TIPS MENJAGA HUBUNGAN MERTUA-MENANTU

TIPS MENJAGA HUBUNGAN MERTUA-MENANTU

"mereka sering terbayangkan mertua yang garang, tegas, kuat berleter dan sebagainya"

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua
Tips, Menjaga, Hubungan, Mertua, Menantu

Apabila berbicara mengenai topik ini pasti ramai perempuan di luar sana baik yang sudah bernikah mahupun yang masih single sangat gerun dengan perkataan ‘mertua’ ini. Mereka sering terbayangkan mertua yang garang, tegas, kuat berleter dan sebagainya.

Topik ini selalunya menjadi ketakutan buat si perempuan sahaja, walhal si lelaki relax sahaja, jarang sangat jumpa lelaki yang tidak boleh mesra dengan mertua mereka. Si perempuan juga yang tetap kecewa. Mana tidaknya, mereka juga sering terpengaruh dengan drama-drama yang sering mempamerkan sikap seorang ibu mertua yang garang terhadap menantunya.

Malah yang sering kita dengar, adalah perbalahan antara si menantu wanita dan ibu mertua sahaja, jarang sangat mendengar perbalahan antara menantu perempuan dan bapa mertua. Tidak pasti mengapa ianya sering terjadi antara ibu mertua dan menantu perempuan sahaja, mungkin kerana perempuan ini sudah fitrah mereka lebih beremosi berbanding lelaki. Kan?

Namun, untuk menambahkan kenyakinan kepada perempuan di luar sana yang belum berkahwin, bukan semua ibu mertua yang bersikap seperti itu, malah ada juga yang menyayangi menantu mereka lebih daripada anak mereka sendiri.

Tahukah anda beberapa tips dalam bagaimana menjaga hubungan antara mertua dan menantu? Jom baca artikel ini.

Cuba bermesra

Apa jua yang dilakukan, cuba sentiasa berusaha dalam mengekalkan sesuatu hubungan. Kita sebagai yang lebih muda harus bersikap lebih bertolak ansur untuk mengekalkan keharmonian bersama. Ibu mertua adalah insan yang membesarkan anak mereka (suami anda), jika mempunyai sebarang percanggahan idea antara anda dan mertua, sebaiknya menunjukkan persetujuan ataupun bantahan dengan cara yang betul agar mereka boleh menerimanya dengan hati yang terbuka.

Jangan libatkan anak-anak

Tidak puas hati macam mana pun dengan perangai mertua anda, jangan sesekali melibatkan anak-anak anda. Jangan menceritakan keburukan mertua anda kepada mereka. Anak-anak tidak sepatutnya didedahkan dengan perkara negatif yang berlaku antara mertua dan anda. Sebagai menantu, jangan sesekali menggunakan anak sebagai umpan terutama dalam perbalahan anda dan mertua.

Dapatkan nasihat

Dalam mengekalkan hubungan antara mertua dan menantu, si menantu sepatutnya meminta nasihat daripada mertua. Dengan cara ini, mertua akan beranggapan seolah-olah walaupun mereka dah berusia, tetapi merasakan seperti masih diperlukan sebagai ‘tempat’ dalam memberi nasihat kepada anak-anak dan menantu mereka.

Terima seadanya

Sekiranya layanan yang diberikan masih lagi tidak bertentangan dengan akidah Islam, sebagai menantu, kita seharusnya menerima mertua seadanya. Lama-kelamaan, hubungun ini pasti akan beransur baik juga. Pastikan layanan yang diberikan pada anak mereka juga sama seperti mereka menyayangi anak mereka dan kita juga sanggup lakukan apa sahaja demi keluarga.

Ringan tulang

Sebagai menantu yang baik, bantulah kerja-kerja mertua kita terutama ketika berada di rumah mereka, ingat, setiap kerja yang dilakukan, jangan hanya kerana ingin mendapatkan pujian mahupun penghargaan. Lakukan dengan hati yang ikhlas.

Kenali minat mertua

Cuba pikat hati mertua kita dengan kenali apa yang mereka minat, apa yang mereka suka, sekiranya mertua kita suka akan aktiviti luar, apa salahnya kita membawanya melakukan aktiviti yang diminati itu? Atau gunakan minat itu sebagai topik perbualan.

Suami sebagai orang tengah

Dalam hal berkaitan mertua dan menantu perempuan, suami memainkan peranan yang sangat penting. Kalau suami pun mahu berdiam diri sahaja, nescaya hubungan antara isteri dan ibunya pasti tidak ada penghujungnya. Suami harus tahu apa yang mereka patut lakukan. Lakukan perkara yang boleh mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara isteri dan ibunya.

Ingat, dalam apa jua situasi, jangan sesekali hilang kerhormatan terhadap mertua. Sesungguhnya, mereka yang membesarkan anak mereka iaitu bakal suami atau suami anda. Sentiasa tahu akan tanggungjawab anda, insha Allah, semoga hubungan anda dan mertua sentiasa dalam keadaan yang harmoni.

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar