TIPS PERGAULAN BAGI LELAKI DAN WANITA DI TEMPAT KERJA
TIPS PERGAULAN BAGI LELAKI DAN WANITA DI TEMPAT KERJA
"Tidak dinafikan bahawa ini adalah salah satu cabaran bagi kaum wanita di alam pekerjaan bersama kaum lelaki. Mahu atau tidak, ianya adalah perkara yang sukar untuk dielakkan kerana rata-rata sektor memerlukan kaum lelaki untuk bekerja sekali."
Islam menetapkan batas-batas yang harus dijaga bagi mereka yang berlawanan jantina. Batasan ini memastikan mereka tidak bebas bergaul. Lelaki muslim dan perempuan muslimah wajar menjaga ikhtilat termasuk ketika di tempat kerja.
Namun apa yang dimaksudkan dengan ikhtilat? Ikhtilat dalam bahasa arab bererti bercampur. Maksud pergaulan (ikhtilat) dalam perbincangan ini ialah bergaul atau bercampur di antara Ielaki dan perempuan ajnabi (yang sah kahwin) di satu tempat berlaku interaksi dalam bentuk pandang memandang atau perbualan di antara seseorang dengan lain. Salah satunya ketika mereka berada di tempat kerja.
Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (iaitu tiada hubungan mahram atau hubungan suami isteri). Ianya bertujuan untuk menyempitkan hubungan dan pergaulan antara kedua-duanya hanya kepada keperluan (bukan kebebasan) kerana kebebasan akan mendorong kepada zina. Allah S.W.T. juga melarang hamba-Nya daripada perbuatan yang cenderung kepada penzinaan. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al-Isra yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)...” (Surah Al-Isra: Ayat 32)
Betulkan Niat
Niat merupakan perkara yang penting kerana ia akan menentukan halatuju perbuatan kita. Ini kerana, niat tidak dapat dipisahkan daripada setiap perbuatan kita. Berdasarkan sebuah hadis yang masyhur dan sering diungkapkan:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”. (Riwayat al-Bukhari).
Berdasarkan hadis ini, kita maklum bahawa niat merupakan perkara yang amat penting kerana ia yang akan menentukan tujuan amalan tersebut. Berbalik kepada topik artikel kita pada kali ini, seseorang itu haruslah menetapkan niat yang betul ketika mereka ingin memulakan sesuatu perkara. Misalnya, ketika mereka ingin keluar bekerja, tetapkan niat bahawa mereka mestilah menjaga batas-batas pergaulan antara lawan jantina agar ikhtilatnya terpelihara.
Tidak dinafikan bahawa ini adalah salah satu cabaran bagi kaum wanita di alam pekerjaan bersama kaum lelaki. Mahu atau tidak, ianya adalah perkara yang sukar untuk dielakkan kerana rata-rata sektor memerlukan kaum lelaki untuk bekerja sekali. Malah perkara ini juga bukan sahaja cabaran bagi wanita bujang malahan turut menjadi cabaran bagi mereka yang berstatus suami atau isteri. Oleh itu, betulkan niat kita terlebih dahulu agar pergaulan kita terjaga.
Jaga Batas Dalam Berkomunikasi
Dalam soal berkomunikasi pula, ianya turut ditekankan agar batas-batas mereka terpelihara. Terutamanya ketika mereka di tempat kerja. Komunikasi boleh berlaku sama ada secara terbuka atau tertutup. Komunikasi terbuka di sini merujuk kepada komunikasi yang melibatkan orang lain dan tidak khusus kepada dua orang sahaja. Komunikasi begini agak sukar untuk menimbulkan sebarang fitnah antara lelaki dan wanita kerana perasaan malu akan menghalang mereka untuk melakukan perkara dilarang.
Berbeza pula bagi komunikasi yang dilakukan secara tertutup. Komunikasi ini pada asalnya bertujuan baik, kadang kala ia boleh terpesong ke arah perkara yang dilarang. Malah ada yang disalahgunakan untuk memenuhi kehendak nafsu. Seeloknya elakkan berkomunikasi secara berdua-duaan di tempat tertutup bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Dalam sabda Rasulullah, Baginda menyebut bahawa syaitan akan turut sama menyertai lelaki dan wanita yang berdua-duaan.
Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali dengan mahramnya dan janganlah seorang wanita bermusafir melainkan dengan mahramnya - Riwayat Muslim
Selain itu, konsep komunikasi hari ini berubah seiring peredaran zaman. Sebelum ini, ucapan lisan disertai bahasa tubuh, nada suara dan reaksi wajah menjadi medium utama tetapi berkomunikasi melalui media sosial juga sudah menjadi medium utama yang harus dititikberatkan. Misalnya menggunakan medium seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dalam menyampaikan info-info berkaitan tempat kerja. Ianya mestilah digunakan dengan baik agar tidak disalahgunakan oleh mereka yang mahu mengambil kesempatan antara rakan sekerja.
Jaga Jarak Dan Tingkah Laku
Dalam urusan memerlukan hubungan antara lelaki dan wanita ketika di tempat kerja, pastikan interaksi atas dasar hormat-menghormati dan sopan santun. Anda perlu mewujudkan sedikit ruang jarak antara anda dan rakan sekerja berlainan jantina. Elakkan duduk bersebelahan dengan jarak yang terlalu rapat kerana dikhuatiri akan timbulnya perkara yang tidak diingini.
Selain itu, antara budaya yang sudah menjadi kebiasaan adalah ketika ada segelintir mereka yang menjadikan perkara seperti bertepuk bertampar itu seolah-olah perkara yang biasa. Mereka merasakan hubungan akrab yang sudah terjalin lama itu seperti norma biasa buat mereka. Walhal tingkah laku atau perbuatan kita masih lagi terbatas untuk mereka yang berlawanan jantina. Budaya seperti ini harus dicegah kerana perkara seperti inilah yang boleh membawa kemudaratan pada generasi akan datang.
Harian Metro pada Disember 2019 ada melaporkan mengenai kisah hubungan suami isteri yang retak berpunca dari masalah di tempat kerja. Si isteri pernah rapat dengan lelaki lain di tempat kerjanya lalu mendatangkan kemarahan pada si suami sehingga berlaku perbalahan. Akhirnya hubungan mereka kecundang dan mereka bercerai setelah usia perkahwinan memasuki lima tahun. Kejadian seperti ini haruslah dielakkan agar tidak timbulnya sebarang spekulasi meskipun si isteri hanya berkawan rapat dengan rakat sepejabatnya itu.
Menurut laporan akhbar Utusan pada tahun 2004, Unit Kaunseling Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat ketika itu menganggarkan sebanyak 75 peratus daripada perceraian yang berlaku dalam masyarakat adalah berpunca daripada kehadiran orang ketiga. 80 peratus daripada angka orang ketiga tersebut tersebut adalah rakan sekerja. Mengejutkan bukan? Tapi itu adalah hakikat sebenar.
Statistik di atas jelas membuktikan yang hubungan sesama rakan sekerja ini sekiranya tanpa batasan akan berkesudahan dengan penyakit sosial yang menjalar dan sekaligus mampu merosakkan institusi kekeluargaan secara halus. Ia ibarat anai-anai yang perlahan-lahan merosakkan asas sesebuah bangunan. Jadi ambillah pengajaran. Tidak salah sekiranya kita berkawan tapi kita perlu ingat yang tujuan kita bekerja adalah untuk menambah pendapatan diri sendiri, keluarga dan bukan sebaliknya.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?