Perlukah saya bertunang?
Perlukah saya bertunang?
Bertunang adalah muqaddimah atau permulaan kepada perkahwinan iaitu dengan melamar seorang wanita untuk dijadikan bakal isteri...
Bertunang adalah muqaddimah atau permulaan kepada perkahwinan iaitu dengan melamar seorang wanita untuk dijadikan bakal isteri. Ia tidak semestinya majlis rasmi yang mesti adanya upacara penyarungan cincin oleh keluarga bakal pengantin. Meminta izin dan mendapat persetujuan daripada tuan badan dan pihak keluarga sendiri telah bermaksud bahawa anda dan si dia telah bertunang.
Bertunang boleh disimpulkan sebagai mengikat tali perhubungan awal yang bertujuan untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain termasuk mengenali keluarga bakal pasangan. Meminang boleh dilakukan dengan pelbagai cara termasuk dengan cara sindiran atau berkias. Allah swt. telah berfirman di dalam Al quran yang bermaksud;
Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengawini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang ma’ruf. Dan janganlah kamu berazam (bertetap hati) untuk beraqad nikah, sebelum habis ‘iddahnya. Dan ketahuilah bahwasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahwa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.
(Surah Al baqarah : Ayat 235)
Dalam ayat ini dijelaskan bahawa seorang lelaki boleh mengucapkan kata-kata sindiran untuk meminang wanita yang masih berada dalam masa idahnya. Baik idah kerana kematian suami, mahupun idah kerana talak bain (talak 3 ataupun talak 1 dan 2 yang tidak dirujuk dalam masa idah). Tetapi hal itu sama sekali tidak dibenarkan apabila wanita itu berada dalam masa idah dari talak raj`i (talak yang bekas suami masih boleh rujuk selagi masa iddah belum tamat). Ini adalah contoh dan dalil al quran mengenai lamaran atau pertunangan untuk mereka yang pernah berkahwin bagi berkahwin untuk kali yang kedua atau seterusnya. Hal yang sama juga terpakai kepada yang masih belum berkahwin untuk meminang atau ingin tali mengikat pertunangan.
Pertunangan.
Hukumnya disebut oleh para ulamak sebagai sunat, meskipun ada juga ulamak yang menghukumnya sebagai Harus. Bermakna, amalan tersebut digalakkan di dalam Islam demi mencapai Maqasid (tujuan) yang tertentu. Apabila kita melihat kepada hukum, maka kita juga perlu meneliti kepada maqasid ataupun hikmah di sebalik hukum tersebut. Dari situ, barulah kita akan jelas dengan apa yang perlu kita lakukan.
Bertunang, ada tujuan dan hikmahnya yang tersendiri. Antara tujuannya adalah supaya kedua-dua pasangan boleh mengambil sedikit masa untuk bersedia (mental dan fizikal) serta mengambil peluang untuk mengenali antara satu sama lain, sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Antara lain, tujuan bertunang itu juga adalah supaya keluarga kedua-dua belah pihak dapat membina hubungan sebelum bergelar besan. Kita selalu dengar orang tua-tua menyebut; apabila kita berkahwin, kita bukan berkahwin dengan lelaki atau wanita itu sahaja, tetapi kita juga ‘berkahwin’ dengan keluarganya sekali.
Bermakna, proses ta’aruf itu sangat penting. Sebab itu, dalam misi mahu bertunang ini, apabila seorang lelaki sudah bertekad mahu mengambil wanita itu menjadi isterinya, maka dia diharuskan untuk melihat wajah dan tangan wanita tersebut. Dalam hal ini, tiada istilah ‘malu-malu’ atau ‘aurat’. Semua itu, tujuannya adalah supaya si lelaki beroleh momentum tersendiri untuk menuju perkahwinan.
Larangan meminang di atas pinangan orang lain.
Seorang lelaki yang telah berhasrat untuk menikahi seorang wanita, hendaknya meminang wanita tersebut kepada walinya. Apabila seorang lelaki mengetahui wanita yang hendak dipinangnya telah terlebih dahulu dipinang oleh lelaki lain dan pinangan itu diterima, maka haram baginya meminang wanita tersebut. Ini kerana Rasulullah saw. pernah bersabda;
“Tidak boleh seseorang meminang wanita yang telah dipinang oleh saudaranya hingga saudaranya itu menikahi si wanita atau meninggalkannya (membatalkan pinangannya)”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari no. 5144)
Peminangan dan pertunangan hanya boleh berlangsung apabila telah disahkan oleh wali wanita tersebut bahawa wanita tersebut tidak atau belum pernah menerima pinangan daripada lelaki lain sebelum ini atau dalam erti kata lain tidak dalam tempoh pertunangan dengan mana-mana lelaki.
Setelah pinangan diterima tentunya akan ada lanjutan perbincangan seperti penetapan tarikh pernikahan, urusan walimatul urus dan lain-lain. Namun tidak bererti setelah peminangan tersebut, si lelaki bebas berdua-duaan dan berhubungan dengan tunangannya. Ini kerana selagi belum berlangsungnya akad nikah, maka kedua-duanya tetap ajnabi, maka tidak seharusnya seorang muslim mengambil mudah dalam hal ini.
Tunang bukan lesen berduaan.
Apabila seseorang telah bertunang (telah berlaku peminangan), ia tidak mewujudkan satu hubungan khas umpama orang yang telah berkahwin. Dalam hal ini, perbezaan antara bertunang dan sebelum bertunang adalah daripada sudut ikatan perjanjian yang dibuat sebelum berkahwin. Ikatan perjanjian yang dibuat akan berterusan sehingga mereka berdua berkahwin. Namun begitu, daripada sudut hubungan antara lelaki dan perempuan, sama sahaja hukumnya dengan orang lain yang masih belum bertunang.
Maka hukumnya juga haram bagi pasangan yang bertunang untuk berkhalwat dan mereka juga tidak boleh bersentuhan tangan, bercampur tanpa ditemani mahram, keluar berdua-duaan di tempat-tempat umum dan sebagainya. Rasulullah S.A.W bersabda,
“Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan”.
(Hadis Riwayat Muslim, dari jalur Ibnu ‘Abbas)
Kesimpulan.
Bertunang ataupun tidak adalah suatu pilihan. Jika anda perlukan masa untuk mengenali bakal pasangan anda dengan lebih dekat tetapi masih dalam batasan syarak, maka bertunanglah. Tujuan pertunangan itu adalah suatu hikmah yang telah ditetapkan agama islam agar anda boleh mengambil peluang untuk mengenali bakal pasangan anda dengan lebih baik.
Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?