5 Tip Agar Jodoh Kekal Sehingga Ke Jinjang Pelamin
5 Tip Agar Jodoh Kekal Sehingga Ke Jinjang Pelamin
Sewaktu berada di dalam hubungan cinta atau pertunangan, selalulah mengingatkan diri bahawa kita bercinta kerana ingin memohon reda Ilahi.
Setiap manusia mengetahui bahawa ungkapan “I love you” adalah satu ungkapan yang indah. Namun begitu, perasaan ini haruslah dijaga kerana ia merupakan anugerah dari Allah S.W.T. Menurut Ustazah Asma’ Harun, cinta boleh jadi fitrah, boleh juga menjadi fitnah. Perkara tersebut bergantung pada cara kita memelihara hubungan sebelum berkahwin dan keimanan kita dalam menjaga maruah diri.
Firman Allah dalam Surah Ar-Rum, ayat 21, maksudnya:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."
(Surah Ar-Rum, ayat 21)
Begitulah pentingnya pernikahan sebagai sebahagian daripada kehidupan orang Islam. Di samping itu, ayat tersebut juga menggambarkan bahawa rasa cinta perlulah dikawal sebaiknya. Di akhir nanti, tujuan kita berkahwin adalah untuk meraih cinta yang hakiki iaitu cinta dari Allah Azzawajalla.
Sebenarnya bukan mudah untuk mengawal diri ketika dilamun cinta. Kalau tersilap langkah, hubungan tersebut boleh terkandas di tengah jalan. Walaupun begitu, Islam menggariskan pelbagai usaha dalam memastikan hubungan tersebut berpanjangan mengikut cara yang betul. Oleh itu, berikut adalah tip-tip yang boleh dicuba supaya ikatan yang baik ini kekal sehingga ke jinjang pelamin.
1. Jangan Ketepikan Perintah Dan Larangan Allah
Mungkin hal ini kedengaran ‘cliché’ (kerap diulang), namun itulah hakikat kehidupan kita. Dalam setiap langkah yang kita ambil, semuanya mestilah bersulam dengan ingatan dan ketaatan kita kepada Allah. Apabila setiap perbuatan kita adalah kerana-Nya, insya-Allah urusan kita akan sentiasa dipermudahkan.
Sama juga seperti jodoh. Jodoh kita adalah pemberian dari Allah. Si dia bukanlah milik kita dan bukan pula hubungan tersebut menjadi hanya atas usaha kita semata-mata. Seharusnya kita benar-benar menghayati konsep atau maksud “Kun Fayakun” (Jadilah, maka jadilah…). Ungkapan tadi bermakna jika Allah berkehendak, maka jadilah sesuatu itu. Dalam erti kata lain, kalau Allah merestui hubungan cinta kita dan Dia mahu kita berkahwin, maka berkahwinlah kita. Jika Dia mahu kita hidup bersendirian, begitulah takdirnya. Tiada siapa yang dapat mengubah aturan Ilahi. Namun ketahuilah, aturan-Nya adalah sebaik-baik rancangan biarpun kadangkala agak sukar untuk kita menerimanya.
Justeru, ambil masa untuk muhasabah diri kita. Sewaktu berada di dalam hubungan cinta atau pertunangan, selalulah mengingatkan diri bahawa kita bercinta kerana ingin memohon reda Ilahi. Berdoa kepada-Nya supaya hubungan itu adalah yang terbaik dan ia akan membawa kita dan si dia ke arah syurga yang abadi. Jika niat kita baik, hati kita sentiasa mengingati Si Pencipta, insya-Allah hubungan cinta yang ada akan berkekalan sehingga ke alam pernikahan. Yang baik kita ambil, yang buruk kita tinggalkan.
2. Saling Mempercayai Antara Satu Sama Lain
Biasalah lumrah manusia. Kita mudah rebah apabila ujian datang melanda. Semasa diri kita lena dibuai cinta, maka bermulalah kerja-kerja syaitan untuk menghasut kita. Syaitan akan berbisik agar kita membuat maksiat, bersangka buruk kepada si dia, dan membuat kita cemburu tanpa alasan. Dalam situasi ini, keraplah memohon pertolongan Allah supaya kita dijauhkan daripada bisikan-bisikan jahat.
Di samping itu, kita sendiri mestilah berusaha keras untuk mempertahankan ikatan yang ada. Dalam sesebuah hubungan, kedua-dua pihak harus mempercayai satu sama lain. Jangan mudah melenting apabila sesuatu berlaku di luar kemahuan kita. Sebaliknya, bawa berbincang secara aman dan jangan malu untuk memohon maaf. Kita manusia biasa tidak lari daripada melakukan kesilapan. Sebagai contoh, jika si dia tidak menghubungi kita langsung selama sehari, bersangka baik sajalah. Mungkin dia sibuk dengan urusan kerja atau dia menjaga dirinya daripada leka dengan cinta. Benar, ada orang mengatakan bahawa kalau si dia betul-betul sayang kepada kita, dia sentiasa akan mencari masa demi kita. Namun begitu, itu bukanlah alasan untuk kita berasa cemas.
Kalau perlu, hubungilah orang tersebut dan tanya dengan baik. Luahkan isi hati kita dengan berhikmah agar si dia tahu apa yang kita fikirkan. Kadang-kadang, memendam perasaan hanya akan menggugat sesebuah hubungan. Kita perlu faham yang si dia tidak akan tahu masalah kita sekiranya kita tidak bercerita. Maka bukalah hati kita untuk berkongsi cerita tersebut. Semasa berkomunikasi, jangan lupa garis panduan agama. Cakap apa yang perlu sahaja supaya perbualan tersebut tidak menjurus kepada maksiat. Kalau boleh, biarlah perbualan itu dilihat atau dibaca oleh ibu bapa atau ahli keluarga yang lain. Bukan apa, sekurang-kurangnya mereka boleh menegur kita kalau kita melakukan sebarang kesalahan.
Kasih sayang itu kan indah. Jadi ingatlah, si dia itu bakal menjadi teman hidup kita yang sah satu hari nanti. Tak perlu kita berasa curiga kepadanya setiap masa. Sekiranya kita tahu dia berbuat sesuatu keburukan, tegur sahaja tingkah lakunya itu dengan sopan. Sifat cemburu dan curiga itu bagus kalau tepat ‘dosnya’. Oleh itu, semaikan sifat saling mempercayai sesama kita dengan harapan cinta yang berputik akan terus mekar sehingga kita sah bergelar suami isteri dan seterusnya sampai ke hujung nyawa.
3. Minta Restu Ibu Bapa
Seterusnya, minta restu ibu bapa supaya mereka menerima ikatan itu dengan hati yang terbuka. Memanglah yang nak berkahwin itu kita bukannya mereka, tapi restu dan doa merekalah yang akan menjadikan rumah tangga kita harmoni dan bahagia kelak. Jangan pernah kita menolak pendapat ibu bapa kita bulat-bulat. Allah berfirman, maksudnya:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu.”
(Surah al-Isra’, ayat 23)
Betapa Allah S.W.T meninggikan darjat ibu bapa kita. Oleh itu, kita perlu minta persetujuan ibu bapa sebelum memulakan sesebuah hubungan yang serius. Penolakan ibu bapa sewaktu awal perkenalan itu normal. Ramai ibu bapa yang susah melepaskan anak mereka. Ada juga yang menyangka bahawa anak mereka belum bersedia untuk berkahwin kerana mereka mengenali perangai anak mereka sendiri. Dalam hal ini, jangan kita marah kepada kedua ibu bapa kita. Sebaliknya, ambil waktu untuk kita memujuk mereka dengan lembut. Buktikan juga kepada mereka yang kita sudah sedia untuk berubah dan mampu untuk menguruskan rumah tangga. Jangan pula kita hanya melenting tanpa berbuat apa-apa tindakan.
Sebaiknya, dengar keluhan mereka. Apabila kita tahu mengapa mereka tidak bersetuju, kita berusaha dengan si dia untuk memperbaiki perkara tersebut. Teruskan ikhtiar untuk memperbaiki diri dan hulurkan tangan dengan mesra agar ibu bapa dapat menerima hubungan tersebut tanpa kekesalan. Sesi pujuk-memujuk ini biasanya bukan singkat, tapi kuatkan diri untuk terus bersabar dan ambil peluang ini untuk mengenali ibu bapa kedua-dua pihak secara dekat. Insya-Allah, dengan niat baik kita, Allah akan membuka pintu hati ibu bapa kita untuk merestui hubungan yang ada ini.
Ingat, hidup dalam berumah tangga juga bukannya mudah. Ini baru ujian kecil sahaja jika nak dibandingkan dengan ujian setelah berkahwin nanti. Bersihkan hati kita selalu dan buatlah perkara yang betul. Jangan pula lepas dah dapat apa yang dicari, kita tiba-tiba berubah menjadi tidak baik. Hidup perlu istiqamah. Mohonlah restu Allah dan minta ibu bapa untuk mendoakan kebahagiaan kita.
