DAH ADA CALON TETAPI IBU BAPA MASIH BELUM BAGI ‘GREEN LIGHT’

DAH ADA CALON TETAPI IBU BAPA MASIH BELUM BAGI ‘GREEN LIGHT’

“Kisah seorang wanita yang sudah lama menjalin hubungan cinta dengan kekasih hatinya. Hubungan mereka bermula sejak dari zaman belajar lagi...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

 

“Kisah seorang wanita yang sudah lama menjalin hubungan cinta dengan kekasih hatinya. Hubungan mereka bermula sejak dari zaman belajar lagi. Selepas masing-masing sudah tamat belajar, mereka sudah mula berjauhan kerana si wanita bekerja di negeri yang berbeza dengan kekasih hatinya. Hubungan mereka sudah mula memasuki tahun yang keempat dan mereka juga sudah bersedia untuk bergelar suami isteri lalu mereka bercadang untuk mengakhiri zaman itu dengan sebuah ikatan pernikahan. Namun, keluarga wanita tersebut menentang keras akan keputusan itu….”

Pendahuluan

Perkahwinan tanpa restu daripada kedua-dua ibu bapa bukanlah perkara yang diinginkan oleh setiap pasangan. Restu daripada kedua-dua ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam pernikahan kelak agar rumah tangga yang dibina sentiasa memperoleh keberkatan dan kebahagiaan. Setiap kisah cinta tidak semudah cerita drama yang akhirnya pasti bersatu jua meskipun pelbagai rintangan dan cabaran yang harus dilalui.

Antara penyebab utama kahwin lari

Kajian ini dijalankan adalah disebabkan peratusan kahwin lari yang semakin meningkat di Malaysia. Statistik menunjukkan punca utama kahwin lari adalah disebabkan kerana tidak mendapat kebenaran sama ada daripada ibu bapa mahupun pihak pendaftar dan mahkamah. Sesuatu perkahwinan dianggap sah dan mengikat sekiranya telah memenuhi segala rukun dan syarat yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.

Perkahwinan dalam Islam

Rasulullah SAW bersabda:

Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemuinya yang sesuai untuknya - Hadis Riwayat At-Tirmizi                                                                                                                    

Hadis di atas menerangkan mengenai 3 perkara tidak boleh dilambat-lambatkan atau ditangguhkan iaitu apabila: tiba waktu solat, hendaklah bersegera menunaikan solat, apabila jenazah telah siap dimandi dan dikafankan, hendaklah disegerakan pengebumiannya dan bagi wanita yang telah bertemu jodohnya, hendaklah disegerakan perkahwinannya.

Segerakan perkahwinan - sekiranya anak perempuan sudah ada hubungan atau sudah bercinta atau ada orang yang datang meminang mereka (dari golongan yang baik-baik) dan yang sesuai, segerakan perkahwinan. Sekiranya kita mencontohi perkara yang mirip Nabi Muhammad SAW dan para sahabat lakukan seperti pernikahan, maka lebih banyak keberkatan akan datang. Sesungguhnya nikmat selepas kahwin membawa seribu keindahan.

Majlis perkahwinan yang meriah - tidak salah sekiranya mahu mengadakan majlis perkahwinan yang besar-besaran tapi adalah tidak digalakkan sekiranya melewatkan perkahwinan semata-mata kerana mengimpikan majlis perkahwinan yang meriah. Seperti contoh yang kita dapat lihat pada zaman sekarang kerana terlalu mengajar kepada trend semasa sehingga sanggup melewatkan pernikahan semata-mata walhal bajet yang ada pun cukup-cukup makan sahaja.

Perkahwinan adalah satu ibadah, bukan satu acara atau upacara - kisah orang soleh dahulu apabila orang datang mahu menikah dengan anak mereka, mereka akan menyegerakan pernikahan itu. Jika dibandingkan dengan zaman sekarang iaitu zaman teknologi, ianya boleh mendatangkan kebinasaan kepada manusia itu sendiri seperti ditipu oleh si lelaki sehingga meragut maruah wanita itu sendiri disebabkan kegagalan dalam melawan nafsu.

Dapat mengelak daripada zina - sesungguhnya dosa yang sangat besar dan dimurkai Allah adalah zina.

“Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Israa’:32)

Al-Imam Ibn Qayyim meriwayatkan bahawa Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah pernah berkata: “Aku tidak mengetahui tentang sebuah dosa yang lebih besar daripada membunuh selain daripada dosa zina. Bahaya zina bukan sahaja kepada orang yang melakukannya bahkan turut membawa musibah kepada seluruh masyarakat dan keturunan.”

Mentaati ibu bapa adalah wajib - berkaitan perkahwinan, sekiranya ibu bapa menolak tanpa sebarang alasan yang sah disisi syarak maka tidak ada ketaatan kepada mereka dalam hal ini. Hal ini adalah kerana mentaati perintah Allah untuk mengelakkan daripada berzina adalah yang lebih utama.

Kesimpulan

Mereka yang berada dalam situasi di atas diwajibkan meminta izin daripada ibu bapa terlebih dahulu untuk menikah sebelum meneruskan usaha akad nikah dengan menggunakan cara wali hakim. Para ibu bapa pula seharusnya memberikan sebab dan alasan yang sah disisi syarak sekiranya mereka tidak bersetuju akan perkahwinan itu kerana penolakan itu mampu menjurus anak-anak ke arah penzinaan.

Jom bina #baitulmuslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar