Wujudkah ‘Couple’ Secara Islami?
Wujudkah ‘Couple’ Secara Islami?
Antara kaedah penyelesaian yang boleh dilakukan oleh dua orang yang sudah mempunyai perasaan cinta ialah tidak lain tidak bukan iaitu segerakan pernikahan...
Cinta merupakan suatu perkara yang indah. Cinta ialah satu ukuran asas pengalaman manusia yang memberikan perasaan kasih sayang, tarikan, asas kemesraan dan keserasian antara pasangan. Mencintai dan ingin dicintai adalah perasaan fitrah dan ia bukanlah suatu kesalahan. Namun persoalan yang mungkin menjadi tanda tanya sebahagian orang, adakah wujud ‘couple’ secara Islami?
Syeikh Shalih Al Fauzan, seorang ulama dari Arab Saudi dalam salah satu ceramahnya pernah mengatakan bahawa, “Sesuatu yang dinisbahkan kepada Islam, ertinya ia diajarkan oleh Islam atau memiliki landasan daripada Islam”.
Oleh kerana itu, istilah ‘couple Islami’ sendiri adalah tidak benar kerana Islam tidak pernah mengajarkan untuk berpacaran dan tidak ada disebut ‘couple Islami’ dalam syariat. Bahkan sebaliknya, ajaran Islam melarang kegiatan-kegiatan yang ada dalam perbuatan couple seperti berdua-duaan dengan berlainan jantina dan sebagainya.
Jika anda mempunyai perasaan cinta terhadap seseorang (berlawanan jantina), tidak perlu anda dan si dia mengistiharkan sebagai pasangan couple atau pasangan couple Islami. Seperti yang saya nyatakan tadi, cinta bukanlah kesalahan tetapi kegiatan-kegiatan yang ada dalam makna couple itu sendiri adalah dilarang agama. Carilah jalan supaya anda dan si dia cepat-cepat berkahwin.
Hal-hal Terlarang Ketika Bercinta
1. Zina Atau Mendekati Zina
Zina adalah perbuatan haram yang sudah jelas terlarang dalam Islam. Allah S.W.T. telah berfirman di dalam surah Al-Isra’ yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah Al Isra’: 32)
Jika diperhatikan daripada ayat di atas, Allah S.W.T. tidak hanya menyatakan zina itu suatu perbuatan yang keji bahkan Allah S.W.T. juga melarang kita untuk mendekati zina. As-Sa’di menyatakan:
“Larangan mendekati zina adalah lebih keras daripada larangan berbuat zina kerana larangan mendekati zina juga meliputi seluruh hal yang menjadi pembuka peluang dan permulaan terjadinya zina.”
(Tafsir As-Sa’di, 457)
2. Bersentuhan Sesama Lawan Jenis
Hukum bersentuhan sesama lawan jenis tanpa darurat atau dengan syahwat adalah haram hukumnya. Jika bersentuhan tangan ketika berjabat tangan pula ulama berlainan pendapat. Namun apa yang saya ingin kongsikan pada artikel ini ialah bersentuhan dengan perempuan yang bukan mahram secara umumnya ketika berpacaran adalah dilarang di dalam Islam.
Ini berdasarkan satu hadis daripada Rasulullah S.A.W. yang telah disahihkan oleh Syeikh AlBani yang bermaksud:
“Ditusuknya kepala seseorang dengan pasak dari besi, sungguh itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya (bukan mahramnya).”
(Hadis Riwayat Thobrani dalam Mu’jam Al Kabir 20 : 211)
3. Berpandangan-pandangan Sehingga Menimbulkan Syahwat
Lelaki mukmin dan perempuan mukminat itu diperintahkan Allah S.W.T. untuk menundukkan pandangan mereka daripada melihat lelaki atau perempuan yang tidak halal baginya. Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah An-Nur yang bermaksud:
“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluannya. Demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka kerjakan. Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluannya.”
(Surah An-Nur : Ayat 30-31)
Namun di dalam situasi tertentu seperti urusan jual beli atau ada tujuan baik yang lain adalah dibenarkan. Pandangan yang tidak sengaja juga dimaafkan. Apa yang lebih utama, saling berpandangan ketika couple adalah diharamkan. Ini kerana saling berpandangan pada ketika ini adalah dengan syahwat (menyukai pasangan).
4. Berdua-duaan Di Tempat Sunyi
Berdua-duaan di tempat yang sunyi antara lelaki dan wanita yang bukan mahram juga adalah dilarang dalam Islam. Dalam istilah Arab, berdua-duaan disebut sebagai ‘Khulwah’. Rasulullah S.A.W. telah bersabda di dalam satu hadis yang bermaksud:
“Tidak boleh seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan kecuali dengan ditemani mahramnya.”
(Hadis Riwayat Bukhari no. 5233 dan Muslim no. 1341)
Oleh sebab itu, jika terpaksa berjumpa dengan lelaki ataupun perempuan yang bukan mahram bagi anda, haruslah meminta ditemani mahram bagi orang perempuan. Jika tidak dapat, dibolehkan untuk meminta bantuan daripada teman dan mesti berjumpa di tempat awam bukan tempat yang sunyi.
Penyelesaian
Antara kaedah penyelesaian yang boleh dilakukan oleh dua orang yang sudah mempunyai perasaan cinta ialah tidak lain tidak bukan iaitu segerakan pernikahan. Ini kerana dengan pernikahan sahaja ‘couple secara Islami’ menjadi halal. Rasulullah S.A.W. menganjurkan pernikahan kepada generasi muda terutamanya kerana Baginda tahu tentang cabaran generasi muda dalam mengekang nafsu syahwat adalah tidak mudah.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Wahai generasi muda! Apabila ada di antaramu yang sudah mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin kerana mata akan lebih terjaga dan kemaluan akan lebih terpelihara."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas'ud)
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?