Sementara menanti jodoh

Sementara menanti jodoh

Kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Memang itulah hakikat satu penantian. Tertekan, tertanya-tanya, terfikir-fikir dan terngigau-ngigau...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Motivasi

Kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Memang itulah hakikat satu penantian. Tertekan, tertanya-tanya, terfikir-fikir dan terngigau-ngigau. Kalau menunggu kawan kita untuk sama-sama ke kedai pun suatu yang cukup mencabar, apatah lagi menunggu jodoh yang belum pasti tiba.

Orang yang berada dalam fasa menunggu ini pula banyak peringkat. Ada yang peringkat rendah, iaitu budak-budak muda atau yang masih remaja. Ada yang sederhana iaitu anak muda di bangku Universiti. Ada juga yang peringkat tinggi iaitu yang sudah keluar Universiti, bekerjaya, meningkat usia, digelar ‘anak dara tua’ dan sebagainya. Itu semua merupakan fasa-fasa kehidupan.

Fasa menunggu calon atau jodoh ini pula, boleh jadi cepat dan boleh jadi lambat. Atau tidak kunjung tiba. Bergantung kepada Allah. Bukan kita. Jadi pada kali ini, tulisan ini bukanlah untuk memastikan jodoh anda segera tiba atau ditangguhkan ke satu-satu masa, melainkan sekadar berkongsi kata semangat tentang apa yang boleh anda buat dalam fasa penantian tersebut.

Jom kita semak senarai tentang perkara yang kita boleh lakukan sementara menanti jodoh;

Masa untuk Allah.

Mungkin masa ini adalah masa anda dengan Allah. Kadang-kadang perkara ini nampak remeh, tapi sebenarnya banyak berlaku situasi di mana apabila sudah berkahwin, sudah kurang masa yang boleh diluang dengan Allah. Banyak faktor, di samping sudah punya teman di sisi 24 jam sehari, faktor kepenatan dengan tanggungjawab sebagai isteri dan lebih banyak memberi fokus pada suami juga menjadi sebab utama kurangnya masa dengan Allah.

Kalau sebelum kahwin gemar menangis malam-malam dengan Allah, selepas kahwin mungkin sukar. Bukan kerana tiada izin, tapi seringkali berpunca dari ‘lupa diri’. Jadi manfaatkan waktu bujang anda. Sewaktu masih bujang dan keseorangan, tanpa komitmen, eloklah dimanfaatkan masa tersebut dengan Allah seistimewa dan seakrab mungkin.

Membina personaliti diri.

Membina personaliti diri bermaksud anda berusaha mengenal diri anda sendiri termasuk dari segi fizikal dan spiritual. Ramai orang yang tidak kenal dengan diri sendiri. Tidak tahu tentang bakat atau potensi diri sendiri. Katakan namanya Siti. Siti kurang cantik dari segi rupanya. Dari luar, Siti nampak pendiam dan murung. Tapi dengan kawan-kawan rapat, Siti cukup ramah dan pandai melawak.

Sebenarnya, itulah diri Siti. Siti ada potensi yang mana potensi itu mampu menonjolkan ‘siapa Siti’ yang sebenarnya. Tetapi mungkin kerana merasakan dirinya tidak cantik, Siti terikutkan dengan perasaan rendah diri. Tiada keyakinan diri. Tiada rasa ‘gah’ membawa imej diri sendiri, bahkan tidak tahu mencorak imej diri sendiri. Jadi, kenali diri anda. Berusaha ke arah membaiki diri dan memaksimakan kemampuan diri anda. Tonjolkan sisi lain diri anda yang anda rasa bakatnya perlu dicungkil.

Fokus pada kerjaya.

Apabila jodoh anda belum tiba setelah anda berusaha, mungkin masa ini Allah tangguhkan dulu bagi anda membina kerjaya dan karier anda. Menganggur bukan maknanya tiada kerja atau tidak perlu buat kerja. Tambahan pula hari ini, ramai wanita bekerjaya dan ada karier. Samada di alam nyata mahupun di alam maya, mereka pasti ada karier masing-masing.

Maknanya, mereka ada benda yang sedang dan akan dibuat. Yang ini perlu diberi fokus dalam fasa menanti jodoh. Fikir tentang jodoh boleh, tetapi jangan sampai tiada kerja dan tiada karier. Bahkan sebenarnya, ramai orang tidak tahu bahawa tempoh menanti jodoh itu hakikatnya adalah tempoh yang Allah beri untuk kita bersedia.

Bahagiakan ibu bapa.

Ibu bapa merupakan individu yang melahirkan dan membesarkan kita semua. Jadi sebagai anak, apabila anda sudah berkerjaya dan mempunyai kemampuan, maka tiba masanya anda membalas balik jasa-jasa mereka selagi mereka masih hidup. Benar, anda tidak mungkin dapat membalas semua jasa-jasa mereka. Tetapi sebagai anak, anda harus berusaha membahagiakan mereka.

Selagi mereka masih ada, ambillah peluang untuk membantu mereka. Jangan sampai apabila mereka sudah tiada, masa tu baru kita hendak cari mereka. Menyesal kemudian tiada guna. Sementara masih bujang dan keseorangan, taburlah bakti kepada mereka kerana apabila anda berkahwin mungkin tanggungjawab anda bertambah. Jadi masa dengan ibu bapa anda akan sedikit terhad dan berkurangan.

Kesimpulan.

Ini hanya beberapa saranan dan cadangan daripada kami tentang apa yang boleh anda perbuat sementara menanti jodoh. Mungkin anda sendiri ada perkara-perkara lain yang anda boleh tambah sebagai perkara yang boleh anda lakukan sementara belum berkahwin. Tidak kisah apa sahaja yang anda lakukan, carilah aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan positif bagi mengisi masa bujang anda. Semoga anda dipermudahkan urusan dan bertemu jodoh!

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar