Kenapa Sering Dipertemukan Dengan Orang Yang Salah?
Kenapa Sering Dipertemukan Dengan Orang Yang Salah?
"Sekiranya kita sering mendoakan untuk mendapat yang terbaik, nescaya mereka yang ‘pergi’ itu adalah bukan jodoh yang terbaik buat kita..."
Mencintai dan dicintai adalah dua perkara yang berbeza dan ia adalah perkara normal yang dialami oleh semua orang. Ada proses yang begitu menyenangkan sebelum ke sebuah perkahwinan malah ada yang diuji dengan beberapa perkara. Salah satunya, dipertemukan dengan orang yang salah.
Setiap orang yang hadir dalam hidup kita itu bersebab. Tidak ada yang sia-sia. Ada yang didatangkan untuk menguji kita malah ada yang datang untuk memberi peringatan kepada kita.
Peribahasa Melayu ada mengatakan, 'Laut mana tidak bergelora, bumi mana tidak ditimpa hujan'. Begitu juga kepada diri manusia yang sentiasa melakukan kesalahan dan adakalanya sudah ada usaha yang dilakukan tetapi masih lagi berdepan dengan kesukaran dan cabaran. Namun setiap ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya
”Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya.“ [Al-Baqarah: 286]
Bersyukur kerana mungkin dia bukan orang yang tepat untuk anda
Jodoh sebenar sudah ditetapkan oleh Allah. Allah Maha Pemurah dan Penyayang. Sesungguhnya Dia lebih tahu siapa yang terbaik untuk kita. Jika sebelum ini kita pernah disakiti, pernah dikhianati dan ditinggalkan, jangan sesekali mengeluh. Nikmati sahaja prosesnya sebelum bertemu dengan seseorang tepat.
Bak kata Da’i Wan, setiap yang ditetapkan Tuhan adalah yang terbaik untuk kita. Tambah beliau lagi, sekiranya kita sering mendoakan untuk mendapat yang terbaik, nescaya mereka yang ‘pergi’ itu adalah bukan jodoh yang terbaik buat kita. Malah apabila dipertemukan dengan jodoh yang sebenar, kita akan berasa syukur dengan ketentuannya.
Supaya kita dapat perbaiki kelemahan diri sendiri
Pengalaman daripada hubungan lepas juga dapat mendewasakan kita pada masa akan datang. Berdasarkan hubungan lepas, cuba pelajari kekurangan diri kita yang perlu diperbaiki atau diubah supaya hubungan yang bakal dibina kelak akan kekal ke sebuah perkahwinan.
Orang yang selalu berusaha memperbaiki dirinya dan berusaha gigih mentaati suruhan Allah SWT akan mendapat pahala di sisi-Nya (Ustaz Sharizan Dauh At-Turabi)
Pada masa sama, kita perlu fokus membentuk pemikiran positif yang mampu membantu diri mengharungi hari mendatang dengan cekal. Ianya sekaligus menyebabkan kesakitan lalu dapat dilupakan selamanya dan digantikan dengan kebahagiaan. Menurut Dr John Grohol, Pengasas Psych Central, langkah yang diambil dalam menguruskan hati luka lebih penting berbanding perasaan terluka itu sendiri.
Kita sedang diuji untuk menjadi lebih kuat
Apabila kita ditinggalkan seseorang yang kita suka atau cinta, kita pasti akan berasa kecewa dan patah hati. Justeru, ianya dapat mengajar seseorang itu untuk lebih kuat dalam menghadapi dugaan yang akan datang dalam hidup. Malah ia juga merupakan satu ujian untuk kita dan dapat dijadikan sebagai satu motivasi untuk diri sendiri.
Manusia juga diuji kerana Allah mahu gantikan perkara yang lebih baik buat mereka yang sabar menghadapinya. Yakinlah, setiap ujian itu akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya.
“Kerana sesungguhnya, sesudah kesulitan itu ada kemudahan” (Al-Insyirah: 5-6).
Jangan sesekali bersangka buruk terhadap ujian kerana jika tidak diuji, bagaimana seseorang itu mampu memperoleh pahala atas sifat sabar, syukur dan reda? Dalam kalangan rasul Ulul Azmi, ujian yang ditimpakan ke atas mereka bagi mengangkat darjat kerana kegigihan, kesabaran dan keberanian mereka menanggung pelbagai ujian yang berat.
Supaya kita lebih berhati-hati
Apabila sering dipertemukan dengan orang yang salah, ia dapat mengajar kita supaya lebih berhati-hati dalam membuat pilihan pada masa akan datang. Jadi ianya memerlukan perhatian yang terperinci supaya kita tidak akan tersalah pilih.
Proses untuk memilih teman hidup bukan sekadar dinilai berdasarkan luarannya sahaja walhal banyak aspek yang perlu diambil kira. Berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui, ianya sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam membuat pilihan yang lebih baik. Malah berdasarkan pengalaman lalu juga, ia dapat mendewasakan seseorang bukan hanya pada perhubungan tetapi kepada kehidupan juga. Setiap benda memerlukan perhatian yang terperinci.
Kesimpulannya, jangan pernah menyesal apabila dipertemukan dengan orang yang salah kerana setiap orang yang datang dan pergi dalam hidup kita mendatangkan banyak pengajaran untuk kita. Namun, cuba tenangkan hati dengan meredai kehilangan itu. Berdoalah kepada Allah supaya digantikan kehilangan itu dengan yang lebih baik. Itulah sikap yang sepatutnya ada pada diri seorang Mukmin.
Sesungguhnya Allah menjadikan sesuatu sebagai ujian untuk menilai keimanan seseorang itu terhadapNya. Firman Allah didalam Surah Al-Anbiya’ ayat yang ke 35, ertinya;
Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?