TIPS TEMU JANJI (DATING)
TIPS TEMU JANJI (DATING)
Sesiapa sahaja pasti akan gementar menempuh saat ini kerana ia merupakan perjumpaan pertama kali buat mereka. Apa yang perlu dilakukan? Berdiam diri sahajakah?
“Saya pernah dikongsikan dengan satu pengalaman daripada sahabat sendiri. Dia menjelaskan semasa sesi temu janji antaranya dengan bakal isteri, mereka sering ditemani oleh ibu bapa si wanita. Perbuatan seperti ini mungkin jarang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Malah pada pandangan sesetengah pihak ianya mungkin kelihatan pelik walhal tindakan seperti inilah yang diseru dalam Islam. Ianya secara tidak langsung dapat mencegah mereka daripada perbuatan maksiat yang boleh menjurus kepada zina”
Proses temu janji merupakan satu proses awal dalam menuju ke proses yang selanjutnya iaitu khitbah dan akhirnya ke alam pernikahan. Namun bukan semuanya berjaya sehingga ke tahap itu (pernikahan). Sebagai manusia, kita disarankan untuk berusaha dan berikhtiar terutama dalam soal jodoh.
Tetapi bagaimana pula cara temu janji yang tidak melanggar agama? Adakah temu janji mempunyai syarat-syarat tertentu?
HUKUM TEMU JANJI (DATING)
Ianya tidak ada ketetapan yang khusus mengenai cara bertemu janji. Namun pada asasnya, hukum bercinta, berpasangan atau seumpamanya adalah HARUS. Ini adalah kerana Islam adalah agama kasih sayang dan ukhuwwah (persaudaraan). Tetapi apa yang menyebabkan ianya menjadi HARAM ialah cara mereka sendiri yang menangani hubungan itu.
Apa yang harus dititikberatkan adalah adab pergaulan antara lelaki dan wanita semasa berjumpa. Maksudnya ke arah membina hubungan itu, si lelaki dan wanita haruslah menjaga batas-batas pergaulan seperti yang ditentukan oleh syariat. Misalnya mengenai pemakaian si wanita, mestilah menutup aurat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan tidak berdua-duaan tanpa mahram. Selain daripada itu, memakai wangi-wangian bagi kaum wanita juga adalah dilarang. Seperti hadis daripada Abu Musa Al-Asy`ari RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau daripadanya, perempuan itu penzina.”
(Riwayat Abu Daud (4173) & Al-Nasa’ie (5126)
Antara beberapa perkara penting yang perlu diperhatikan dalam menjalani proses temu janji agar tidak melanggar agama adalah:
Membersihkan niat kerana Allah
Bersihkan niat dan ikhlaskan hati untuk menikah adalah ibadah semata-mata untuk mencari keredaan-Nya. Bukan semua yang kita dapat akan menepati kriteria yang kita inginkan, namun pada waktu inilah merupakan ujian pertama keikhlasan kita. Tetapkan niat yang betul untuk mencari calon pasangan dan teruskan berusaha ke arah itu. Niat dalam hati adalah untuk menamatkan sebuah hubungan sehingga ke sebuah pernikahan.
Semasa sesi pertama bertemu janji (bagi mereka yang pertama kali berjumpa)
Sesiapa sahaja pasti akan gementar menempuh saat ini kerana ia merupakan perjumpaan pertama kali buat mereka. Apa yang perlu dilakukan? Berdiam diri sahajakah? Tidak. Mulakan perbualan dengan bertanyakan khabar.
Namun ingat, ketika berjumpa haruslah si wanita membawa teman. Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada terjadinya perkara yang tidak diingini. Bagi meneruskan perbualan tidak ada salahnya kalau menyelit mengenai keadaan trafik atau dari mana si dia datang tadi. Ianya adalah untuk mengelakkan perbualan menjadi kaku.
Semasa di proses awal perkenalan, mereka seharusnya tahu akan perkara-perkara yang patut dielakkan sepanjang proses bertemu. Sebagai contoh, menjaga pandangan, menjaga aurat, memilih tempat yang sesuai (bukan tempat yang mencurigakan) serta menjaga rahsia semasa sesi perkenalan.
TOPIK YANG BOLEH DIBINCANGKAN SEMASA PROSES TEMU JANJI (DATING)
Sesi berkenalan antara satu sama lain
Selepas sudah dapat menyesuaikan diri sedikit demi sedikit, anda boleh mulakan dengan mengimbau cara perkenalan antara anda dan si dia. Mungkin boleh nyatakan bagaimana perjumpaan ini boleh berlaku dan sebagainya. Dari sini idea perbualan itu akan berkembang sehingga melibatkan hal-hal lain.
Contoh, sekiranya perkenalan anda bermula di Facebook, anda boleh bercerita tentang alasan mengapa anda berminat untuk menjadi kawannya di laman sosial tersebut. Malah sekiranya perkenalan anda bermula dari keluarga atau sahabat, berbicara mengenai cara bagaimana mereka memperkenalkan anda dan si dia.
Berbicara mengenai kerja/aktiviti
Setelah sesi suai kenal selesai, anda sudah boleh mula berbual tentang anda dan si dia. Anda boleh bertanyakan tentang apa yang dilakukan dalam kerjaya sama ada si dia sudah bekerja mahupun masih belajar. Ianya boleh dijadikan sebagai ‘point’ untuk anda meneruskan perbualan dengan si dia.
Prospek kerjaya, syarikat dan suasana kerja mahupun pembelajaran adalah isu yang boleh dibangkitkan. Soalan yang diajukan haruslah jangan terlalu sensitif agar pasangan anda selesa dengan setiap pertanyaan.
Berbicara mengenai keluarga
Seterusnya anda boleh menanyakan soalan tentang keluarga pasangan anda. Berkongsi cerita mengenai adik-beradik dan ibu bapa tetapi janganlah terlalu mendalam. Malah anda juga boleh memulakan perceritaan tentang keluarga anda terlebih dahulu. Dari sini juga anda sudah dapat menilai si dia adalah seorang ‘family type’ atau tidak.
Kejujuran kedua-dua belah pihak semasa bertemu janji
Semasa bertemu janji, lelaki dan wanita boleh menanyakan soalan-soalan yang tidak berunsur kepada kemaksiatan (kewangan, keluarga, prinsip). Namun setiap jawapan yang diberi mestilah dinyatakan dengan jujur.
Semasa proses bertemu janji juga, lelaki dan wanita juga haruslah bersikap serius dan sopan dalam berbicara. Ianya bertujuan untuk menghindari daripada membicarakan hal-hal yang tidak perlu agar dapat mengekalkan keharmonian perbualan itu.
Perhubungan
Selepas pertemuan itu menjadi seperti tidak janggal lagi, anda sudah boleh memulakan perbicaraan mengenai status hubungan pasangan anda. Saat inilah adalah saat yang paling sesuai untuk anda mengenali si dia dengan lebih mendalam. Ketahui status sebenar si dia supaya anda tidak meletakkan apa-apa harapan yang tinggi terhadap si dia.
SEBELUM SELESAI SESI TEMU JANJI (DATING)
Menerima atau menolaknya dengan cara yang betul
Jika sepanjang proses bertemu janji, kedua belah pihak sudah senang bersama, mereka sudah boleh mula merancang untuk ke proses yang seterusnya. Namun sekiranya sepanjang proses itu masing-masing tidak menemukan apa-apa keserasian, cubalah untuk menolaknya secara baik dan memberikan alasan yang sesuai. Jangan sehingga mengguris hati si dia dan jangan juga membiarkan si dia menunggu lama akan jawapan anda.
“Demi menjaga hubungan yang terbina dalam menuju sebuah pernikahan, perkara atau perbuatan HARAM yang boleh menyumbang kepada zina haruslah dielakkan. Justeru apa yang dilakukan oleh sahabat saya dan bakal isterinya dalam proses bertemu janji adalah amat digalakkan agar terhindar daripada perbuatan zina..”
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?