7 Tips Menyimpan Wang Untuk Kahwin

7 Tips Menyimpan Wang Untuk Kahwin

Keperluan adalah asas untuk hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Menyimpan wang bagi mendirikan rumahtangga adalah perkara yang mencabar bagi kebanyakan orang bujang. Buat anda yang mahu mendirikan rumah tangga, hadamkan artikel yang telah diolah dari perkongsian yang telah dibuat oleh saudara Amir Syahir (Facebook). Moga-moga anda lebih berdisiplin dalam menyimpan wang dan dapat melangsungkan perkahwinan dalam tempoh yang lebih singkat.

Cipta Matlamat Kewangan

Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Untuk permulaan, bina matlamat paling senang untuk dicapai. Contohnya matlamat untuk menyimpan RM600 dalam sebulan. Jadi, istiqamah simpan RM20 setiap hari. Apabila telah tercapai, ini akan menyuntik rasa semangat untuk menyimpan lebih banyak lagi.

Simpan Sebelum Berbelanja

Biasakan diri untuk menyimpan sebelum berbelanja. Contohnya gaji RM2000. Simpan terlebih dahulu RM200. Kalau rasa berat, cuba simpan RM100 sebulan.

Jika belanja semua pendapatan terlebih dulu dan lebihan barulah disimpan, perkara ini boleh mencipta masalah kewangan yang kronik pada masa akan datang.

Cuba gunakan formula ini:

PENDAPATAN – SIMPANAN = BELANJA

Belajar Untuk Menangguhkan Kehendak

Jika anda  menggelupur mahukan sebuah iPhone model terbaru, cepat-cepat minta rakan anda tampar pipi anda. Ingatkan yang anda  masih mempunyai baki PTPTN yang masih tertunggak. Ajar diri supaya ada tabiat ‘delay gratification’ iaitu menangguhkan kepuasan. Tengok dalam dompet dan jangan fikir “Eh, boleh belanja lagi ni”. Biarlah duit kita ada lebihan 5-6 ratus sekalipun, jangan ajar diri belanja untuk habiskannya. Tangguhkan seketika. Simpan duit untuk benda yang lebih memerlukan.

Belajar Untuk Berbelanja Dengan Bijak

Ajar diri untuk membuat bajet belanjawan bulanan. Catat segala perbelanjaan. Berbelanja dengan bijak ini boleh dibuat dengan:

  • Membandingkan harga. Boleh cuba apps SmartShopper

  • Menggunakan apps pengurusan kewangan seperti YNAB, Monefy, MoneyLover dan lain-lain

  • Beli barang keperluan semasa promosi atau dengan harga borong

  • Buat senarai barang yang mahu dibeli, tidak perlu ulang-alik dua tiga kali ke pasar raya atau terbeli benda yang tiada dalam senarai.

Bezakan Dengan Jelas Di antara Keperluan Dan Kehendak

Keperluan adalah asas untuk hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Selain itu sebagai contoh mesin basuh juga termasuk dalam kategori asas namun bergantung kepada setiap orang.

Kehendak pula adalah jika perkara tersebut tiada anda masih boleh hidup. Contohnya ingin menggunakan kereta mewah, telefon mahal, melancong ke luar negara ataupun lepak minum di Starbucks. Ramai daripada kita masih tidak dapat membezakan antara keperluan dengan kehendak.

Belajar Tentang Risiko Kewangan

Risiko kewangan adalah sesuatu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Kesedaran tentang kepentingan takaful dan risiko pelaburan adalah penting. Anda juga sepatutnya tahu tentang bahaya tunggakan hutang kad kredit.

Selain itu belajar juga untuk mengenali penipuan skim cepat kaya dan MLM yang tidak berlesen. Belajar mengenai apa itu CCRIS dan apa akibatnya jika anda tidak membayar hutang. Paling penting tahu apa itu muflis dan kesan yang anda akan hadapi jika diisytiharkan muflis

Belajar Tentang Pelaburan

Belajar tentang pelaburan yang rendah risiko seperti melabur di ASB disebabkan unit berharga tetap RM1. Jadi, tidak akan rugi. Menyimpan di Tabung Haji juga boleh. Dalam Akta Tabung Haji, dinyatakan dengan jelas bahawa konsep simpanan dalam akaun Tabung Haji adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah (simpanan berasaskan jaminan)

Kesimpulannya jika anda mahu berjaya sentiasa ‘laparkan diri’ dan terus menerus memburu ilmu yang bermanfaat. Sebab hanya dengan ilmu, barulah kita boleh memendekkan masa untuk mencapai kejayaan dan kekayaan

Jika ada seminar ringankan kaki dan duit untuk pergi. Sebab tidak semua rajin mahu membaca buku-buku tentang pengurusan kewangan. Jadi lebih baik belajar terus dari kepakaran orang lain.

Kalau anda rasa perkongsian ilmu kali ini cukup bermanfaat, rajin-rajinlah follow FB Amir Syahir. Beliau banyak berkongsi mengenai cara pengurusan kewangan yang berkesan.

Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar