fbpxTIPS UNTUK KENAL SESEORANG

TIPS UNTUK KENAL SESEORANG

TIPS UNTUK KENAL SESEORANG

"Kalau anda ada menaruh hati pada mana-mana lelaki, mulakan langkah yang sepatutnya selagi ianya tidak melanggar batas agama..."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

Pernah dengar istilah ‘tak kenal maka tak cinta?’ Kenal dan cinta adalah dua perkataan yang digabung dalam pepatah. Ia memberi satu makna betapa pentingnya mengenali antara satu sama lain dalam sesuatu perhubungan. Umum mengetahui bahawa perkenalan adalah satu proses saling mengetahui antara satu sama lain dan saling maklum tentang diri sebelum faham, ingat dan hafal.

Apabila berbicara tentang soal berkenalan dengan seseorang, pasti insan pertama yang akan dikaitkan adalah kaum lelaki. Ini adalah kerana kaum lelakilah yang biasanya akan memulakan dahulu sesi perkenalan dengan si wanita. Rata-rata wanita malu untuk memulakan perkenalan.

Namun zaman sudah berubah, ada juga lelaki yang pemalu dan tidak ada salahnya pun untuk perempuan memulakan dahulu perkenalan. Ustaz Azhar pernah mengatakan dalam ceramah beliau, “hanya orang yang bijak mengambil kesempatan akan mendapat peluang tersebut”. Jadi, kalau anda ada menaruh hati pada mana-mana lelaki, mulakan langkah yang sepatutnya selagi ianya tidak melanggar batas agama.

Namun bagaimana pula cara seseorang itu dalam memulakan sesi perkenalan? Adakah terus terang sahaja tentang niat anda? Di bawah adalah beberapa tip bagi anda untuk mengenali seseorang.

Jangan terburu-buru atau memaksa

Ramai orang di luar sana terutama kaum lelaki sering bertindak terburu-buru ketika ingin berkenalan dengan kaum wanita. Walhal rata-rata wanita di luar sana tidak suka dengan cara mereka yang terlalu memaksa. Lebih-lebih lagi sekiranya lelaki itu baru sahaja dikenalinya. 

Manusia merupakan makhluk yang memiliki sifat terburu-buru. Sifat ini kadang-kadang menguasai manusia sehinggakan mereka menggesa Allah untuk mengabulkan segala permintaannya. Oleh itu, Allah melarang manusia daripada bersifat dengan terburu-buru sebagaimana firman-Nya:

“Manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya. Aku akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Ku; maka janganlah kamu meminta disegerakan” (Al-Anbiya:37)

Sifat terburu-buru adalah sifat negatif kerana manusia melakukan sesuatu tindakan tanpa berfikir panjang apatah lagi memikirkan risiko yang bakal dihadapi.

Sebagai seorang lelaki mahupun wanita, hindarilah sifat ini pada diri anda dan bertindaklah secara matang dan rasional dalam menambat hati si dia. Sekiranya anda benar-benar suka padanya dan ingin berkenalan dengannya, cuba relax dan bertenang. Jangan kelam-kabut. 

Kalau mahu minta nombor telefon, ada caranya. Contoh, perkenalkan diri anda kepadanya. Beritahu niat sebenar anda untuk mendapatkan nombor telefonnya supaya si dia nampak keikhlasan anda dalam mengenalinya. Namun sekiranya si dia masih tidak berminat untuk melayan anda, maka carilah yang lain. Ternyata si dia sudah berpunya atau sebaliknya.

Bersikap jujur dan jangan cepat menilai

Penerapan sikap jujur dalam kehidupan adalah sangat perlu dalam diri setiap manusia. Ini adalah kerana sikap jujur itu adalah sikap yang baik dan terpuji. Namun rata-rata masyarakat kita berasa terbeban untuk mengamalkan sikap terpuji ini. Rasulullah SAW bersabda,

“Ada empat perkara yang dapat menjadikan (kesan) kamu tidak akan pernah hilang dari dunia, iaitu menjaga amanah, bicara jujur, berakhlak baik dan hati-hati dari makanan (yang haram)” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Abid Dunya, ath-Thabrani dan al-Baihaqi)

Dalam soal perkenalan juga, kita adalah digalakkan untuk bersikap jujur lebih-lebih lagi apabila ingin mengenali seseorang. Kalau dari awal perkenalan lagi sudah ada unsur-unsur penipuan, bagaimana hubungan itu akan pergi lebih jauh? Bolehkah si dia menerima anda setelah mengetahui sikap anda yang sering bercakap bohong?

Jangan disalah erti. Jujur bukan bermaksud anda harus bersikap ‘lurus bendul’ sehinggakan pertanyaan-pertanyaan yang bersifat peribadi pun anda perlu jawab. Ianya mestilah relevan dan tidak menyentuh sensitiviti atau peribadi seseorang. Dari sudut lain sekalipun, kita juga tidak digalakkan untuk cepat menilai seseorang yang baru sahaja dikenali. Berilah sedikit masa pada diri anda sebelum anda menilai seseorang.

Contoh:

Anda tidak bersifat jujur apabila disoal mengenai latar belakang diri anda. Misalnya mengenai pekerjaan anda. Walhal lambat laun pasti akan terbongkar jua, namun apakah perasaan si dia selepas mengetahui dirinya ditipu?

Menjaga Sensitiviti

Ramai yang terlepas pandang dalam menjaga sensitiviti seseorang. Kawan rapat sekalipun anda masih tidak layak untuk menyentuh tentang soal peribadi sahabat anda. Inikan pula bagi mereka yang dalam proses untuk mengenali seseorang. Dalam setiap pertanyaan, elakkan menyentuh perkara-perkara yang sensitif. 

Ya memang benar anda ingin mengenalinya tetapi ianya bukan bonus untuk anda menanyakan soalan yang boleh menyentuh sensitiviti seseorang. Selain itu, elakkan juga dari bertanya tentang kenangan lalu. Kita tidak tahu perihal kenangan lalu yang dialami oleh si dia. Mungkin ianya akan mengimbau kembali kepada kenangan pahit yang ingin dilupakannya. Disebabkan pertanyaan anda itulah membuatkan si dia berduka kembali. 

Sedangkan dalam Islam, walaupun sudah berkahwin, pasangan suami isteri itu juga tiada hak untuk memaksa suami atau isteri mereka untuk mendedahkan apa yang berlaku dahulu. Inikah pula bagi mereka yang masih dalam proses suai kenal.

Dalam Islam, ianya dipanggil ‘taaruf’ yang membawa maksud perkenalan. Namun setiap perkenalan mestilah tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan dalam Islam.  Malah berkenalan juga bertujuan untuk kita semua saling mengenali antara satu sama lain. Ia sesuai kepada semua orang, lelaki mahupun wanita. 

Begitulah serba sedikit tip yang dapat kami kongsikan untuk artikel kali ini. Semoga ianya memberi manfaat kepada para pembaca.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Kongsi artikel ini: