Tips Bertaaruf (Berkenalan)

Tips Bertaaruf (Berkenalan)

Ketika dalam proses perkenalan, anda digalakkan untuk bertanyakan soalan seberapa banyak dan sedalam yang mungkin kepada bakal pasangan anda itu...

Dikarang oleh hasrulhamimie | Tips dan petua

Bertaaruf dari segi bahasa bermaksud berkenalan. Perkataan ‘taaruf’ adalah berasal daripada perkataan orang Arab yang bermaksud kenal. Taaruf sebelum kahwin adalah bermaksud satu proses perkenalan diri dengan lebih mendalam bagi kedua-dua pasangan yang mahu berkahwin. Ia boleh dilakukan di antara kedua-dua calon tanpa wakil (menggunakan medium seperti media sosial) ataupun dengan melantik wakil untuk menguruskan proses taaruf tersebut.

Proses taaruf adalah permulaan untuk berkahwin kerana pada masa inilah calon akan menilai pasangan taaruf mereka sama ada boleh diteruskan ke peringkat seterusnya atau tidak. Proses taaruf tidak semestinya berakhir dengan kedua-dua calon bersetuju untuk berkahwin. Ia adalah proses perkenalan yang juga memberikan hak kepada calon untuk menolak pasangan taaruf mereka. 

Tujuan Bertaaruf

Tujuan bertaaruf adalah untuk perkenalan yang lebih mendalam di samping mengenal hati budi dan keluarga masing-masing. Selain itu, ia bertujuan supaya kedua-dua calon lebih bersedia dengan segala maklumat berkenaan bakal pasangannya. Ini penting untuk mengelakkan rasa ditipu selepas berkahwin nanti.

Proses perkenalan yang dilakukan kedua-dua pasangan ini adalah semata-mata untuk berkahwin dan membina keluarga yang diredhai Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W. juga pernah bersabda di dalam suatu hadis berkaitan dengan galakkan untuk mengenal bakal pasangan sebelum berkahwin. 

Hadis tersebut ialah sabda baginda kepada seorang sahabat yang bernama Mughirah bin Syu’bah sewaktu dia berazam untuk meminang seorang wanita:

“Lihatlah perempuan itu semoga ia akan mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.”

(Hadis Riwayat Tirmizi dan beliau mengatakan hadis ini hasan dalam kitab nikah, bab hadis-hadis berkaitan dengan melihat tunang no. 1087)

Tips Yang Boleh Dilakukan Semasa Taaruf

1. Tanya Sebanyak Dan Sedalam Yang Boleh

Ketika dalam proses perkenalan, anda digalakkan untuk bertanyakan soalan seberapa banyak dan sedalam yang mungkin kepada bakal pasangan anda itu. Lagi banyak soalan yang anda tanya, bermakna lagi banyak maklumat yang anda bakal perolehi berkenaan calon taaruf anda itu. Ini penting bagi menentukan keputusan sama ada anda dan si dia boleh meneruskan perhubungan ataupun tidak. 

2. Gunakan Orang Tengah Jika Perlu

Proses perkenalan boleh dilakukan tanpa orang tengah atau wakil. Namun menggunakan orang tengah atau wakil sangat digalakkan di dalam Islam demi mengelakkan berlakunya fitnah. Contoh wakil atau orang tengah yang boleh dilantik adalah di kalangan keluarga ataupun sahabat-sahabat yang anda percayai. Apabila adanya wakil atau orang tengah ini, ia lebih menjaga kehormatan kedua-dua calon taaruf.  

3. Adakan Pertemuan

Tips yang seterusnya untuk proses taaruf ialah kedua-dua bakal pasangan mesti mengadakan pertemuan. Pertemuan juga termasuk dalam proses yang penting kerana pada masa inilah calon akan melihat bakal pasangan masing-masing. Pertemuan yang diaturkan seeloknya di kalangan keluarga kedua-dua belah pihak sendiri. 

Jika perhubungan masih terlalu awal, anda boleh meminta pertolongan daripada sahabat yang anda percayai untuk menemani berjumpa dengan calon taaruf anda itu. Pastikan tempat yang anda pilih untuk pertemuan itu adalah tempat awam dan dapat mengelakkan daripada berlakunya fitnah.

4.  Menyatakan Matlamat Hidup Anda Dan Perkahwinan

Perkahwinan merupakan sebahagian daripada proses kitaran hidup kebiasaan seorang manusia yang normal. Adalah amat baik jika sebelum berkahwin anda tahu ke mana matlamat hidup masing-masing dan hala tuju rumah tangga yang akan dibawa nanti. Sebagai contoh, sebelum berkahwin anda sudah memaklumkan kepada si dia bahawa anda adalah seorang yang aktif dalam dakwah. 

Selepas berkahwin, anda akan mempunyai tanggungjawab yang sama. Apabila si dia sudah faham akan tanggungjawab anda, maka ia akan mengurangkan isu selepas berkahwin nanti. Menyatakan matlamat hidup anda dan perkahwinan mungkin dilihat remeh-temeh. Ia sebenarnya agak penting bagi mewujudkan keserasian antara anda dan pasangan sebelum berkahwin.  

5. Bertaaruf Jangan Terlalu Lama

Nasihat saya, sesi perkenalan ini janganlah terlalu lama. Lebih baik jika ditetapkan terus tempoh masa untuk berkahwin. Saya setuju ia mesti berlaku di dalam tempoh masa yang munasabah kerana untuk memahami seseorang tidak boleh dalam jangka masa yang terlalu singkat. Namun jika proses perkenalan ini memakan masa bertahun-tahun, ia mungkin boleh membuatkan hati seseorang itu berubah-ubah. Siapa tahu kan? 

6.  Jaga Keselamatan Anda

Semasa anda bertaaruf dengan seseorang, pastikan anda menjaga keselamatan anda. Mungkin ada segelintir pihak yang akan mengambil kesempatan terhadap diri anda. Nasihat saya ini adalah untuk mereka yang baru mengenali calon taaruf terutamanya bagi perempuan. Dunia hari ini kita menyaksikan pelbagai kes-kes jenayah yang sangat membimbangkan berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.  

Jangan berkongsi maklumat yang terlalu peribadi sebelum kenal betul-betul dengan calon taaruf anda. Jangan memberi duit pada calon taaruf yang baru anda kenal. Sekali lagi saya peringatkan, kalau boleh libatkan keluarga. Sekiranya keluarga mendapat makluman tentang dengan siapa anda berkawan, ini akan memudahkan keluarga anda mengawasi anda dengan calon taaruf anda itu.

7.   Jangan Lupa Istikharah

Setelah anda berusaha, akhir sekali mengadulah kepada Allah S.W.T. Mintalah supaya diberikan petunjuk dan hidayah. Jika perlu anda boleh melakukan ‘Solat Istikharah’ bagi meminta petunjuk agar diberikan jalan yang benar. Mungkin dengan melakukan solat istikharah, anda akan mendapat ketenangan dalam setiap keputusan yang dibuat nanti. 



Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia

 

 

Belum ada jodoh?

Klik Sini Untuk Mendaftar