4. Hadiri Majlis Ilmu
Terdapat beberapa alasan mengapa kita digalakkan untuk menghadiri majlis ilmu. Yang pertama, terdapat keberkatan dan ganjaran pahala bagi orang-orang yang meraikan ilmu. Yang kedua, sudah tentulah banyak ilmu pengetahuan yang boleh kita raih daripada para ilmuwan yang hadir. Di sini kita berpeluang untuk mengajukan soalan-soalan mengenai perkara yang kita kurang faham. Kita juga boleh mendapatkan pelbagai tip khasnya tentang mendirikan rumah tangga mengikut ajaran Islam. Dengan ilmu yang serba sedikit ini, kita akan menjadi lebih bersedia untuk bernikah.
Selain itu, tidak salah juga untuk kita menghadiri majlis-majlis atau kelas-kelas agama yang mengajar kita tentang ilmu fardhu ain yang asas. Ada juga para ilmuwan yang membuka kelas-kelas untuk mempelajari pengisian kitab-kitab Islam. Jika kita mempunyai masa lapang, hadirkanlah diri untuk kelas-kelas ini terutamanya buat para lelaki. Sekurang-kurangnya, ilmu agama kita akan bertambah dan kita boleh berkongsi ilmu ini dengan bakal isteri kita nanti.
Lelaki adalah ‘qawwam’ (pemimpin) dalam rumah tangga, jadi penting untuk mereka mengetahui selok-belok agama untuk membentuk sebuah keluarga Muslim yang beriman. Rugilah nanti jika si isteri bertanya pada suami tentang satu hukum tetapi dia tidak mampu menjawabnya. Walaupun kita tidak pernah terlambat untuk belajar, tetapi lebih baik untuk bermula daripada awal. Lebih awal kita belajar, lebih banyak ilmu yang kita dapat ambil.
5. Setia Dalam Perhubungan
Akhir sekali, kami nasihatkan setiap daripada kita untuk setia dalam perhubungan. Walaupun kedengaran remeh, tetapi nilai ini adalah nilai yang penting dalam memastikan hubungan cinta kita berpanjangan sampai ke jinjang pelamin. Bukan mudah untuk mencari orang yang setia pada zaman sekarang. Jika kita betul-betul menyayangi si dia dengan penuh ikhlas, kita akan menjaga pandangan apabila berhadapan dengan orang yang bukan mahram. Mungkin itu hanyalah ujian dari Yang Maha Esa untuk melihat sejauh mana kita setia dengan calon yang kita ada.
Oleh itu, tundukkanlah pandangan apabila berjalan di tempat awam. Ingatlah bahawa kita sudah selangkah menghampiri perkahwinan dan si dia mempercayai kita untuk membawa diri. Istighfar selalu kerana istighfar menyucikan hati kita. Selain itu, elakkan juga melihat orang yang bukan mahram di media sosial kita. Ada yang berkata mustahil untuk melakukan demikian kerana kita ramai kenalan di atas talian (online). Kalau begitu keadaannya, maka luangkan masa di media sosial secara sederhana saja. Jauhkan bahan-bahan yang membangkitkan nafsu daripada perhatian kita. Kita perlu sedar yang kita mampu untuk mengawal apa yang kita lihat di sekeliling kita.
Apabila kita menjaga diri, insya-Allah si dia di sana juga akan menjaga diri seeloknya. Dengan berkat kesetiaan kedua-dua belah pihak, alam perkahwinan akan semestinya menjadi indah dan bermakna suatu hari nanti. Bawa bersabar dan kuatkan motivasi diri kita untuk menjadikan hubungan tersebut sah di sisi agama.
Dari Ubaid bin Sa’ad, Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:
“Siapa yang menyukai fitrahku hendaknya ia bersunnah dengan sunnahku, dan termasuk sunnahku adalah menikah.”
(Hadis Riwayat Abu Ya’la – Husain Salim Asad)
Menurut hadis ini, Baginda S.A.W menyeru kita untuk menyegerakan pernikahan. Sesudah berkahwin, lakukanlah apa sahaja yang membahagiakan kita selaku pasangan suami isteri. Pahala akan datang dari pelbagai arah kerana kita sudah membentuk satu keluarga Muslim. Walau bagaimanapun, kita tetap perlu menjaga adab-adab dalam berumah tangga dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Ilahi.
Selain itu, jaga diri seeloknya. Fikirkan tentang status kewangan masing-masing, perancangan masa hadapan dan jalinkan hubungan silaturahim antara kedua-dua buah keluarga. Ada pula antara kita yang berasa tidak serasi dengan pilihan hati setelah lama berkenalan. Jika hubungan tidak kekal lama, mintalah petunjuk Allah S.W.T kerana jodoh kita adalah rahsia-Nya. Semoga kita semua diberikan jodoh yang baik dan berkekalan sehingga ke akhirnya.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?