TIPS UNTUK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA

TIPS UNTUK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA

"Setiap umat islam wajib berbakti kepada ibu bapa."

Dikarang oleh Inaaina | Tips dan petua

Setiap umat islam wajib berbakti kepada ibu bapa. Perintah mentaati kedua ibu bapa adalah antara hak yang penting setelah menunaikan hak Allah SWT. Seperti yang telah dijelaskan dalam beberapa ayat Al-Quran dalam Surah Al Israa’ ayat 23 yang bermaksud “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya." Ini dapat dijelaskan lagi bahawa mentaati ibu bapa adalah tuntutan yang WAJIB dalam islam seperti mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Sentiasa hormat

Kita mestilah sentiasa hormat terhadap ibu bapa. Tidak kira dalam apa jua emosi sekalipun, kita mestilah sentiasa bersikap hormat terhadap ibu bapa. Ada kalanya kita akan merasa tersinggung dengan kata-kata ibu bapa, namun, jangan jadikan ianya satu alasan untuk menjadi kurang hormat dengan mereka. Tenang dan bijak dalam mengawal setiap emosi.

Menghulurkan bantuan kewangan

Ada sesetengah ibu bapa yang tidak mempunyai masalah kewangan, malah mereka masih boleh menyara hidup dengan keperluan yang sedia ada, namun masih ada ibu bapa diluar sana yang mempunyai masalah dari segi kewangan dalam menyara hidup, mungkin disebabkan faktor usia yang menghalang mereka dalam melakukan tugas seharian, justeru itu, sebagai anak, hulurkanlah bantuan buat mereka yang memerlukan. Walaupun ianya hanya nilai yang kecil tapi amat bermakna bagi ibu bapa.

Memberi kasih sayang

Ibu bapa telah membesarkan kita sejak azali lagi dan dibelai dengan penuh kasih sayang, jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.Seorang anak yang baik tidak akan melupakan jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa mereka. Malah, anak yang soleh juga sentiasa mendoakan kesejahteraan buat ibu bapa mereka agar sentiasa diberkati dan dicucuri rahmat oleh Nya.

Memberi perhatian

Ibu bapa sentiasa menginginkan perhatian dari anak mereka. Mereka akan terasa disisih dan seperti diabaikan. Hal ini dapat memberikan tekanan perasaan kepada ibu bapa dan menyebabkan mereka mengalami kemurungan. Jika keadaan ini berterusan, ianya akan memberi impak kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Menghadiahkan kejayaan

Ramai beranggapan bahawa kejayaan hanya dalam bentuk pendidikan, malah ianya juga boleh dicapai dalam bentuk pekerjaan dan seumpamanya. Sebagai anak-anak, hadiahkanlah kejayaanmu itu kepada ibu bapa, agar mereka akan merasakan diri mereka sangat dihargai. Sebagai contoh, jika anak-anak memperoleh kejayaan dalam pekerjaan mahupun pelajaran, seharusnya berita gembira ini dikongi bersama ibu bapa. Ibu bapa turut dibawa ke majlis untuk meraikan kejayaan itu. Nescaya ibu bapa akan berasa cukup dihargai.

Justeru itu, sama-samalah kita mengamalkan tips di atas untuk membahagiakan Ibu Bapa kita.

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar