mengetahui ciri-ciri umum bakal pasangan kita saja.

Namun begitu, Islam adalah agama yang syumul. Ia tidak akan membiarkan penganutnya hidup tanpa sebarang panduan dan hanya berpaksikan hawa nafsu semata. Agama Islam sendiri telah menggariskan beberapa tips dan adab ketika bercinta atau berta'aruf melalui kalam-kalam ulama' terdahulu dan kontemporari.

Rasulullah juga pernah bersabda, bahawa seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu beruntung.

Golongan asatizah telah menggariskan beberapa panduan bagi mengenali bakal pasangan kita berlandaskan syariat. Antaranya dengan menyelidik latar belakangnya dengan cara yang sopan dan bermaruah. Dalam era teknologi kini, bukanlah menjadi satu masalah sukar untuk kita mendapatkan maklumat mengenai bakal pasangan kita. Kita boleh mengenali perwatakannya, siapa ahli keluarganya, siapa rakan karibnya, bagaimana bahasa yang digunakannya di dunia maya itu.

Selain itu, kita juga boleh berhubung melalui orang tengah yang dipercayai akan akhlak dan agama mereka bagi merisik corak kehidupan dan juga keperibadiannya. Sebagai contoh, melalui keluarga, teman sekuliah, saudara-mara, guru atau rakan sekerjanya. Jadi, bukan diri kita sendiri yang perlu bertakruf dengan mendekati dan mengenali hati budinya secara berlebihan. Itulah yang dimaksudkan menyelidik secara bermaruah.

Namun begitu, dalam menilai ciri-ciri idaman bakal pasangan kita, kita juga perlu terlebih dahulu berusaha ke arah ciri-ciri tersebut. Hal ini diumpamakan bagai sekati sama berat, diuji sama merah. Usahlah mengharap bakal pasangan kita sempurna bagai malaikat andai kita sendiri solat subuh masih terlewat!

Bercinta tidak salah tetapi ramai yang menyalahgunakan makna sesebuah percintaan untuk melakukan perkara yang ditegah oleh hukum syarak. Bertemu janji atau "dating" dalam gambaran yang mudah difahami hari ini merupakan amalan yang sangat bertentangan dengan hukum Islam. Misalnya menonton wayang bersama, berpegangan tangan, berdua-duaan dan tidak menutup aurat sudah dianggap biasa. Sedangkan hukumnya adalah haram dan berdosa.

Selain itu, komunikasi yang tidak berkenaan juga perlu dikurangkan, kita juga perlu mengawal isi kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Elakkan dari membuang masa menelefon pasangan kita setiap malam. Elakkan juga komunikasi yang "mencagarkan" agama untuk kepentingan nafsu sendiri. Misalnya dengan menelefon pasangan kita setiap dinihari untuk sama-sama bangun tahajud. Bahkan urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram sepatutnya dihentikan pabila menjelang malam.

Sedangkan isteri-isteri Rasulullah selaku ummahatul mukminin yang mulia, telah diarahkan agar berselindung di sebalik tabir apabila berurusan dengan para sahabat yang diiktiraf iman mereka. Inikan pula kita yang tahap keimanan jauh panggang dari api berbanding mereka. Ingat! Niat tidak pernah menghalalkan cara. Apatah lagi jika niat itu sendiri sudah terpesong berkiblatkan nafsu serta bertopengkan tipu daya syaitan.

Hati-hati dengan makhluk yang bernama syaitan ini, dia amat licik. Andai dia tidak mampu menghasut kita ke jalan maksiat, dia mungkin akan memanipulasikan taktik halus dengan menyuntik racun berhalusinasikan agama pada sanubari kita. Tujuannya supaya di mata kita tidak nampak perbuatan itu salah. Justeru, jangan terpedaya. Lebih baik kita kejut teman serumah kita untuk sama-sama tahajud berjemaah jika betul niat kita ingin berdakwah!

Tambahan pula, cinta itu letaknya di hati. Oleh sebab itu, jatuh cinta kerap juga disebut sebagai jatuh hati. Hati itu adalah raja yang mengawal seluruh anggota dan pancaindera manusia. Jika hati baik, maka baiklah seluruh jasad. Begitulah sebaliknya.

Apabila kita mencintai seseorang, kita tidak akan tergamak membawa dirinya ke kancah maksiat. Kita tidak akan sanggup membuatkan dirinya bergelumang dengan dosa. Sebagai seorang muslim, cinta kita tidak sama dengan cinta seorang yang bukan muslim. Cinta kita di batasi syarak.

Justeru, jika kita telah berpuas hati dengan segala corak keperibadiannya, dan kedua-duanya sudah saling meredhai antara satu sama lain, maka segerakanlah dengan ikatan pertunangan. Ikatan ini mudah saja, cukup dengan persetujuan pasangan dan keluarga terdekat seperti ibu bapa kedua-dua belah pihak, sudah dikira sebagai bertunang. Pelamin tunang, hantaran, rombongan, kenduri dan lain-lain itu semua cuma adat.

Bertunang itu penting kerana dalam tempoh itu tiada lelaki lain boleh mengganggu atau merisik pasangan kita. Dalam Islam, memikat atau melamar tunang orang hukumnya adalah haram. Andainya semua umat Islam faham akan hal ini, maka tidak akan berlaku istilah rampas kekasih orang.

Jaga batasan-batasan pergaulan ketika bertunang. Jika mahu keluar bersama atas urusan persiapan perkahwinan misalnya, mestilah berpakaian sopan dan menutup aurat, bawa sekali seorang mahram seperti adik atau abang kepada perempuan itu. Membawa budak kecil bersama tidak dikira sebagai membawa mahram. Mahram yang dimaksudkan ialah seorang yang waras, boleh mengenal pasti hukum halal haram dan mempunyai kekuatan untuk menegur.

Semasa melalui tempoh bertunang, tentukan dan pastikan terus sama ada kita dengan si dia sesuai bersama atau tidak. Jika sesuai, teruskan kepada perkahwinan. Jika tidak, putuskan tali pertunangan itu dengan baik.

Tiada istilah malu apabila putus tunang. Islam sudah menganjurkan kepada kita bahawa semasa bertunang, usah dikhabarkan hal pertunangan kita itu kepada orang ramai. Bertunang itu lebih baik dibuat secara diam-diam. Bukan dengan rombongan Cik Joyah yang masyarakat Melayu amalkan sekarang.

Bertunang itu adalah ikatan pengenalan, bukan kepastian. Hubungannya boleh diteruskan dan boleh juga diputuskan. Jika ramai yang mengetahui dan ikatan itu putus, maka akan membawa malu besar kepada diri sendiri dan keluarga. Jika tiada orang tahu, maka perkara seumpama itu tidak akan berlaku. Aturan Islam itu sangat mudah dan indah. Cuma kita sahaja yang kurang memahaminya.

Cinta ini, andai dibaja dengan hukum syarak, maka ia berbunga mekar penuh keberkatan. Perlu diingat, keberkatan hidup berkait rapat dengan corak kehidupan yang seseorang amalkan. Jika hukum syarak dipelihara dengan baik, maka Insya-Allah hidupnya berkat. Jika tidak dijaga, maka kemanisan dan barakahnya akan hilang sedikit demi sedikit.

Tuntasnya, percintaan itu biarlah dengan niat kita ingin berkahwin dengannya. Bukan sekadar "bercouple" dan berkasih semata tanpa sebarang matlamat dan hala tuju. Maksud ingin berkahwin yang saya nyatakan ini adalah seperti proses takruf yang sekadarnya, kemudian segerakan dengan ikatan pertunangan dan teruskan kepada perkahwinan. Jika belum bersedia untuk proses-proses tersebut, maka usahlah melibatkan diri dalam hal-hal percintaan seperti "bercouple", kerana ia hanya akan mengundang dosa dari menghampiri pahala. Ia hanya akan menambahkan kemudaratan berbanding kerahmatan. Ia hanya membuang masa dan membazir usia dengan perkara sia-sia.

Moga kita semua mampu menjaga batas pergaulan dengan sempurna. Allah telah berjanji, bahawa lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Setiap manusia Allah telah jadikan berpasangan. Jadi, usahlah terlalu bermuram durja kerana saat bahagia itu pasti tiba. Jika tidak di dunia ini di akhirat sana pasti ada.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Nota : Penulisan di atas merupakan pandangan penulis, Nurul Farinie bt Zainal Abidin dan tidak mewakili pihak BaitulMuslim.com. Artikel ini ialah artikel yang memenangi tempat ketiga dalam 'Pertandingan Menulis Artikel BaitulMuslim.com'.

Kongsi artikel ini: