fbpxWALAUPUN SUDAH BERUSIA TETAPI BELUM DIJEMPUT JODOH

WALAUPUN SUDAH BERUSIA TETAPI BELUM DIJEMPUT JODOH

WALAUPUN SUDAH BERUSIA TETAPI BELUM DIJEMPUT JODOH

Lelaki mahupun perempuan pasti menginginkan seseorang untuk dijadikan isteri atau suami mereka dalam membina sebuah kehidupan yang dituntut. Sedangkan pernikahan termasuk dalam perkara yang diperintahkan dalam ajaran Islam...

Dikarang oleh 21976 | Tips dan petua
Kongsi artikel ini: 

"Usia Sarah sudah pun menjangkau angka 30 pada tahun ini tetapi Sarah masih lagi belum bertemu dengan calon yang sesuai dengannya. Apabila diajukan soalan mengenai jodoh, Sarah pasti cuba mengelak daripada menjawab pertanyaan itu. Katanya ‘sudah jemu untuk menjawab pertanyaan itu’. Tidak dinafikan lagi antara insan yang gusar memikirkan masalah ini pasti kedua-dua orang tuanya. Namun disebabkan sifat Sarah yang terlalu memilih dalam soal jodoh, ianya membuatkannya menjadi rumit. Sehingga kedua-dua orang tuanya sudah putus asa untuk membantunya.”

Umum sudah mengetahui bahawa jodoh adalah sesuatu yang misteri. Tidak ada seorang pun yang dapat menjangka tentang siapa jodoh mereka dan bila saatnya. Namun siapa sahaja yang mahu meneruskan kehidupan tanpa pasangan hidup?

Lelaki mahupun perempuan pasti menginginkan seseorang untuk dijadikan isteri atau suami mereka dalam membina sebuah kehidupan yang dituntut. Sedangkan pernikahan termasuk dalam perkara yang diperintahkan dalam ajaran Islam. Ada banyak dalil dari al-Quran dan Hadis yang menyeru umatnya (yang berkemampuan) untuk segera menikah. Salah satunya adalah firman Allah SWT:

“Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak dari hamba sahayamu baik laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, maka Allah akan memberikan kecukupan kepada mereka dengan kurnia-Nya.”

(Surah an-Nur : 32)

Namun, rata-rata mereka yang sudah berusia masih juga belum berjumpa jodoh meskipun mereka sudah berkemampuan untuk bernikah. Mereka sering menggunakan alasan seperti

“belum ada jodohnya..”

“belum bersedia..”

“masih mencari…”

Tahukah anda definisi disebalik jawapan itu? Berikut adalah beberapa sebab yang menyebabkan seseorang itu masih belum bertemu jodoh meskipun usianya sudah meningkat:

1) Terlalu memilih

Ada segelintir wanita mahupun lelaki, mereka telah meletakkan kriteria yang tertentu dalam pemilihan calon suami mahupun isteri. Malah kriteria yang telah ditetapkan bukan calang-calang. Pasti yang sempurna sahaja yang diidamkan oleh mereka. Malangnya, apabila sudah bertemu dengan seseorang, ada sahaja yang tidak kena tentang penampilan atau perwatakan si dia. Walhal si dia sudah menunjukkan minat untuk menghalalkan hubungan dengan sebuah pernikahan.  

Sifat mereka yang terlalu memilih itu mengakibatkan diri mereka sendiri yang rugi. Maka akan terus membujanglah jawabnya.

2) Semakin banyak komitmen

Ramai yang menyalah erti tentang apa itu komitmen. Bagi golongan muda, mereka merasakan komitmen itu sekadar mencintai antara satu sama lain.

Secara hakikatnya, komitmen bagi setiap individu adalah berbeza. Ada yang masih terikat dengan keluarga, pelajaran, pekerjaan dan diri sendiri. Komitmen juga boleh menyebabkan impian seseorang itu terhalang atau terpaksa ditangguh lebih-lebih lagi untuk menuju ke arah sebuah perkahwinan.

Tambahan pula, komitmen mereka akan menjadi semakin besar setelah mereka bergelar seorang isteri mahupun suami kelak.

3) Sudah selesa hidup berdikari dan berseorangan

Berdasarkan kajian yang telah dibuat, rata-rata mereka yang masih ‘single’ ini adalah disebabkan kehidupan mereka yang sudah terbiasa hidup berdikari. Mereka tidak memerlukan sokongan daripada orang lain terutama dari segi kewangan. Sumber bulanan yang diperoleh sudah cukup untuk kehidupan mereka. Apa yang kurangnya adalah dari segi kasih sayang sahaja. Sebab itulah mereka tidak terdesak untuk memiliki teman hidup.

Mereka sudah memiliki semua benda yang mereka inginkan dan sudah selesa dengan kehidupan yang mereka sedang lalui. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai inisiatif untuk mencari teman hidup.

4) Tidak mendapat desakan dari orang tua

Desakan orang tua juga mampu menyebabkan seseorang itu berusaha keras dalam mencari teman hidup. Malah masih ada juga yang tidak mendapat desakan dari orang tua mereka. Bertambah senanglah hati mereka apabila tiada yang memaksa lebih-lebih lagi tentang soal jodoh. Ini adalah kerana rata-rata mereka di luar sana yang masih single itu amat ‘fobia’ dengan soalan mengenai jodoh.

5) Masih ingin mengejar kerjaya

Lelaki mahupun wanita, mereka sudah mempunyai visi dan misi kehidupan yang tersendiri. Mereka sudah meletakkan impian yang harus mereka kecapi sebelum mereka mendirikan rumah tangga.

Sebagai contoh, mereka sudah meletakkan niat untuk menghabiskan pelajaran terlebih dahulu sebelum menamatkan zaman bujang. Faktor ini juga yang menyebabkan mereka menangguh niat untuk berkahwin kerana masih terdapat impian yang belum tercapai. Begitu juga dalam kerjaya mereka sendiri.

Sekiranya Sarah benar-benar memasang niat untuk menamatkan zaman bujangnya, dia seharusnya tidak meletakkan syarat dan kriteria yang tinggi. Misalnya dari segi rupa paras, status mahupun perwatakan seseorang. Terima si dia seadanya dan jangan terlalu memilih kerana kelak diri sendiri yang akan rugi.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Kongsi artikel ini: