Tips memelihara cinta sejati

Sikap terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara itu memang tidak digalakkan kerana perbuatan itu tidak membawa kebaikan malah akan mendatangkan kerugian...

Kategori Artikel: 
Kongsi artikel ini: 

“Disebabkan pengalaman lalunya yang sering sahaja gagal dalam bercinta membuatkannya fobia untuk bercinta. Kegagalan dalam hubungan lalu yang dibina membuatkan dirinya takut untuk mendekati mana-mana wanita kerana bimbang sekiranya disakiti dan dipermainkan lagi.

Faktor sudah lanjut usia bukan menjadi isu baginya lagi kerana ‘sakit’ pada saat putus cinta masih terasa sehingga kini. Adakah masih ada peluang buat dirinya untuk bercinta?”

Menjaga cinta sejati merupakan suatu ungkapan yang dilihat seperti biasa sahaja namun ianya agak sukar untuk melakukannya. Ramai orang berbicara mengenai cinta namun sejauh mana kefahaman mereka untuk memelihara sesebuah cinta itu agar menjadi yang paling sejati?

1. Pilih pasangan yang sesuai

Anda sering meletakkan hasrat untuk memiliki pasangan yang berharta, mempunyai paras rupa yang cantik/tampan dan baik budi pekerti. Namun tahukah anda sesungguhnya wang dan rupa bukannya penyuntik cinta sejati? Terlalu ramai pasangan yang memilih teman hidup berdasarkan paras rupa semata-mata. Mereka juga memandang kepada harta kerana apa yang diidamkannya adalah untuk memiliki segala-galanya selepas berumah tangga kelak.

Apa yang harus dipertimbangkan dalam memilih pasangan hidup sudah tentu ketaatannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Ini merupakan kriteria yang paling utama dari kriteria lain. Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa (Surah Al Hujurat:13).

Jodoh itu cerminan diri sendiri. Jangan hanya mengharapkan pasangan yang terbaik kalau anda sendiri masih belum menjadi yang terbaik.

Firman Allah SWT ada menyatakan:

“Wanita-wanita yang tidak baik untuk laki-laki yang tidak baik, dan laki-laki yang tidak baik adalah untuk wanita yang tidak baik pula. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik. (Surah An Nur:26)

Oleh itu, sebelum anda menentukan kriteria pasangan anda, anda harus mengenali diri anda terlebih dahulu. Anda juga haruslah memperbaiki diri ke arah yang lebih baik supaya dianugerahkan dengan pasangan yang sesuai.

2. Jangan terburu-buru

Sikap terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara itu memang tidak digalakkan kerana perbuatan itu tidak membawa kebaikan malah akan mendatangkan kerugian. Tidak hanya rugi pada diri sendiri malah turut melibatkan orang lain. Pekerjaan yang dilakukan dengan terburu-buru tentu hasilnya tidak maksimal. Seperti yang dikatakan oleh Sahal ibnu Sa’ad r.a bahawa Nabi SAW bersabda:

“Tergesa-gesa ialah termasuk ke dalam perbuatan syaitan” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Oleh itu, jangan terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan lebih-lebih lagi yang berkait rapat dengan soal hati dan perasaan seseorang. Jangan hanya mengikut pada hawa nafsu semata-mata.

3. Merahsiakan keburukan atau kelemahan pasangan

Selain menerima keburukan dan kebaikan pasangan anda, anda juga perlu merahsiakan setiap keburukan dan kelemahan pasangan anda itu. Tidak perlu untuk menjaja kekurangan dan kelemahan mereka kepada orang lain.

Seperti yang kita dapat lihat sekarang masyarakat lebih gemar untuk menceritakan kepada umum tentang kelemahan pasangan mereka. Tanpa mereka sedari, mereka telah mengaibkan pasangan mereka sendiri. Ada juga yang menjaja masalah rumah tangga mereka di media sosial sehingga sesuatu isu itu menjadi tular di kalangan masyarakat.

Anda haruslah saling merahsiakan antara satu sama lain. Cara sebegini dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang konflik yang tidak diingini dalam hubungan anda berdua.

4. Terima seadanya

Setelah mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan dalam meneruskan perhubungan anda dan pasangan, cuba untuk redha dan terima pasangan anda seadanya. Terima pasangan anda dengan penuh ikhlas, bukan hanya semasa saat bercinta tetapi juga selepas berkahwin.

Pada saat anda memutuskan untuk menikahinya itu menandakan anda sudah bersetuju untuk menerima segala baik dan buruk pasangan anda itu. Ikatan cinta yang dibina bertahun-tahun sebelum disimpul dengan ikatan perkahwinan bukan jaminan kepada keutuhan sesebuah rumah tangga.

Rumusan

Dalam menjalani kehidupan, manusia memang tidak dapat dipisahkan dengan konsep ‘cinta’. Hal ini adalah kerana setiap apa yang dilakukan oleh individu itu sendiri sudah pasti akan berkait dengan cinta. Dicintai dan mencintai bukannya sesuatu perkara yang mudah terutama dalam menjaga dan mengekalkan hubungan itu hingga melangkah ke alam perkahwinan.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: