Tips untuk segera mendapat jodoh

Tips untuk segera mendapat jodoh

Ada sesetengah individu yang malu untuk memulakan perkenalan dengan mereka yang berlawanan jantina. Sekiranya anda dibelenggu masalah ini, anda boleh meminta bantuan daripada orang tua, keluarga atau orang lain...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa menikah, maka ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi.”

(Hadis Riwayat Thabrani)

Sabda Rasulullah SAW juga ada menekankan tentang hikmah bernikah yang melengkapi umat manusia dengan separuh dari agamanya. Malah ada segelintir masyarakat pada hari ini yang tidak mahu atau berusaha dalam mencari jodoh. Kenapa? Kerana mereka merasakan urusan dalam mencari jodoh ini adalah sesuatu yang sukar dan ada yang takut kecewa sekiranya ditinggalkan atau dipermainkan.

Umum sudah mengetahui bahawa setiap urusan jodoh merupakan takdir yang sudah ditentukan oleh Allah SWT. Namun secara hakikatnya umat manusia mestilah berusaha juga dalam urusan jodoh. Usah hanya menanti jodoh datang tanpa sebarang usaha dan setiap usaha mestilah diiringi dengan doa kepada-Nya. Berikut adalah beberapa tips untuk segera mendapat jodoh sebagai panduan bagi anda yang sedang mencari calon pasangan.

1)NIAT YANG BAIK

Dalam Islam, niat merupakan perkara yang paling utama yang dinilai. Selain itu, niat juga akan mempengaruhi setiap perbuatan yang dilakukan kelak. Sebelum memulakan pencarian dalam mencari jodoh, pastikan niat itu betul yakni untuk menikah.

Niat yang baik di sini membawa erti jika hendak melakukan sesuatu, tidak cukup kalau hanya sekadar niat. Namun setiap niat haruslah diikuti dengan langkah-langkah atau perbuatan yang akan mewujudkan niat tersebut.

Oleh itu, sekiranya anda memang berniat untuk menjemput jodoh, maka lakukanlah perbuatan-perbuatan yang berkaitan dengan hal itu. Salah satunya adalah sentiasa ikhlas dalam mencari calon pasangan dan juga mula menyimpan duit untuk perbelanjaan perkahwinan. Pastikan niat itu juga adalah untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dan mengikut sunnah Rasulullah yang telah ditetapkan untuk menyempurnakan iman.

2)MENGUBAH PEMAHAMAN

Sebagai contoh, Ikram memiliki hasrat untuk menamatkan zaman bujangnya dengan Dayah. Namun disebabkan status kewangannya yang belum stabil, Ikram bercadang untuk menangguhkan dahulu perkahwinan mereka.

Secara hakikatnya, Dayah bukan sepatutnya hanya sekadar menunggu jodoh datang padanya tetapi juga berusaha dalam mengumpul wang perbelanjaan. Hal ini adalah kerana, pada zaman sekarang bukan hanya Ikram yang perlu menanggung beban perbelanjaan pernikahan malah Dayah juga harus melakukan perkara yang sama.

Zaman sekarang ternyata sudah berbeza dengan zaman orang tua-tua dahulu kala. Zaman sekarang jelas menunjukkan setiap perkahwinan bukan hanya diwajibkan pihak lelaki sahaja yang perlu mengumpul duit untuk membiayai sebuah perkahwinan. Malah kaum wanita juga perlu melakukan perkara yang sama.

Seperti zaman Siti Khadijah yang tertarik kepada Muhammad terlebih dahulu. Pada waktu itu baginda belum mendapat tugas kerasulan tetapi kerana keperibadian akhlaknya yang mulia maka Khadjiah pun ingin menjadikan Muhammad sebagai suaminya. Soal pembiayaan jelas menunjukkan Khadijah mampu kerana dia seorang janda yang kaya raya.

Berbalik pada kisah Ikram, persediaan Ikram dari segi fizikal dan keilmuan ternyata sudah mencukupi. Cuma kewangan sahaja yang belum mencukupi. Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah tidak ada salahnya kalau Dayah juga mengumpul duit dan turut menanggung perbelanjaan pernikahan kelak. Perkara ini juga dapat mempercepatkan urusan pernikahan mereka sedangkan perkahwinan adalah perkara yang harus dipercepatkan.

3)MEMINTA BANTUAN ORANG TUA, KELUARGA ATAU ORANG LAIN

Ada sesetengah individu yang malu untuk memulakan perkenalan dengan mereka yang berlawanan jantina. Sekiranya anda dibelenggu masalah ini, anda boleh meminta bantuan daripada orang tua, keluarga atau orang lain. Tentu sahaja mereka akan membantu anda dalam menyelesaikan masalah ini. Malah anda juga boleh melakukan perkara yang sama terhadap orang lain.

Ada hadis yang menyatakan “muslim yang baik adalah yang bermanfaat bagi muslim lainnya.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Insya-Allah, dengan membantu orang lain juga Allah SWT akan menyegerakan pertemuan jodoh buat anda.

4)BERDOA

Ingat, apa jua yang dilakukan, kalau tanpa reda Allah, ianya pasti akan menjadi sukar. Berdoa adalah salah satu perkara wajib yang harus diamalkan. Jangan putus asa dalam berdoa. Sebaiknya, teruskan berdoa sehingga Allah mengabulkannya.

Namun, sekiranya doa itu masih belum terkabul, ianya mungkin ada beberapa kemungkinan yang patut kita fikirkan. Pertama, Allah sedang menunda. Kedua, Allah mahu menggantinya dengan yang lebih baik. Sentiasa ikhlas dalam berdoa dan jangan sesekali berputus asa.

5)MEMPERBANYAKKAN IBADAH SUNAT

Bukan hanya sentiasa berdoa, malah memperbanyakkan juga ibadah sunat seperti melakukan solat sunat dhuha dan solat tahajjud. Selain itu, lakukan juga amalan lain seperti membaca Al Quran, bersedekah, puasa sunat, dan sebagainya. Insha-Allah, dengan melakukan amalan sunat tersebut ianya mampu memudahkan urusan kita dalam soal jodoh.

6)TAWAKAL

Jika sudah mengamalkan semua perkara di atas tetapi masih juga tidak dipertemukan jodoh oleh-Nya, tawakal dan berserah kepada keputusan Allah. Namun ingat, tawakal harus dilakukan setelah kita sudah melakukan semua usaha tersebut. Berusahalah melakukan semua ini barulah selebihnya kita serahkan pada Allah SWT.

 

KESIMPULAN

Demikian kami kongsikan tips untuk segera mendapat jodoh. Bagi mereka di luar sana yang sedang mencari jodoh, bolehlah amalkan tips ini supaya segera mendapat jodoh. Usah sesekali berduka dengan setiap kegagalan yang lalu kerana suatu hari nanti pasti usaha anda itu akan mendatangkan hasil.

 

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar