Mengapa Jodoh Saya Lambat ?
Mengapa Jodoh Saya Lambat ?
Jodoh merupakan salah satu ketetapan Allah sejak azali lagi. Setiap daripada manusia telah ditentukan bagi mereka soal rezeki dan kematian. Begitu juga dalam hal jodoh. Setiap manusia, nasibnya tidaklah sama. Ada orang yang berkahwin awal dan ada orang yang berkahwin pada usia yang agak lewat. Terdapat banyak aspek yang mempengaruhi faktor kelewatan seseorang bertemu jodoh. Pada artikel kali ini, saya akan kongsikan beberapa faktor yang menyebabkan jodoh kita lambat.
Salah faham berkenaan jodoh.
Ramai orang menganggap jodoh tidak perlu dicari. Ia akan hadir sendiri. Pernah tidak kita mendengar kawan-kawan atau teman-teman kita beritahu, “Aku bukan tak nak kahwin lagi, tapi tak sampai seru lagi. Macam mana nak kahwin”. Perbuatan ini bagi saya adalah ibarat menunggu jodoh dari langit. Jodoh sebenarnya sesuatu yang perlu dicari atau diusahakan, bukan hanya menunggu dan mengeluh. Sama perbuatan jika kita hendak makan. Bolehkah kita hanya perlu duduk dan tunggu makanan datang atau kita kena berusaha mendapatkan wang untuk membeli makanan? Sudah tentu jawapannya kena berusaha untuk dapatkan rezeki. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Al-ankabut: 69)
Belum benar bersedia menerima pasangan.
Persiapan menuju perkahwinan tidak boleh dianggap perkara yang main-main. Ia boleh dikategorikan kepada 3 aspek utama iaitu mental, fizikal dan kewangan. Persiapan mental bermaksud selepas berkahwin, kita tidak lagi boleh mempunyai fikiran dan tabiat seperti zaman bujang. Dalam semua benda, mesti ada komunikasi antara diri dan pasangan.
Contoh paling mudah dalam hal makan dan minum. Dulu sebelum kahwin mungkin kita tidak kisah tentang apa yang kita makan. Bila dah kahwin, perlu untuk kita mengetahui tentang apa makanan kegemaran, kesukaan atau makanan yang pasangan kita tidak boleh makan atau alergik. Itu hanya saya sebutkan bab makanan sahaja. Tidak termasuk perkara-perkara lain yang lebih besar. Perkara yang lebih besar adalah mengenai kesediaan untuk menerima tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
Jika kita lelaki, tanya diri sama ada bersedia atau tidak untuk membimbing isteri, menjadi ketua keluarga dan ayah yang baik untuk anak-anak anda. Bersedia atau tidak untuk menanggung dosa isteri dan anak-anak jika kita tidak mendidik dengan betul sebagaimana digariskan dalam al quran. Allah swt telah berfirman dalam quran yang bermaksud:
“Wahai orang–orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
(Surah At-Tahrim:6)
Selain itu persiapan daripada segi fizikal juga merupakan benda yang penting. Persiapan fizikal tidak hanya bercakap soal hubungan intim suami isteri. Tetapi ia juga berkait rapat dengan penjagaan fizikal (tubuh badan) diri kita. Apabila berkahwin, kita mesti menjaga penampilan diri kita. Jangan sebelum berkahwin, kita ini seorang yang kemas, bersih, wangi, cantik dan menarik. Tetapi bila dah berkahwin, keadaan diri kita bagaikan tidak terurus, pengotor dan tidak lagi menarik perhatian suami atau isteri kita. Ini juga antara salah satu faktor perceraian.
Persiapan yang terakhir adalah persiapan dari segi kewangan dan material. Menjadi tugas seorang suami menyediakan pakaian, makanan dan minuman serta tempat tinggal kepada isteri. Tidak perlu mewah, cukup dengan selesa untuk didiami. Selain itu, nafkah isteri dan segala perbelanjaan harian serta bulanan juga adalah tanggungjawab suami yang perlu mereka sediakan. Seseorang lelaki yang masih belum bergelar suami harus memikirkan macam mana untuk menyara keluarga nanti apabila sudah mempunyai isteri dan anak-anak.
Belum ada jodoh?