KENAPA DOA UNTUK MENDAPAT JODOH TIDAK MAKBUL?
KENAPA DOA UNTUK MENDAPAT JODOH TIDAK MAKBUL?
“Tidak ada sesuatu yang paling mulia di sisi Allah dibandingkan doa.” (Riwayat At.Tirmidzi)
Sebagai orang Islam, percayalah bahawa tidak ada satu perkara pun yang tidak dapat diselesaikan dengan bantuan Allah. Maka dengan itu, berdoalah. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada sesuatu yang paling mulia di sisi Allah dibandingkan doa.” (Riwayat At.Tirmidzi).
Para ulama menegaskan, kenapa doa sesuatu yang paling mulia di sisi Allah SWT dibandingkan yang lainnya? Ini kerana di dalam doa terdapat bentuk sikap rendah diri seorang hamba kepada Allah dan menunjukkan kuasa-Nya. Sememangnya benar tidak semua doa dimakbulkan tetapi itu tidak bermakna kita harus berputus asa dalam berdoa. Namun apa kaitannya pula doa dengan soal jodoh?
“Aku sudah puas berdoa tetapi masih belum lagi dipertemukan jodoh oleh-Nya. Apa salah aku sehinggakan tidak ada lelaki atau wanita yang mahu mendekati aku?....”
Begitulah persoalan yang bermain di fikiran mereka yang sudah putus asa dalam berdoa terutama dalam bab jodoh. Kajian dari LPPKN menjelaskan bahawa pentakrifan umur perkahwinan lewat adalah sekitar 37 tahun bagi lelaki dan 33 tahun bagi wanita. Ianya dapat dirumuskan di sini bahawa mereka yang lewat usia masih belum dipertemukan jodoh oleh-Nya dan salah satu puncanya adalah disebabkan oleh sebuah ‘doa’. Kenapa?
Doa yang memaksa, tiada sifat tawadhu’
Doa yang dipohon seolah-olah seperti memerintah agar doa dikabulkan dengan segera. Sesungguhnya doa itu tidak boleh dipaksa sebab kita adalah makhluk ciptaan-Nya yang lemah. Sedangkan tidak ada seorang pun umat manusia yang boleh mengatur kerana satu-satunya pengatur alam semesta hanyalah Allah SWT.
Contoh doa yang berbentuk paksaan adalah seperti:
"Ya Allah, jodohkanlah aku dengan dia, andai jodoh dia dengan orang lain maka jadikanlah aku orang lain itu agar aku menjadi jodoh dia…”
Rasulullah SAW bersabda:
“Akan dikabulkan doa setiap di antara kalian, selama dia tidak tergesa-gesa. Dia berkata, “Aku telah berdoa kepada Allah namun belum di kabulkan.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Justeru, dalam soal apa sekalipun, usahlah umat manusia itu bersifat ‘memaksa’ ketika memohon daripada-Nya.
Doa yang tidak sungguh-sungguh (main-main)
Doa yang tidak sungguh-sungguh bermaksud doa yang tidak serius atau dalam erti kata lain berdoa secara main-main. Mulut terkumat-kamit sedangkan hati ingat perkara lain. Apa yang didoakan tidak dihayati dan difahami dengan betul.
Contoh doa yang tidak sungguh-sungguh adalah seperti berdoa agar dipermudahkan jodoh oleh-Nya tetapi dalam kepala asyik dibayangi perkara lain. Sekiranya seseorang itu tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa, bagaimana doa mereka akan dimakbulkan?
Contoh kedua apabila mereka hanya berdoa memohon agar dikurniakan pasangan hidup sahaja walhal berdoa adalah satu ibadah. Bahkan ianya dikatakan sebagai roh ibadah. Ada juga yang berdoa hanya ketika ditimpa masalah atau dalam kesempitan.
"Barangsiapa mahu supaya doanya dikabulkan ketika dalam keadaan kesempitan atau kesusahan hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan". (HR Tirmizi)
Seperti mana ditegaskan, orang yang hidupnya tidak dipenuhi dengan berdoa maka dia adalah manusia yang sombong. Atas sebab itulah dalam surah Al-Isra’ ayat 37 Allah SWT mengingatkan kita supaya jangan berjalan di bumi dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya kita tidak akan dapat menembusi bumi dan tidak akan menyamai setinggi gunung-ganang. (Utusan Online,2017).
Pohonlah sesuatu itu dengan kesungguhan dan keikhlasan agar setiap masalah yang dialami dapat diatasi dengan sempurna.
Doa tanpa usaha
Doa tanpa usaha adalah doa yang sia-sia. Mereka seperti ini dapat dikategorikan sebagai manusia yang kurang bijak. Tetapi sekiranya usaha tanpa doa pula dikategorikan sebagai seorang hamba yang sombong. Setiap doa harus diiringi dengan usaha yang sewajarnya.
Contoh mudah apabila seseorang itu berdoa agar dipertemukan jodoh oleh-Nya tetapi tidak ada sebarang usaha yang dilakukan. Si dia tidak berusaha dalam mencari jodoh. Hanya sekadar bersandar pada doa yang dipohon.
Dengan berdoa dan berusaha, setiap manusia akan dapat melepasi cabaran dan rintangan. Allah menegaskan dalam surah Al Baqarah ayat 186 yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
Kita perlu memahami tidak semua yang kita doa kepada Allah dimakbulkan di dunia tetapi mungkin diterima di akhirat kelak. Ketika kita berdoa memohon kepada Allah kita sebenarnya berada dekat dengan Allah. Ini sekali gus boleh mewujudkan keinsafan bahawa dalam apa jua situasi, hanya Allah tempat kita bergantung dan meminta pertolongan.
Kesimpulannya, marilah kita sama-sama berdoa kepada-Nya. Berdoa perlu istiqamah iaitu sentiasa berterusan tanpa memikirkan apakah doa itu akan dimakbulkan. Apa yang penting keikhlasan kita semasa bermunajat dan dengan penuh pengharapan daripada-Nya.
Jom bina baitul muslim (keluarga muslim) yang bahagia
Belum ada jodoh?