HIKMAH BELUM BERTEMU JODOH
HIKMAH BELUM BERTEMU JODOH
"setiap manusia Allah jadikan berpasangan"
Pasti ada dikalangan mereka diluar sana sedang gusar kerana memikirkan masalah jodoh yang belum tiba, namun ada di antara mereka yang masih menanti dengan penuh pengharapan. Ini kerana, setiap manusia Allah jadikan berpasangan. Firman Allah SWT ada menyebut,
“Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.”
(Yaasin: 36)
Setiap apa yang berlaku, sudah tentu mempunyai hikmah tersendiri. Begitu juga dengan jodoh, bagi mereka yang belum bertemu jodoh, sudah pasti ada hikmah disebaliknya. Antara hikmahnya adalah;
Ujian untuk dipertingkatkan darjat
Mereka yang belum mendirikan rumah tangga akan sering dilemparkan dengan soalan-soalan yang tidak enak didengar seperti “bila nak kahwin?” “dah ada calon ke belum?”, secara lumrahnya, soalan-soalan sebegini bukan hanya memberi impak kepada si empunya diri, malah turut dirasai oleh insan terdekat mereka seperti ibu bapa serta ahli keluarga yang lain. Soalan-soalan sebegini akan membuat mereka sedikit terasa dan emosi akan terganggu.
Jodoh yang diharapkan masih tak kunjung tiba. Janganlah kita sesekali menyalahkan takdir, kerana penentu jodoh bukanlah kita sendiri, tetapi Dia yang Maha Menentukan dan Maha Mengetahui.
Maka, disinilah mereka diuji untuk ditingkatkan darjatnya kepada darjat yang lebih tinggi. Allah SWT hanya akan menguji kaum yang disenanginya. Jika mereka bersabar, maka Allah akan membalasnya dengan nikmat yang lebih besar. Namun jika mereka murka, baginya murka Allah. (H.R Tirmidzi).
Waktu untuk memperbaiki diri
Setiap manusia pasti mengimpikan pasangan yang soleh dan solehah, namun jodoh adalah ibarat cermin. Siapa yang menjadi jodoh kita adalah cerminan pada diri kita. Hal ini telah pun dijelaskan di dalam Al-Quran oleh Allah SWT yang bermaksud:
“Wanita-wanita yang tidak baik untuk lelaki-lelaki yang tidak baik, dan lelaki-lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita-wanita yang tidak baik. Dan sebaliknya, wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik-baik” (Surah An Nur:26)
Untuk mereka yang masih belum bertemu jodoh, maka, cuba renungkan ke dalam diri, bertanyakan diri, sama ada, adakah perbuatan dan kelakuan kita sudah cukup baik disisi Allah? Jika kita masih bergelumang dengan dosa, segeralah perbaikinya. Nescaya jodoh yang baik itu akan menjadi milik kita dengan izin Allah SWT.
Waktu untuk membahagiakan orang tersayang
Seperti yang kita tahu, tanggungjawab seorang lelaki dan wanita akan berubah selepas mereka mendirikan rumah tangga dan tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing secara automatik akan berkurang, jadi bagi mereka yang belum bertemu jodoh, maka manfaatkanlah masa yang ada dengan sebaik-baiknya terhadap ibu bapa dan juga adik beradik, percayalah, setiap penundaan itu, pasti ada hikmahnya. Berbakti kepada ibu bapa menjamin keberkatan hidup!
Perancangan Allah, kerana Dia Maha Mengetahui
Sekiranya Jodoh belum sampai, ia tidak bermakna Allah menarik kebahagiaan itu. Siapa tahu yang Allah sebenarnya sedang mengajar kita tentang makna menghargai. Ketika jodoh telah datang, sudah tentu kita menjadi seorang yang lebih bahagia serta menjadi istimewa dan bersyukur. Dengan tertundanya kebahagiaan itu, mungkin Allah ingin memberikan yang lebih baik kepada kita dan dengan tertundanya jodoh itu, Allah ingin menjadikan kita lebih matang, dan lebih bersedia dalam mengharungi liku-liku kehidupan selepas berkahwin.
Jangan sesekali tertekan dengan dugaan ini sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang. Justeru itu, janganlah kita sering menyalahkan qada dan qadar Allah kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Wallahualam.
Belum ada jodoh?